PETALING JAYA: Pemimpin-pemimpin Umno di peringkat akar umbi mengakui kempen yang dikenali sebagai 'Asalkan bukan KJ' sedang berjalan untuk menjatuhkan penyandang Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.
Namun, sedikit atau tiada kesan dijangka diterima daripada gerakan ini kerana tiada calon yang bakal bertanding menentang Khairy cukup popular.
"Saya yakin ia tidak akan memberi kesan terhadap KJ. Jika KJ bertanding satu lawan satu, dia masih boleh menang. Apatah lagi pertandingan lima penjuru," kata sumber.
Menurut sumber, kempen itu datang dari salah seorang pencabar Khairy bagi jawatan Ketua Pemuda, Abdul Karim Ali.
Beliau berkata, bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok itu tidak mendapat sokongan di peringkat exco pemuda, menawarkan diri bertanding jawatan tertinggi sayap Pemuda.
"Saya tidak percaya dia akan mendapat 10 peratus undi pada pemilihan parti akan datang," kata sumber.
Seorang lagi sumber memberitahu The Star Online bahawa kempen itu tidak mewakili majoriti Pemuda di peringkat akar umbi.
"Setakat ini, kami mendapati pemimpin di peringkat akar umbi menyokong Khairy," katanya.
Namun, beliau menjangkakan pertembungan sengit daripada pencabar Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, anak bekas ahli Kabinet dan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sir Sanusi Junid.
"Saya rasa Akhramsyah adalah underdog dan pasti memberikan persaingan sengit apabila mendapat sokong penuh daripada perwakilan di bahagian Langkawi," katanya.
Pada pemilihan parti bulan depan, Khairy berdepan empat pencabar bagi jawatan itu, dilihat sebagai satu cubaan untuk menghalang niatnya memegang jawatan tersebut buat penggal kedua.
Selain Akhramsyah dan Abdul Karim, Menteri Belia dan Sukan itu turut dicabar Penolong Setiausaha Pemuda Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Syed Harman Jamallulail dan Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar.
-MSTAR
0 comments:
Post a Comment