Deejay radio Astro, Nasa mengalami kemalangan jalan raya apabila kereta pacuan empat roda Mitsubishi Triton di pandunya terlanggar seekor lembu di Desa Coalfield, Sungai Buloh, dekat sini kira-kira pukul 5 pagi Khamis.
Nasa atau nama sebenarnya Nasaruddin Abdul Karim, 48, berkata, pada waktu kejadian, dia dalam perjalanan dari rumahnya di Puncak Alam, Shah Alam, untuk menghantar tiga anaknya yang bersekolah di Kampung Baru, dekat sini.
Katanya, ketika kejadian keadaan jalan agak gelap sehingga dia tidak nampak seekor lembu yang muncul secara tiba-tiba sebelum terlanggar haiwan berkenaan sehingga mati.
“Ketika itu saya dari Puncak Alam, ingin menuju ke Kampung Baru untuk menghantar tiga anak saya yang bersekolah di sana.
“Memandangkan jalan gelap, tanpa disedari datang pula seekor lembu yang entah dari mana dan saya terlanggar haiwan itu sehingga ia tercampak ke tepi,” katanya.
Tambah Nasa, dia bersyukur apabila dia bersama tiga anaknya iaitu Muhammad Nor Syazwan, 17, Nurul Syafiqah, 15, dan Nurul Syazurina, 10, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam pada itu, Nasa turut berkongsi perasaan lucu dan pelik kerana semasa kejadian penduduk berdekatan tidak mempedulikannya tetapi kebanyakan mereka berkerumun melihat lembu berkenaan yang mati.
“Saya hairan, selepas kemalangan, saya lihat ramai orang yang keluar dengan lampu suluh untuk melihat apa yang berlaku. Ingatkan mereka nak datang kepada saya, tetapi mereka pergi lihat lembu tersebut.
“Mungkin salah seorang daripada mereka adalah pemilik lembu berkenaan,” ujarnya.
Sementara itu, Nasa menasihati semua penggembala lembu agar tidak membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran di jalan raya kerana ia boleh mengancam nyawa orang ramai.
0 comments:
Post a Comment