Terkini!!! Keputusan Bola Sepak Piala Malaysia Malam Tadi - Kedah Perlu Menang Selepas Ini.. Jom Terjah!!!


Pasukan berstatus kelab, Selangor PKNS FC semakin menghampiri slot ke suku akhir Piala Malaysia selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Felda United FC dalam saingan Kumpulan B di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kemenangan ketiga berturut-turut pasukan bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu membolehkan mereka terus mengekalkan kedudukan di tangga teratas Kumpulan B dengan sembilan mata penuh.
Penyerang import dari Liberia Patrick Ronaldinho Wleh muncul wira pasukan tuan rumah apabila menjaringkan kedua-dua gol pada minit ke-35 dan 51.
Dalam satu lagi aksi kumpulan B, Johor Darul Takzim (Johor DT) mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas T-Team pada aksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Tiga gol skuad 'Harimau Selatan' dijaring oleh Mohd Hadin Azman pada minit ke-23, Mohd Safee Sali (27') dan  Norshahrul Idlan Talaha (63') manakala dua gol skuad 'The Titans' disumbang Ahmad Syamim Yahya pada minit ke-48 dan pemain gantian, Fauzan Abdullah (77').
Terdahulu, T-Team terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-74 selepas Mohd Saiful Mustapa dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Syed Azahar Syed Kamar kerana mengasari Mohd Hadin.
Dalam saingan Kumpulan A, Sime Darby FC mencipta kejutan selepas menewaskan juara 32 kali, Selangor, menerusi kemenangan 3-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Tiga gol skuad bimbingan Ismail Zakaria itu dijaringkan Karlo Primorac pada minit ke-22 dan 29, serta Fazrul Hazli Mohd Kadri pada minit ke-72.
Satu lagi wakil dalam Kumpulan A, Johor FA pula hanya mampu mengutip satu mata selepas terikat 3-3 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.
Tiga gol pasukan Selatan tanah air itu dijaring oleh Mohd Ezaidy Mohd Khadar pada minit ke-42, Md Farid Ideris (48') dan Muhd Hairul Nizam Haniff (80') manakala ATM memperoleh gol menerusi jaringan Muhd Shukor Adan pada minit ke-53 dan Marlon Alex James pada minit ke-73 dan 78.

Dalam saingan Kumpulan D, Perak menundukkan pasukan jemputan dari Singapura, Lions XII yang merupakan juara Liga Super hasil gol tunggal Azlan Ismail pada minit kelapan perlawanan dalam aksi di Stadium Perak, Ipoh.
Kedah dan Sarawak pula hanya mampu mengutip satu mata selepas mencatat keputusan seri tanpa jaringan pada satu lagi aksi Kumpulan D di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Sementara itu, juara bertahan Piala Malaysia Kelantan mempersiakan peluang mengutip tiga mata selepas sekadar terikat 1-1 menentang Negeri Sembilan dalam saingan Kumpulan C di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.
Mereka bagaimanapun berada di depan menerusi jaringan penyerang import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme pada minit ke-39 sebelum Fabio Leandro Barbosa menyelamatkan maruah pasukan tuan rumah menerusi gol penyamaan pada minit ke-59.
Satu lagi perlawanan Kumpulan C menyaksikan Pahang turut berkongsi mata selepas sekadar terikat 1-1 ketika melayan jiran mereka, Terengganu di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Skuad Tok Gajah dikejutkan dengan jaringan pembukaan penyerang Terengganu Mohd Ashaari Shamsuddin seawal minit ketujuh sebelum berjaya menyamakan kedudukan enam minit kemudian menerusi gol penyerang import dari Argentina Matias Ruben Conti. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.