Taikun balak, Tan Sri Lim Sing @ Lam Kam Sang memiliki lesen senjata api sejak lebih 20 tahun lalu tetapi tidak pernah menggunakannya sehinggalah malam tadi.
Beliau menjadi bahan berita selepas anak jati Pahang itu menembak mati seorang perompak bersenjata sebuah klinik di Taman Permata, Cheras. Berusia 68 tahun, Ketua Bahagian MCA Raub itu memberitahu beliau menghala pistol jenis Glock ke arah kumpulan perompak termasuk seorang yang berparang dan cuba menetaknya.
"Saya cuba mengelak dari melepaskan tembakan tetapi perompak itu terus mengancam mahu menetak saya. Saya terpaksa menembak beberapa das," kata Presiden Persatuan Dewan Perdagangan Cina dan Industri itu.
Dia berkata, beliau datang dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur atas urusan perniagaan tetapi berasa tidak sihat dan mengunjungi sebuah klinik.
"Selepas berjumpa doktor, saya menunggu giliran mengambil ubat. Tiba- tiba, dua lelaki bersenjatakan parang masuk ke klinik.
"Kemudian, seorang lagi perompak masuk dan menutup pintu gril dan kami terperangkap dalam klinik. Ketika itu, beberapa pesakit ada bersama doktor bersama tiga kakitangan dalam bilik rawatan.
Perompak merampas semua barangan mereka sebelum nampak Lim yang duduk di luar. Seorang daripada mereka menghampiri Lim yang kemudian mengeluarkan pistol dan memberi amaran supaya tidak mendekatinya.
"Perompak itu juga cuba merampas pistol saya. Selepas saya melepaskan tembakan, semua tiga lelaki itu lari dari klinik berkenaan," katanya.
Seorang daripada mereka kemudian ditemui mati kira-kira 30 meter dari klinik berikutan terkena empat tembakan.
Hanya beberapa selepas kejadian, Lim mengakui berasa tidak selesa di perutnya.
"Ini pertama kali saya 'dipaksa' menggunakan pistol saya. Saya berasa amat tidak selesa," katanya yang seakan-akan trauma dengan kejadian itu.
Bapa kepada enam anak itu memberi keterangan kepada polis sebelum membuat pemeriksaan kesihatan di Pusat Rawatan Universiti Kebangsaaan Malaysia.
Beliau baru-baru ini menerima anugerah Panglima Seri Mahkota dari Yang Di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri. -Omakkau
0 comments:
Post a Comment