Allahu Rabbi: Inilah Nota "5 Syarat" Yang Ditulis Oleh Allahyarhamah Seniwati Umi Kalthum Sebelum Dijemput Ilahi.. Jom Saksikan!!!


Inilah nota tulisan Allahyarham Umi Kalthum yang ditemui di meja solek.
KUALA LUMPUR: Sekeping nota tulisan Allahyarham Umi Kalthum yang menyatakan lima syarat ditemui ketika ahli keluarga itu dihimpit rasa duka akibat kematian pelakon veteran tersebut pada Rabu.
Nota yang diletakkan di atas meja solek, rumah salah seorang anak Allahyarham hasil perkahwinan pertamanya antara lain menyenaraikan barang keperluan yang perlu digunakan sekiranya dia meninggal dunia.
Cucu dari suami pertama Allahyarham iaitu Amir Noor Muhamad , 32, berkata, dia menemui nota tersebut ketika masuk ke bilik untuk mencari kain kapan yang disimpan Allahyarham sebagai wasiat.
“Saya terkejut apabila saya masuk ke bilik, saya terjumpa sekeping nota yang arwah letakkan di atas meja mekap. Dia seolah-olah sudah tahu hendak pergi buat selama-lamanya,” jelas Amir Noor kepada mStar Online di sini pada Rabu.
Allahyarham Umi Kalthum meninggal dunia pada usia 81 tahun dalam tidur kira-kira pukul 4 pagi Rabu di rumah anak hasil perkahwinan pertamanya dengan individu yang dikenali sebagai Jaafar di Ukay Prima di sini pada Rabu.
Beliau meninggalkan lapan orang anak, 22 orang cucu serta seorang cicit hasil dua perkahwinannya termasuklah dengan pelakon Datuk S Roomai Noor.
S Roomai Noor meninggal dunia di Mekah ketika menunaikan umrah pada 16 Mac 1996 akibat paru-paru berair.
Gambar kenangan Amir Noor bersama neneknya dalam satu majlis berbuka puasa pada 21 Julai lalu.
Allahyarham Umi Kalthum turut memiliki seorang anak tiri iaitu penyanyi Anita Sarawak hasil perkahwinan terdahulu S Roomai Noor dengan pelakon Siput Sarawak.
Dalam pada itu Amri Noor berkata, lima perkara yang dicatatkan oleh neneknya itu ialah kelengkapan bagi menguruskan jenazahnya iaitu; kain batik untuk menutup dan memandikan jenazah, dua helai kain ihram termasuk milik arwah suaminya sebagai kain kapan dan selendang putih menutup muka.
Turut ditulis ialah sarung bantal bagi kegunaan melapik kepala jenazah dan dua helai kain putih yang perlu diikat pada batu dan diletakkan di simpang jalan sebagai tanda ada orang meninggal dunia.
Kata Amir Noor lagi, sebagai cucu yang paling rapat, dia sering menemani Umi Kalthum untuk ke mana-mana majlis yang dianjurkan.
Allahyarham juga kata Amir Noor turut berpesan kepadanya agar mengebumikan jenazahnya di Tamah Perkuburan Islam Klang Gate, Hulu Klang di sini iaitu berdekatan dengan kubur arwah ibunya apabila dia meninggal dunia.
Arwah juga katanya pernah melahirkan hasrat untuk meninggal dunia di Mekah ataupun pada bulan Ramadan.
“Alhamdulillahlah... hajat nenek untuk meninggal dunia pada bulan Ramadan seperti yang diimpikan telah dimakbulkan Allah,” katanya.
Dalam pada itu rakan seangkatan Allahyarham iaitu Datuk Maria Menando, 81, berkata, dia amat terkejut dengan berita kematian itu kerana Umi Kalthum masih dilihat cergas walaupun ketika usianya sudah lanjut.
Katanya, kali terakhir mereka berjumpa ketika menziarahi jenazah Allahyarham Latifah Omar yang meninggal dunia pada 9 Jun lalu.
“Umi seorang rakan yang sangat baik dari segi tutur kata dan tingkah lakunya. Selama mengenalinya, saya amat senang berkawan dengan dia,” kata Maria.
Pelakon Salmah Ahmad, 76, pula berkata, Allahyarham ada berpesan kepadanya agar menjada kesihatan sebaik mungkin selain mengadu sakit dada.
Rakan seangkatan; pelakon Salmah Ahmad (kiri) dan Maria Menando. Foto ihsan: fauziahsamad.com
“Dua hari lepas dia ada telefon saya. Dia nak ajak saya bercuti ke Jakarta. Saya kata tak ada masalah. Kemudian dia bertahu, dadanya sakit sehingga kadang-kadang nak tarik nafas pun susah.
“Kerana masalah itu dia banyak kali berpesan kepada saya supaya saya menjaga kesihatan dengan baik,” katanya yang pernah berlakon dengan Allahyarham dalam filemYatim Mustapha pada tahun 1961.
Sepanjang hayatnya Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bahudin telah berlakon lebih 20 buah filem antaranya Bawang Putih Bawang Merah, Raden Mas, Laila Majnun, Menanti Hari Esok dan Syukur 21.
Watak jahat iaitu Putih yang dipegangnya dalam Bawang Putih Bawang Merah pada tahun 1959 pernah menyebabkan dia dibenci peminat kerana sering mendera adik tirinya iaitu Merah lakonan Latifah Omar.
Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate selepas solat Zuhur pada Rabu.
Turut menziarahi Allahyarham ialah Datuk Aziz Sattar, Datuk Yusof Haslam, Datuk Sarimah Ahmad, Aspalela Abdullah, Zalifah Ibrahim, Hayati Tasrip dan Mariani.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.