Terkini!! ILBAS Menjadi Pusat Latihan Dengan Pelan Pembangunan Baru.. Jom Terjah!!


JITRA – Institut Latihan Belia Sejahtara (ILBAS) akan dibangunkan dengan pelan pembangunan yang baru, mengandungi pelbagai kemudahan sebagai pusat latihan yang mampu menampung peserta kursus seramai 100 orang dalam satu masa.

Demikian antara petikan ucapan perasmian yang disampai oleh Menteri Besar, YAB Dato’Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak, di sini.

Bercakap sempena Majlis Pelancaran Pelan Pembangunan ILBAS, beliau berkata, di atas seluas 148 ekar di Kg. Paya Pahlawan itu akan dibangunkan pelbagai kemudahan dan kursus, antaranya kemahiran kejurulatihan, kepimpinan dan keusahawaan.

“Sebagai pemimpin, saya amat risau dengan suasana penularan masalah gejala sosial dan kerajaan negeri sangat mengambil berat serta memberi sepenuh perhatian ke arah membangunkan sebuah masyarakat penyayang, berbudi pekerti mulia, hormat menghormati serta mempunyai jati diri sahsiah Islam yang tinggi,”jelasnya.

Menurut beliau lagi, PMBKed bersama UPEN telah merancang untuk mencari satu tapak yang sesuai untuk dibangunkan sebagai sebuah pusat untuk melatih dan mendidik pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan muda di Kedah.

“Peringkat awalnya kita merancang nak bangunkan ILBAS di Sungai Petani tetapi pihak PMBKed telah mendapati syarikat swasta yang mengendalikan pusat latihan di sini berhasrat untuk memberhentikan operasi mereka dan kita memilih tempat ini,”sambungnya.

Dengan tertubuhnya ILBAS, ianya memberi peluang kepada para belia dan beliawanis khususnya untuk membina jati diri dan mengecapi zaman belia mereka dengan pelbagai ilmu pengetahuan serta mendapat pedoman dan halatuju yang betul. Katanya lagi, kesejahteraan sesebuah negara kita bergantung sejauh mana kedudukan belia di negara itu.

“ Kita mengambil berat hal-hal berkenaan dan melalui Jawatankuasa Pembangunan Insan Negeri, kita telah pun melaksanakan program-program pada musim cuti sekolah sebagai pengisian kepada anak-anak dan golongan belia samada dalam Kem Anak Soleh, Kem Bina Insan, Kem Bina Sahsiah, Kem Belia Sejahtera dan akhirnya sebagai pelengkap semua kem-kem itu kita bangunkan ILBAS,”ujar Azizan.

Tegasnya, walau pun terpaksa berbelanja besar tetapi dengan dasar perbelanjaan berhemah, kerajaan negeri yakin pembangunan ILBAS dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Sebagai menyempurnakan majlis perasmian berkenaan, beliau telah menurunkan tandatangan pelan pembangunan dan dibawa melawat kawasan persekitaran. Dikesempatan yang ada, beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan memancing serta melepaskan anak-anak ikan di tasik berhampiran.

Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Pembangunan ILBAS yang diadakan di Institut Latihan Belia Sejahtera, Kampung Paya Pahlawan, turut dihadiri oleh Toh Puan Faikah Hamzah, Speaker DUN Kedah, Dato’ Dr Abdul Isa Ismail, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat, ahli parlimen, Pegawai Eksekutif PMBKed, wakil-wakil jabatan kerajaan dan pemimpin masyarakat.


Latarbelakang Institut Latihan Belia Sejahtera (ILBAS)
Rabu, 05 Disember 2012 10:42 | Ditulis oleh SARINA ISMAIL | PDF | Cetak | E-mail

JITRA – Institut Latihan Belia Sejahtara (ILBAS) merupakan projek kerajaan negeri yang diilhamkan oleh Menteri Besar, YAB Dato’Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak bagi memenuhi keperluan pusat latihan di dalam negeri.

Melahirkan belia dan beliawanis yang bersahsiah tinggi, berwawasan dan berpengetahuan dalam pelbagai bidang di samping berkemampuan berdikari serta mempunyai kecerdasan mental dan fizikal, menjadi visi dan misi Institut Latihan Belia Sejahtara (ILBAS).

Di tanah seluas 146 ekar di Kampung Paya Pahlawan, ILBAS mampu menjadi pusat latihan yang mampu menampung seramai 100 orang peserta dalam satu masa. Pembangunan ILBAS dirancang melalui 2 Fasa yang melibat bahagian latihan dan infrastuktor lengkap di Fasa 1 dan membangunkan resort di seberang tasik dengan kemudahan 20 chalet terapung di Fasa 11.

ILBAS menawarkan kursus-kursus seperti kejurulatihan, kepimpinan, kekeluargaan, keusahawanan dan teknologi maklumat. Selain itu ILBAS turut menyediakan pelbagai kemudahan bagi aktiviti berkumpulan, seminar, mesyuarat, program syarikat, kem motivasi dan juga sebagai tempat percutian keluarga.

Sementara itu aktiviti lasak dan fizikal juga menjadi perhatian di institut ini. Antara kemudahan aktiviti yang disediakan ialah kayak, jungle tracking, rakit, berbasikal, rentas air, 10 halangan, abseiling, flying fox dan jet ski.

Perkhidmatan yang ditawarkan terbahagi kepada tiga pakej iaitu pakej koparat, kerajaan dan pelajar. ILBAS juga menyediakan peralatan lengkap untuk mengadakan mesyuarat, 14 buah rumah tamu dan empat dorm yang boleh menampung seramai 200 orang. Selain itu menyediakan kawasan perkhemahan yang boleh menampung 500 orang peserta dan terdapat dua jenis tapak iaitu khemah PLNK dan khemah out door.

Di samping itu ILBAS mempunyai pasarana yang lengkap termasuk bangunan pentadbiran, dewan makan, surau, dewan utama, padang kawad, padang permainan, kelas-kelas, bengkel, makmal komputer, ruang aktiviti lasak, kuaters pegawai serta kakitangan dan balai pengawal.

ILBAS yang diletakkan dibawah pengelolaan PMBKed dan UPEN dijangka akan mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelbagai agensi samada kerajaan mahu pun swasta untuk mengadakan program atau kursus-kursus.

Sebarang pertanyaan dan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 04-9163391 atau layari email ke info@ilbas.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.