PATA 2012 Telan Kos RM3.4 juta Hanya 3 Hari, Lari Bajet Menteri Melancong.. Jom Terjah Kisah Sebenar!!


Oleh Lim Hong Siang

Ketika menjawab pertikaian Anthony Loke mengapa conference Pacific Asia Travel Association (PATA) 2012 menelan kos RM3.4 juta dalam tempoh tiga hari, RM1.7 juta lebih daripada anggaran bajet, Menteri "Melancong", Ng Yen Yen mendakwa program tersebut perlu memperlihatkan imej "Malaysia Boleh". 

 Justeru itu, setiap peserta dihidangkan jamuan malam berharga RM150/orang. Malah, Yen Yen menyindir ahli parlimen Rasah ini, bahawa RM150/orang untuk jamuan malam di Kuala Lumpur adalah standard (taraf) antarabangsa, bukan standard Rasah.

Saya teringat Menu Rakyat 1Malaysia yang diperkenalkan Najib Razak. Perdana Menteri ini hanya membayar RM3 meskipun mengambil lauk-pauk yang mengandungi nasi, ayam masak kicap, ayam masak merah, daging goreng, taugeh dan papadom. Langkah Najib untuk membuktikan bahawa penduduk Kuala Lumpur masih dapat membeli makanan yang murah di pusat bandar ini, akhirnya mendapati taraf rakyat jelata di Lembah Klang hanya mencecah 2% dari paras antarabangsa sebagaimana yang digariskan Ng Yen Yen. Jika diambil gaji minima RM900 yang ditetapkan kerajaan, berhempas pulas satu bulan buruh itu membanting tulang hanya cukup untuk enam hidangan jamuan malam yang bertaraf antarabangsa.


Pedih sungguh jenaka ini, tetapi ia berlaku setiap hari di tanahair yang serba boleh ini. Dengan megah Najib mendabik dada, kononnya mahu menjadikan Malaysia negara demokrasi terbaik di dunia. Maka beliau menggubal Akta Perhimpunan Aman 2011 untuk menyekat hak rakyat berhimpun. Di Amerika Syarikat, calon Presiden mengharungi debat demi debat - antara calon dalam parti, dan antara calon yang berlainan parti. Dari masa ke masa, calon Presiden perlu tampil di depan kaca televisyen, ditusuk dengan soalan yang tajam dari kiri dan kanan, tanpa mempunyai kuasa untuk memecat pengacara atau melucutkan lesen stesen media tersebut. Ini amalan demokrasi bertaraf antarabangsa. Najib yang ghairah mahu menjadikan Malaysia negara demokrasi terbaik di dunia, sekadar merasmikan debat Piala Perdana Menteri, tetapi berdalih bahawa "debat bukan budaya kita" apabila dicabar berbahas dengan Ketua Pembangkang Parlimen.

Padahal saya tertarik dengan kenyataan Ng Yen Yen bahawa program itu perlu memperlihatkan imej "Malaysia Boleh". Kepada siapa imej ini ditunjukkan? Semestinya VIP dari luar negeri. Yen Yen tidak pernah memikirkan, apakah makna VIP dibelanja dengan hidangan RM150/orang, semata-mata untuk menunjukkan "Malaysia Boleh", sedangkan kebanyakan rakyat Malaysia "tidak boleh" menjangkau paras perbelanjaan itu?

Seperkara lagi, seandainya Ng Yen Yen selaku anggota kabinet sedar bahawa jamuan malam berharga RM150/orang adalah taraf antarabangsa, mengapa kerajaan begitu keberatan sebelum ini, apabila pembangkang dan NGO mendesak untuk penggubalan Akta Gaji Minima?

Makna di sebaliknya, kerajaan ini lebih mementingkan persepsi orang asing daripada rakyatnya sendiri. Jikalau kita tidak mudah lupa, pernah VIP dari Pakistan melawat ke Malaysia, lebih 10 tahun yang lalu. PM ketika itu, Mahathir Mohamad cukup berang apabila VIP tersebut ternampak sampah yang bertaburan di Kuala Lumpur. Untuk penganalisa politik seperti Wong Chin Huat ketika itu, mustahil seorang PM yang biasa berulang-alik di KL tidak sedar masalah sampah selama ini. Jadi, persoalan yang timbul di sebalik "kemarahan" Mahathir adalah, apakah beliau marah kerana masalah sampah di KL yang tidak diselesaikan, ataupun keadaan sampah yang bertaburan di KL telah dinampak oleh VIP Pakistan?

Bertimbun-timbun contoh dapat diberikan untuk membuktikan bahawa kerajaan kita sebenarnya lebih ambil berat persepsi orang asing berbanding hidup mati rakyatnya. Pernah negara kita dilanda masalah jerebu. Jalan penyelesaian ketika Najib menyandang jawatan Menteri Pelajaran adalah, memberi amaran agar ahli akademik tidak mengumumkan indeks udara yang sebenar. Alasannya, ia boleh menakutkan pelancong yang merancang untuk melawat Malaysia. Ertinya, kerajaan ini tidak mengambil kisah rakyat yang bergantung kepada indeks udara untuk menentukan aktiviti harian mereka, asalkan pelancong datang berpusu-pusu. 
Padahal Malaysia membayar harga yang terlalu besar semata-mata untuk menunjukkan "Malaysia Boleh".

Untuk menunjukkan kepada orang asing bahawa "Malaysia Boleh" membuat kereta sendiri dan menampung industri automobil ini, maka kita sanggup melumpuhkan sistem pengangkutan awam, menaikkan harga kereta import dengan AP, dan kini berakhir dengan kesesakan jalan raya sebelum dan selepas waktu pejabat. Hari ini, berapa ramai warga Malaysia yang berani berbangga dengan kereta nasional? Cuba perhatikan di jalan raya, pemandu kereta yang membayar tol melalui pintu yang dibuka, dan bukan melalui tingkap - kebanyakannya memakai kereta nasional, betul tidak? Biar jawab dengan ikhlas, andai bukan harganya yang kurang mahal berbanding kereta import, apakah kereta nasional masih dijadikan pilihan?

Jadi, di manakah taraf kita? Di manakah kedudukan sebenar Malaysia di persada dunia? Persoalan di sebalik hidangan RM150/orang adalah, kerajaan sebenarnya sedar senario di luar dunia Malaysia, namun saja memperlekehkan masalah rakyat. Padahal rakyat sedar bukan seorang sahaja yang kenyang apabila dihidangkan makanan berharga RM150/orang. Kita tahu apa bentuk hidangan yang berharga RM3 di KL.

Bayangkanlah jurang antara taraf antarabangsa dengan taraf realiti rakyat jelata. Sejauh mana lebar jaraknya, begitulah tebalnya topeng 1Malaysia. Begitu jugalah buncitnya perut sang penguasa, bini, menantu dan kroninya.

*Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@gmail.com

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.