Mengapa Selebriti Ini Sanggup Biarkan Bapa Yang Buta Kedua Matanya Di Pusat Jagaan Orang2 Tua?.. Jom Terjah!!!

'Jangan sebut tentang mereka' - Bapa selebriti pasrah
Samuin antara individu yang banyak membantu penghuni Rumah Ehsan termasuk Uncle Jai yang sangat dikenalinya.

KUALA KUBU BHARU – 24 September 2012 ini, genap dua tahun bapa kepada seorang selebriti popular di era 80-an, menghuni pusat jagaan orang-orang tua di Rumah Ehsan di sini.

Bapa berusia 75 tahun yang mesra dengan panggilan ‘Uncle Jai’ itu bukan saja menghidap pelbagai penyakit malah, kini hilang penglihatan.

Menurutnya, bukan kerana kejahilan si anak sehingga dia dibiarkan menghuni pusat jagaan itu, tetapi mungkin kerana kesibukan kerja memaksa dua anaknya  yang sudah berkeluarga membiarkan Uncle Jai di rumah jagaan itu.

“Biarlah, jangan sebut sangat tentang mereka. Mereka mungkin sibuk dan banyak komitmen lain,” katanya.



Mungkin itu kata-kata enak bagi memenuhi jawapan daripada soalan yang diajukan Sinar Harian kepadanya, tetapi siapa tahu di lubuk hatinya mungkin mengharapkan anak-anak datang menjemputnya pulang meninggalkan rumah yang tidak sepatutnya wujud dalam dunia manusia.


Buta akibat Tourette Syndrome

Uncle Jai atau nama sebenarnya Jailani Mydin, dilahirkan pada 15 Januari 1935 dan mempunyai dua orang anak lelaki hasil perkongsian hidup dengan bekas isterinya. Menurutnya, dia bercerai sejak 30 tahun lalu dan dalam tempoh itu dia mula hidup bersendirian dan pernah bekerja sebagai kakitangan sebuah bank di Brunei.

Menceritakan detik kehilangan pancainderanya, Uncle Jai memulakan kisah itu ketika bekerja di Brunei. Menurut Uncle Jai, dia menghidap penyakit Tourette Syndrome yang menjadi penyebab kedua-dua matanya buta.

“Penyakit ini sudah lama saya alami kira-kira 40 tahun lalu, tetapi ketika itu saya diserang penyakit sawan dan seluruh badan saya bergetar tidak terkawal.

“Serangan kerap penyakit itu menyebabkan saya buta kerana tangan saya sendiri memukul mata saya,” katanya.

Uncle Jai berkata, sejak itu dia hanya menumpang di rumah rakan karibnya di sebuah rumah flat di Kajang tanpa sebarang bayaran. Namun, rakan karibnya meninggal dunia akibat penyakit barah otak tiga tahun lalu dan sejak itu dia hilang tempat bergantung.

“Saya tahu, anak-anak saya tak mampu jaga saya sebab saya perlukan penjagaan berterusan dan perlu mengambil ubat mengikut jadual.

“Mereka sibuk dan banyak komitmen sebab itu mereka tidak boleh jaga saya,” katanya yang mengambil keputusan menyetujui cadangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menempatkannya di Rumah Ehsan.


Anak tidak pernah datang melawat

Sejak 24 September 2010, Uncle Jai mendiami rumah jagaan itu, tiada seorang pun anaknya datang menjenguk. Pengubat rindu hanyalah suara anak sulungnya yang juga pelakon yang sesekali menghubunginya.

Katanya, anaknya itu menghubunginya  sekurang-kurangnya dua bulan sekali. Walaupun ditakdirkan buta, namun Uncle Jai masih mengingati nombor telefon anak-anaknya malah tidak pernah lupa tarikh ulang tahun mereka. “Anak pertama 18 April 1968, anak kedua 20 April 1970,” katanya pantas menyebut tarikh itu.


Terkejut kes anak dapat liputan media

KATANYA, anak pertamanya popular di era 80-an dan pernah menjadi model pakaian yang dipaparkan di kaca televisyen pada ketika itu. Namun, ketika ini tawaran itu sudah tidak sehebat dulu tambahan pula anak pertamanya itu dihambat dengan kontoversi rumah tangganya.

Menurutnya, dia amat terkejut apabila mendengar berita melalui corong radio di Rumah Ehsan mengenai berita membabitkan anaknya.

“Saya terkejut sebab berita itu menyebut tentang anak saya. Saya akui kesal dengan nasib menimpanya kerana sebagai seorang artis sangat malang bila dikaitkan dengan masalah rumah tangga sehingga menjadi buruan media,” katanya tanpa mahu mengulas lanjut berkaitan perkara itu.


Selesa tinggal di Rumah Ehsan

Uncle Jai kelihatan cukup tenang sepanjang berbual dengan Sinar Harian. Ketika ditanya masih adakah hasrat di hatinya untuk tinggal bersama anak-anak, dengan tenang dia menjawab selesa tinggal di situ.

“Uncle lebih selesa tinggal di sini,” katanya.


Kenangan hidup jadi penghibur

MENURUTNYA, kemeriahan Aidilfitri tenang diraikan bersama 109 penghuni Rumah Ehsan. Katanya, dia pernah dihubungi anak pertamanya bertanyakan khabar dan apabila ditanya kesediaannya untuk datang mengunjunginya hanya janji diberikan.

“I’m coming papa,” itu saja pesan yang sering didengari daripada anaknya. Menurut Uncle Jai, tiada sebarang gambar mahupun hadiah yang boleh dijadikan peneman di kala merindui keluarga dan anak-anaknya.

“Sudahlah buta, tinggal sebatang kara pula,” keluh Uncle Jai. Menurutnya, hanya duduk atau berbaring mengenang kisah manis saat bersama bekas isteri dan anak-anak menjadi penghibur hatinya di kala bersendirian.


|Sinar Harian 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.