Zulkaedah
merupakan bulan ke-11 dalam kalendar Islam. Zul ertinya "yang empunya".
Qa'dah ertinya "duduk". Ini membawa erti bahawa bulan Zulkaedah ialah
bulan untuk berehat-rehat. Sejak dari dahulu lagi, sebelum kedatangan
Islam, masyarakat Arab telah mengiktiraf bahawa Zulkaedah adalah satu
bulan daripada empat bulan yang mulia dan diharamkan berperang. Maka
masyarakat Arab jahiliah tidak keluar berperang pada bulan ini. Selain
Zulkaedah, bulan Zulhijjah, Muharram dan Rejab juga adalah bulan haram (
bulan yang dimuliakan dan diharamkan berperang ). Dan setelah
kedatangan Islam, Rasulullah SAW mengekalkan kemuliaan empat bulan
haram ini, mengekalkan namanya dan mengharamkan berperang padanya.
Bersempena inilah dinamakan ia dengan "Zulkaedah".
Tiada ibadah khusus dalam bulan
Zulkaedah. Bulan Zulkaedah adalah bulan permulaan musim haji. Namun
begitu sebahagian besar ulamak mengatakan bahawa umrah adalah lebih
afdhal di bulan Zulkaedah berdasarkan Rasulullah SAW mengerjakan
umrah-umrah beliau di bulan Zulkaedah dan haji tamattu' juga dimulakan
di bulan Zulkaedah.
Daripada Abu Bakrah(1), sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya: Sesungguhnya
zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan
bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan
haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah,
Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara
Jamadil Akhir dan Sya'aban.
Peristiwa-Peristiwa Penting di bulan Zulkaedah
Peperangan Bani Quraizah
Peperangan
ini berlaku pada tahun ke 5 Hijrah. Setelah tentera Ahzab telah
ditewaskan maka malaikat Jibril AS telah memberitahu Rasulullah SAW
bahawa Allah SWT telah memerintahkan nabi agar pergi ke
perkampungan Bani Quraizah. Bani Quraizah ialah satu puak Yahudi yang
telah terlibat bergabung dengan tentera Ahzab, mengepung umat Islam
semasa perang Ahzab. Rasulullah SAW yang masih belum sempat melucutkan
pakaian perangnya telah mengerah tentera Islam mengepung perkampungan
Bani Quraizah sehinggalah mereka menyerah kalah.
Perjanjian Hudaibiyah
Peristiwa
ini terjadi pada bulan Zulkaedah, penghujung tahun ke 6 Hijrah. Antara
sebab berlaku Perjanjian Hudaibiyah tersebut, Nabi SAW mengumumkan
kepada kaum muslimin keinginan baginda Rasulullah SAW untuk berangkat
pergi ke Mekkah bagi melaksanakan satu lagi ibadah iaitu dengan
menunaikan ibadah umrah.
Hasil pengumuman tersebut yang
diberitahu itu telah mendapat sambutan yang sangat baik oleh sekitar 1
400 orang sahabat dari kaum Muhajirin dan Ansar pada masa itu. Nabi
Muhammad SAW berihram untuk ibadah umrah tersebut ditengah perjalanan
dan membawa bersama-sama binatang yang boleh disembelih atau dikorbankan
(al-hadyu) supaya ianya menjadi pentunjuk atau sebagai memberitahu
kepada orang-orang lain bahawa Nabi Muhammad SAW keluar sedemikian bukan
untuk bermaksud untuk berperang tetapi ianya semata-mata untuk
menziarah ke Baitulullah iaitu Ka'abah, bagi menunaikan ibadah Umrah
tersebut.
Dalam perjalanan ke Makkah,
Rasulullah SAW telah disekat oleh kafir Quraisy dan dihalang dari
memasuki Makkah. Berlaku beberapa perundingan dan ia membawa kepada
perjanjian damai yang dinamakan "Perjanjian Hudaibiyah". Dalam
perjanjian itu, Rasulullah SAW dibenarkan memasuki Makkah dan
mengerjakan umrah hanya pada tahun hadapan serta tahun seterusnya dan
gencatan senjata selama sepuluh tahun di antara Makkah dan Madinah.
Bai'atur Ridwan
Peristiwa
ini berlaku sebelum terjadinya Perjanjian Hudaibiyah, Rasulullah SAW
telah mengutus Usman RA ke Makkah untuk membahas masaalah mengapa
rombongan Rasulullah SAW dihalang dari memasuki Makkah untuk mengerjakan
umrah. Sesampainya di sana Usman bin Affan RA ditahan selama beberapa
waktu oleh orang-orang Quraisy.
Dalam pada itu sampailah berita
kepada Nabi Muhammad SAW bahawa Usman bin Affan RA telah mati dibunuh
oleh orang-orang Quraisy. Maka Nabi Muhammad SAW dengan lantangnya
menyatakan tekadnya : "Kami tidak akan tinggal diam, hingga kami
berhasil menumpas kaum Quraisy".
Kemudian Rasulullah SAW mengajak
berbai'at. Maka terjadilah Bai'atur Ridhwan di bawah sebatang pohon
di tempat tersebut. Bai'at yang dimaksudkan ialah satu perjanjian yang
berlaku antara Nabi Muhammad SAW bersama para-para sahabat yang ada
ketika itu untuk bersatu padu dan bekerjasama menentang orang-orang
kafir Quraisy.
Para sahabat berbai'at kepada
Nabi Muhammad SAW untuk tidak takut dan lari meninggalkan medan perang
sebagai tanda membalas dendam di atas kematian yang menimpa sahabat
baginda Rasulullah SAW. Sementara itu Rasulullah SAW menepukkan
tangannya yang satu ke tangan yang lain seraya berkata : "Pembai'atan
ini untuk Usman bin Affan".
Setelah pembai'atan tersebut,
yang mana telah didengari oleh pihak orang-orang Quraisy, barulah
datang berita yang menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa khabar
terbunuhnya Usman bin Affan itu tidak benar.
Berlakunya Haji Wida'
Pada
tanggal 25 Zulkaedah tahun ke 10 Hijrah, Rasulullah SAW meninggalkan
Kota Madinah untuk menuju ke Kota Makkah bagi menunaikan Haji Wida'
(Haji Penghabisan), baginda disertai seramai 10,000 kaum muslimin.
Haji tersebut adalah haji
pertama Rasulullah SAW dan yang terakhir bagi baginda. Rasulullah SAW
hanya mengerjakan sekali sahaja ibadah haji dan empat kali ibadah umrah
sepanjang umurnya mengikut catatan sejarah.
Kematian Syeikhul Islam, Ibnu Taimiyah
Nama
lengkap Ibnu Taimiyah ialah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul
Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali.
Beliau dilahirkan pada hari Isnin, 10 Rabiulawal 66l Hijrah bersamaan
22 Januari 1263 Masihi di Harran. Beliau adalah seorang yang amat
berjasa dalam melaksanakan dasar "pembersihan" dalam Islam.
Apabila umat Islam sudah mula
menyimpang dan mencampur adukkan unsur-unsur bid'ah dan khurafat dalam
ajaran Islam pada zamannya maka beliau tampil berusaha mengembalikan
mereka ke landasan Islam yang sebenarnya. Beliau juga meninggalkan
ratusan buah kitab karangannya yang menjadi rujukan sehingga sekarang.
Karangan terbesarnya ialah Fatawa Ibnu Taimiyyah yang menjadi rujukan
ahli fiqh dan hukum sehingga ke hari ini.
Beliau meninggal dunia hari
Isnin, 20 Zulkaedah 728 Hijrah. (28 September 1328 Masihi), dalam usia
67 tahun, setelah sakit dalam penjara lebih dari 20 hari. Beliau
menghembuskan nafas yang terakhir di atas tikar solatnya, sedang dalam
keadaan membaca Al-Quran. Walaupun beliau juga seorang yang banyak
dibenci orang kerana pendirian tegasnya, tetapi jenazah
beliau diiringkan ke pusara oleh 200,000 orang lelaki dan 15,000 orang
wanita.
Peringatan untuk kita bersama.
ReplyDeleteMaksimumkan Peluang Anda Untuk Hamil.