Maria Chin Abdullah
Maria Chin Abdullah

KUALA LUMPUR - Perhimpunan Gabungan Janji Bersih di Dataran Merdeka Khamis ini telah mendapat kelulusan polis tetapi dengan syarat pihak penganjur perlu menjamin keselamatan orang ramai.

Ahli jawatankuasanya, Maria Chin Abdullah berkata, pihak polis telah memanggil beliau bagi memberi penjelasan berhubung perhimpunan itu.


Menurutnya, penjelasan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 2 petang tadi.


Pun begitu penganjur perlu mendapatkan kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur terlebih dahulu.


"Kita membincang dan memberi keterangan kepada pihak polis apa yang akan dilakukan nanti.



"Pihak polis tiada halangan namun kami perlu bagi jaminan keselamatan supaya tiada sebarang perkara buruk yang boleh mengancam keselamatan orang ramai," katanya kepada media di sini petang tadi.


Sebelum ini, lebih 20 pertubuhan bukan kerajaan berkata akan menganjurkan Himpunan Janji Bersih sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 - susulan kepada lapan tuntutan Bersih 2.0.

Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk A. Samad Said berkata, perhimpunan ini, yang diadakan pada jam 10 malam 30 Ogos di Dataran Merdeka, dianjurkan bagi membawa mesej orang ramai yang memerlukan sebuah Malaysia yang bersih dan adil.

"Kami mahu lapan tuntutan itu ditunaikan," kata beliau.

Justeru, Maria berkata, "himpunan ini turut disertai oleh komuniti yang ingin bersama perjuangkan janji Bersih ini."

"Komuniti itu akan berkumpul di Jalan Petaling dan Jalan Sultan Ismail tanpa membawa sebarang sepanduk atau alat demonstrasi dan kami hanya memakai baju berwarna kuning," katanya lagi.
Maria berharap himpunan ini tidak akan mencetuskan sebarang provokasi kerana ia akan diadakan secara aman.