Setiap kali berbangkit sebarang isu yang melibatkan kerajaan
negeri Kedah maka saya akan dihujani pertanyaan atau meminta saya menulis
menjelaskan isu sebenar dalam Harakah. Sebagai orang yang diamanahkan memimpin
unit penerangan kerajaan negeri Kedah bagi menggantikan RTM saya terpaksa
mendalami setiap isu berbangkit, kadang-kadang terpaksa jadi ‘MB dan Exco’ –
maksudnya kena tahu dan faham apa yang MB dan Exco tahu dan faham.
Alhamdulillah dalam kebanyakan isu yang berlaku sejak 9 Mac
2008 hingga ke saat ini saya berpeluang untuk tahu dan faham, lalu dapat
menulis memberikan penjelasan kepada sekelian rakyat 1 Malaysia. Namun ada satu
isu yang saya tahu tapi hingga saat ini masih tak faham-faham iaitu pergolakan
di Kolej Universiti Insaniah (Insaniah). Jadi jika ada pihak yang meminta saya
menulis mengenai isu Insaniah; minta pertahankan kerajaan negeri dan membidas
pihak tertentu yang kononnya adalah pembangkang kepada kerajaan negeri maka
setakat ini saya belum mampu berbuat demikian.
Pergolakan di Insaniah bukan isu politik PAS lawan UMNO atau
Pakatan Rakyat lawan BN. Pertikaiannya adalah dalaman, kompleks dan rumit,
bermula dari pelajar hingga ke rektor dan memakan masa yang agak lama. Oleh
kerana ada perkara-perkara yang tidak diatasi dalam masa yang agak lama,
akhirnya secara evolusi membentuk kem yang menyatakan penentangan terbuka
terhadap Rektor Insaniah iaitu Prof Dr. Jamil. (Saya namakan ‘kem penentang’
untuk mudah menyebut).
Dalam kem penentang ini terdapat orang UMNO yang memang
mencari peluang untuk memburukkan kerajaan negeri mengambil kesempatan dalam
kesempitan dalam setiap isu yang berlaku di Insaniah.
Dalam kem penentang ini
terdapat individu PAS yang menilai ketidakwajaran dalam pengurusan dan tindakan
rektor dalam banyak perkara. Dalam kem penentang ini juga terdapat individu
yang ada agenda politik peribadi (bukan politik kepartian) yang merancang
konspirasi tertentu dan mungkin ada hasrat membalas dendam terhadap peristiwa
lain yang tiada kena mengena dengan isu di Insaniah. Semua ahli komponen kem
penentang ini boleh bersatu kerana mensasarkan musuh bersama yang satu iaitu
Rektor Insaniah.
Mereka mudah pula untuk mendapat sokongan dari kalangan staf
kerana sebahagian besar staf tersebut terbabit dengan masalah yang berkaitan
dengan kewangan berkaitan pentadbiran Insaniah. Maka tercetuslah demonstrasi
kira-kira 200 staf Insaniah (jumlah seperti dilaporkan media) pada 3 Julai 2012
mendesak Rektor Insaniah meletak jawatan.
Saya telah meneliti senarai tuntutan yang terkandung dalam
memorandum kem penentang yang ditujukan kepada Menteri Besar dan salinan kepada
seantero dunia. Terdapat isi memo yang karut dan fitnah terutama yang berkaitan
serangan peribadi terhadap individu yang bukan pembuat keputusan. Tetapi
terdapat juga isi memo di mana pandangan yang diutarakan itu betul!
(Betul pada pandangan saya... Apa yang betul dan betul tu
tak boleh nak sebut kat sini. Kena bersembang kat Kedai Nasi Ayam Haji Nan,
Bangleh Ikan Bakaq atau Kopitiam)
Tuntutan oleh kem penentang dalam Insaniah itu tidak boleh
dipandang enteng. Demonstrasi staf itu juga kena diambil perhatian. Jarang ada
kakitangan kerajaan yang sanggup berdemo ramai-ramai ala PAS macam tu, kalau
benar-benar tidak terdesak. Saya tidak kata tindakan mereka itu betul kerana
buka peluang yang luas untuk UMNO, TV3, RTM dll eksploit isu untuk memburukkan
PAS. Tapi membiarkan masalah berlarutan dalam masa yang panjang tanpa
penyelesaian lebih buruk akibatnya (terhadap imej kerajaan negeri) dari panggil
TV3 buat liputan.
Jadi semua pihak yang ada kuasa kena tawadhukkan diri dan
berbincanglah cari penyelesaian yang sebaik-baiknya. Baik juga kalau semua
pihak terbabit bermusyauwarah cari penyelesaian dalam bulan Ramadhan yang akan
tiba tak berapa hari lagi kerana pada masa itu syaitan sudah kena rantai.
Itu saja ‘penjelasan’ yang mampu saya berikan.
Zulkifli Yahaya
Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah
4 Julai 2012
0 comments:
Post a Comment