(Video) Wira Harimau Muda, Rozaimi Meledakkan 4 Gol Untuk Malaysia Menang 7-0 Bertemu Filipina Fiala AFC..


Md. Rozaimi Abd. Rahman meledak empat gol ketika Malaysia mengalahkan Filipina pada Kelayakan Piala AFC di Myanmar, semalam.

KUALA LUMPUR - Skuad negara membelasah Filipina 7-0 pada perlawanan kedua Kumpulan G Kelayakan Piala AFC di Stadium Aung San, Yangon, Myanmar semalam yang sekali gus menebus kehampaan tewas 2-3 kepada Korea Selatan pada perlawanan pembukaan, Sabtu lalu.






Skuad Bawah 22 tahun bimbingan Ong Kim Swee garang sebaik sahaja perlawanan dimulakan apabila tidak menunggu lama untuk meledakkan gol sulung menerusi penyerang Sabah, Md. Rozaimi Abd. Rahman pada minit kedua.


Rentak cemerlang pasukan muda negara berterusan apabila menggandakan asakan dan memperoleh gol kedua menerusi pemain pertahanan, Mohamad Fandi Othman pada minit ke-32.


Selang tiga minit, Rozaimi meletakkan Malaysia pada kedudukan yang cukup selesa apabila menyumbat gol ketiga, sebelum Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menjaringkan gol keempat lima minit sebelum wisel penamat babak pertama dibunyikan.


Selepas rehat, pemburuan gol skuad Harimau Muda diteruskan dan gol kelima menjelma apabila Malaysia dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil dari Kyrgyzstan, Faizullin Timur.


Rozaimi yang mengambil tanggungjawab itu, melengkapkan hatrik apabila menewaskan penjaga gol Filipina, Albao Anthony Clores pada minit ke-69 yang sekali gus melebarkan kedudukan kepada 5-0.


Derita Filipina tidak terhenti setakat itu, apabila Rozaimi buat kali keempat merobek gawang pasukan lawan pada minit ke-74 dan Malaysia melengkapkan kemenangan 7 gol tanpa balas melalui pemain gantian D. Saarvindran yang diledakkan pada masa kecederaan (minit ke-91).


Sementara itu, jurulatih skuad kebangsaan, Ong Kim Swee ketika dihubungi memuji persembahan anak-anak buahnya terutama kejayaan Rozaimi yang meledakkan empat gol.


"Semangat sebegini yang saya mahukan dan saya berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh anak-anak buah saya," katanya.


Menurutnya, beliau turut berpuas hati dengan prestasi jaringan yang dipersembahkan para pemain apabila mereka tidak terlalu bergantung kepada pemain tertentu untuk meledakkan jaringan.


Perlawanan berikutnya, Malaysia bakal menentang skuad bawah 22 tahun Taiwan pada Khamis ini pukul 3.15 petang di Stadium Aung San.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.