Setelah Sedekad: Mengenang Kembali Pemergian Almarhum Dato' Fadzil - Amanat2nya Tetap Segar...


Pembangkang Parlimen Malaysia, Almarhum Dato’ Fadzil Mohd Noor.

Allahyarham merupakan satu nama besar dalam arena politik dan gerakan Islam, bukan sahaja dalam negara, malah dikenali di seantero dunia lantaran kehebatan cara berpidato beliau dengan mengemukakan hujah yang mantap yang sukar ditangkis oleh pihak lawan terutama Umno-BN.

Sepanjang penglibatan beliau dalam arena politik tanah air, banyak perkembangan positif dalam memimpin ummah dengan politik yang sihat agar mereka bersedia untuk menyatakan kebenaran di hadapan golongan individu yang tidak berapa cenderung kepada pelaksanaan undang-undang Islam yang kian lama terpinggir dalam kehidupan umat Islam. Pada 1998, beliau dilantik sebagai Pengerusi Gerak (Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia). 



Gerak ditubuhkan oleh PAS, DAP dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan disertai oleh 15 pertubuhan bukan kerajaan dan individu untuk menegakkan keadilan selepas pemecatan dan penahanan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Ia dianggap sebagai satu usaha murni kerana mahu membela insan yang dizalimi sesuai dengan pendekatan PAS untuk membela mana-mana insan yang teraniaya dalam segenap lapangan hidup mereka.

Jasa Almarhum dalam menawan Kelantan, Terengganu Hasil kerjasama PAS dengan Parti Semangat 46 dan membentuk Angkatan Perpaduan Ummah pada 1989, PAS berjaya menang majoriti kerusi di negeri Kelantan dan kerajaan PAS dibentuk semula di Kelantan pada 1990 semenjak kalah teruk pada 1977.


Pada 1999, PAS menubuhkan Barisan Alternatif bersama KeADILan dan berjaya mendapatkan semula Terengganu yang terlepas pada 1964. Rakan ABIM-nya, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu untuk satu penggal.


Apa yang jelas, pentadbiran Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah mencecah lima penggal dan telah menjangkau usia 22 tahun yang menyaksikan semua lapisan masyarakat yang mewakili pelbagai kaum hidup dalam aman, harmoni serta selamat dengan limpahan kurnia daripada Allah SWT.


Inilah kejayaan Almarhum dalam mengembalikan maruah Islam dengan menerajui kepimpinan ulama yang jelas mampu berpolitik dan mengurus tadbir negeri dengan elemen Islam yang berpaksikan al-Quran, as-Sunnah dan Sirah Rasulullah s.a.w.


Menghayati amanat Almarhum Apa yang menarik, ialah ucapan Almarhum pada majlis penutupan Muktamar Tahunan PAS ke-48 di Kelantan. Beliau ada menegaskan “kalau boleh saya tak nak berhenti bercakap sebab saya berucap dengan orang yang saya kasihi dan saya sayang!” Iaitu kata-kata yang boleh dianggap sebagai terbuka untuk sesiapa sahaja, baik kawan dan lawan bagi menyatakan kebenaran, kerana mereka semua adalah saudara dalam Islam.


Sebagai seorang mujahid, Almarhum Ustaz Fadzil dalam segenap tindak-tanduk, pertuturan, tindakan mahupun perbuatannya penuh dengan elemen tarbiyah yang menjurus kepada mengingatkan rakan-rakan dalam kalangan ahli PAS khususnya dan yang lain-lain, bahawa hidup ini adalah ujian yang mesti ditempuh oleh setiap individu Muslim terutama mereka yang berada dalam kancah dakwah atau lebih tepat lagi ialah ‘gerakan Islam.”


Justeru, beliau mengingatkan para ‘‘amilin’ dalam PAS khususnya bahawa penyertaan mereka ke dalam PAS bukanlah untuk meraih sebarang kedudukan, pangkat dan harta benda, tetapi untuk mencari keredaan Allah yang tidak ada dalam parti yang berpaksikan sekularisme dan kebangsaan tertentu.


Almarhum mengingatkan semua ahli PAS menerusi kata-kata yang masyhur yang disifatkan oleh setengah ilmuan dalam Parti Islam ini sebagai ‘Amanat Ustaz Fadzil Noor’, di mana beliau mengungkapkan: 



“Jangan masuk PAS kalau anda cari dunia. Jangan panggil diri anda pejuang Islam kalau anda nak manusia puji anda. Anda jangan perasan macam anda ulama kalau perjuangan anda hanya setakat serban, jubah dan kopiah. PAS bukan untuk orang yang buru dunia, PAS adalah untuk orang yang buru akhirat. Hidup mulia atau mati syahid. Mati beriman.

Hidup bermaruah. Minta ampun kepada Allah SWT kalau ada buat dosa, tetapi jangan putus asa dengan Allah Taala.”


Selain kita memiliki al-Quran, Hadis Nabi Muhammad s.a.w., Sirah baginda, jika kita pegang dengan sungguhsungguh, Insya-Allah pasti kita tidak akan sesat. Namun selain itu semua, kita ada kata-kata hikmah atau amanat daripada insan-insan yang luhur budi pekertinya, ikhlas kerana Allah dalam memperjuangkan agama-Nya seperti yang ditegaskan oleh Almarhum di atas.


Cuba kita nilai dan teliti kata-katanya itu, bahawa PAS bukan sinonim bagi individu yang berkepentingan duniawi, yang mengejar jawatan, kedudukan atau pangkat, malah PAS adalah wadah yang sentiasa mendahulukan hukumhakam Allah, peraturan serta undangundang- Nya yang sudah lama terpinggir daripada kehidupan umat Islam terutama selepas negara-negara mereka dijajah oleh penjajah yang anti-Islam.


Sesungguhnya PAS bukanlah parti yang menjanjikan kemewahan duniawi, justeru ia sentiasa mendidik ummah dengan ilmu-ilmu kefahaman agama sekali gus mengajak manusia untuk membesarkan Allah bukan sahaja dalam aspek ibadat, malah dalam segenap disiplin hidup agar ianya bertunjangkan Islam, setiap individu dalam PAS perlu mengetahui tugas masing-masing iaitu menjalankan ‘Amar Makruf Nahi Munkar’ bersesuaian dengan kenyataan Allah dalam kitab suci-Nya al-Quran.


Sesungguhnya anjakan paradigma ini perlu direalisasikan kepada ummah agar mereka faham tuntutan dan jalan menuju syurga Allah SWT. Kerja mulia ini tidak perlu diiringi dengan pujian manusia, sebab itu, kalau berkopiah pun tetapi masih lagi tidak faham Islam, akan merencatkan tugas mulia ini. Bila berkopiah, janganlah sekalikali menghisap rokok di tempat awam, kerana ia akan memudaratkan tugasan dakwah hingga akhirnya akan dicemuh oleh mereka yang tidak faham Islam yang sengaja mahu menuding jari ke arah Islam.


Kewujudan PAS dalam negara ini, ialah untuk menyatakan kepada manusia, bahawa ia tidak mengharapkan habuan dunia yang fana’ ini, PAS memburu jalan akhirat kerana ia sudah termaktub dalam perlembagaannya sejak ia diperkenalkan. Ini kerana individu yang berkepentingan duniawi, tidak akan ke mana kalau menyertai PAS, dia akan tersungkur kerana wawasan Islam yang dibawa PAS tidak menepati cita rasanya.


Apa yang menarik sejak PAS wujud lebih setengah abad di persada tanah air ini, ia semakin diterima oleh segenap masyarakat, bukan sahaja ia diterima oleh mereka yang berjawatan penting dalam kerajaan, malah golongan artis juga sudah mula menampakkan kecenderungan mereka untuk menyertai PAS kerana menepati jiwa dan sanubari mereka bahawa Islam yang dibawa PAS menepati kebenaran al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.


Apa yang penting, seluruh ahli PAS tidak leka dengan kemasukan sedikit demi sedikit individu yang menyertai parti ini, tetapi pada masa yang sama gerak kerja untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 terus berjalan lancar bagi memastikan PAS dan pakatannya terus mendominasi kemenangan bagi merealisasikan manifesto dan cita-cita mendaulatkan sebuah ‘Negara Islam’ yang diidam-idamkan seluruh rakyat dalam negara ini.



Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.