[Gambar] Memalukan PM Haji Najib : "Dah 6 Tahun Bocor" Di Mana Silapnya?

Rayu tukar zink rumah
Ramli menunjukkan keadaan atap rumahnya yang bocor setiap kali hujan lebat.
 
PIANGGU - Setiap kali hujan lebat, sebuah keluarga yang menetap di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Pianggu, di sini, terpaksa ‘bermandi hujan’ apabila atap zink rumah yang didiami mereka itu bocor sejak lebih enam tahun lalu.

Kesempitan hidup pasangan Ramli Mohd, 52, dan Nilam Yet, 40, menyebabkan mereka hidup dalam serba kedaifan, tambahan pula terpaksa menanggung dua lagi anaknya yang masih bersekolah.


Ramli yang hanya bekerja sebagai tukang kebun sebuah sekolah berkata, akibat daripada kesempitan hidup yang dialami, dia tidak mampu untuk menggantikan atap zink rumah berkenaan.


“Pendapatan saya ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana gaji bulanan yang saya peroleh hanya cukup untuk makan saja selain untuk kegunaan perbelanjaan anak sekolah.


“Mujur isteri juga membantu saya dengan bekerja di kebun sayur, bolehlah bantu apa yang kurang, tapi untuk membeli dan menukar atap zink memang tak mampu,” katanya kepada Sinar Harian.


Ramli berkata, beberapa bahagian ataprumahnya terutama di bahagian dapur mulai mereput dan sering dimasuki air hujan selain bimbang ia akan diterbangkan angin sekiranya masih tidak diganti baru.


“Setiap kali hujan saja, kami hanya mampu berdoa agar tiada apa-apa berlaku kerana atap rumah sering kali berbunyi apabila ditiup angin seolah-olah seperti mahu tercabut,” katanya.


Selain itu, katanya, projek PPRT yang didiaminya itu hanya menampakkan batu bata sahaja di dalam dan luar rumahnya kerana ia tidak ditampal dengan simen dinding.


“Air hujan sering mengalir di celah simen batu bata rumah dan keadaan itu menyebabkan kebanyakan dinding rumah kami mengalami keretakan teruk serta mengancam keselamatan,” katanya.


Menurutnya, setiap bulan, dia terpaksa membelanjakan antara RM500 hingga RM700 untuk membeli keperluan barangan makanan, belanja anak sekolah sebanyak RM7 sehari serta membayar bil air dan elektrik.


“Dalam keadaan kos harga barangan yang tinggi ini, duit gaji saya habis begitu saja dan kadang-kadang kami terpaksa berjimat cermat pada akhir bulan kerana bimbang duit tak cukup,” katanya.


Anaknya, Norhayati, 14, berkata, dia susah untuk mengulang kaji pelajaran setiap kali hujan kerana atap rumahnya bocor dan kadang-kadang buku sekolahnya terpaksa dijemur di luar rumah kerana basah.


“Kadang-kadang kami terpaksa tidur bertemankan tempias air hujan, namun apa boleh buat kerana keadaan kemiskinan yang kami hadapi,” katanya.


Norhayati berkata, akibat rumahnya yang daif itu, dia berasa segan untuk membawa rakan-rakannya untuk datang ke rumah terutama pada hari raya.


Katanya, dia teringin untuk membawa rakan berkunjung ke rumah, namun hasrat itu terpaksa dilupakannya memandangkan keadaan rumahnya yang usang.


“Pernah juga rakan saya menyatakan hasrat untuk datang beraya ke rumah, namun saya terpaksa memberikan pelbagai alasan kerana bimbang mereka berasa tidak selesa,” katanya.


-Sinar Harian 

1 comments:

  1. Pakatan. Ini peluang tambah penyokong. Tunggu apa lagi? Aktifkan Unit Amal untuk bantu keluarga ini.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.