Demi Keselesaan Penduduk RM 4.8Juta Dipohon Dari Kerajaan Negeri Untuk Baikpulih Jambatan... Moga MBKu Segera Luluskan...

LANGGAR – Kira-kira RM4.8 juta peruntukkan dicadangkan kepada kerajaan negeri untuk membaik pulih jambatan di Kampung Titi Haji Idris yang menjadi laluan utama untuk ke Alor Setar atau Pendang.

Demikian kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah ketika meninjau lokasi terbabit.

“Kita akan cuba memohon peruntukan dari kerajaan negeri kira-kira RM4.8 juta untuk membaik pulih jambatan berkenaan dan ianya mungkin proses baik pulih itu akan mengambil masa kira-kira setahun.

“Sepanjang tempoh jambatan tersebut dibaiki, pihak JKR akan membina laluan sementara di lokasi berdekatan yang bersesuaian untuk kegunaan pengguna,” jelas beliau.


Tambahnya lagi, berikutan aduan masyarakat setempat mengenai bunyi bising apabila kenderaan melintasi jambatan berkenaan, satu tindakan telah diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut dan sekaligus memberi keselesaan kepada penduduk sekeliling, khususnya.

“Dalam tempoh dua tiga hari lagi, bermula jam 11 malam, pihak JKR akan memasang plet di jambatan tersebut sebagai langkah mengurangkan bunyi bising,” kata beliau.

Jambatan Titi Haji Idris menjadi laluan utama penduduk-penduduk kampung berhampiran untuk ke Alor Setar atau ke Pendang, selain ianya menjadi laluan pilihan kepada pengguna-pengguna lain. Buat masa sekarang hanya kenderaan lima tan ke bawah sahaja yang dibenarkan menggunakan jambatan berkenaan.

Amiruddin bersama Pengarah dan beberapa kakitangan JKR meluangkan masa meninjau lokasi berkenaan untuk melihat sendiri masalah berkaitan. Sebelum itu, beliau telah mengadakan lawatan ke Pejabat JKR Negeri Kedah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.