Al Fatihah: DJ Radio IKIMfm Kembali ke Rahmatullah Terlibat Dengan Kemalangan Pagi Tadi... Takziah Buat Ahli Keluarganya..


Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera.. 


Takziah saya ucapkan kepada keluarga salah seorang pengacara radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Pengacara yang popular dengan nama DJ Razak itu, meninggal dunia pagi tadi kerana terlibat dengan kemalangan jalan raya. 


Nama penuh DJ Razak ialah Abdul Razak Arbain, 46. Arwah yang merupakan bekas anggota tentera itu dikatakan terlibat dengan kemalangan tersebut pada pukul 7.15 pagi selepas ingin pulang daripada menghantar anaknya ke sekolah. Kejadian berlaku di Taman Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Bukit Jalil. 


Allahyarham cukup disenangi oleh para pendengar radio, dan rakan sekerja terutama peminat segmen kendaliannya iaitu slot ‘Dini Hari’ bermula jam 2 petang sehingga 6 petang. 




Allahyarham meninggalkan seorang balu, Rosnani Binti Haji Dali dan tiga orang anak yang berusia antara 10 dan 19 tahun. Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg. Bohol, Kinrara, Puchong, selepas solat Zohor tadi. 


Allahyarham bertembung motosikal yang ditunggangi dengan motosikal rakan "Chedet" saudara Ab Rahman Zamri yang sedang kritikal di wad ICU Hospital Serdang Sekarang. Sdr Ab Rahman merupakan bekas anggota No 10 Sqn, Tentera Udara Diraja Malaysia , pernah bertugas bersama saya lebih 8 tahun. Sekarang beliau bertugas sebagai Mekanik kapal terbang di Line Maintenance 11, Komplek A, Malaysian Airline System Subang. Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham Abdul Razak Arbain.. Al-Fatihah.


Allahyarham yang lebih dikenali sebagai DJ Razak cukup disenangi peminat kerana begitu mesra melayan setiap panggilan dan permintaan pendengar. Beliau seorang yang tidak lokek senyum dan amat mesra dengan setiap orang ditemui. Dalam kalangan rakan sekerja, beliau merupakan rakan yang suka menolong dan membantu orang lain, walaupun ada ketikanya menyusahkan diri beliau sendiri. Perkara ini diakui sendiri oleh Pengarah Radio IKIMfm, Encik Nik Roskiman Abdul Samad, yang menyifatkan Allahyarham sebagai antara rakan sekerja terbaik yang sentiasa mudah mengikut arahan.

Allahyarham juga sentiasa ikut serta turun padang bersama para penyampai IKIMfm yang lain. Yang terbaharu dan terakhir ialah apabila beliau bersama dalam program “Bonanza Amal Hope 2 Walk” di Muzium Negara, program anjuran Islamic Aid Malaysia dan IKIMfm dalam mencari dana membantu adik Annur yang mengidap Celebral Palsy.
Pemergian arwah merupakan satu kehilangan besar untuk IKIMfm dan bukan sahaja ditangisi oleh rakan sekerja tetapi oleh ribuan pendengar setia IKIMfm dan peminat beliau yang sentiasa ternanti-nanti kemunculan beliau di ruang udara.
Beliau yang dilahirkan pada 13 Mac 1966 meninggalkan seorang balu, Rosnani binti Haji Dali dan tiga orang anak, dua perempuan dan seorang lelaki.
Moga-moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Abdul Razak Arbain dan menempatkan rohnya bersama orang-orang solihin.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.