SHAH ALAM - Suhakam memandang berat keputusan sesetengah universiti baru-baru ini yang menggantung penuntut yang menyuarakan pendapat dan mendakwa bahawa mereka telah memburukkan nama institusi pengajian tinggi masing-masing dan mengganggu ketenteraman awam.
Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, pihak kesan tindakan yang diambil oleh beberapa universiti tersebut bukan sahaja menyekat hak asasi para pelajar, malah bertentangan dengan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku), yang membenarkan pelajar universiti berumur 21 tahun dan ke atas menggunakan hak mereka berhubung kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan, yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan petang ini, Hasmy berkata, kesedaran terhadap hak ekonomi, sivil dan politik di kalangan pelajar universiti dan penglibatan mereka dalam perbincangan mengenai isu-isu berkaitan kepentingan nasional perlu dilihat secara positif bagi melengkap dan menambah pendidikan dan latihan formal yang diterima di universiti.
"Sebarang sekatan yang tidak munasabah ke atas penggunaan hak dan pengalaman berkenaan akan menidakkan pendidikan dan pengalaman yang amat penting dalam perkembangan mereka sebagai pemimpin masa depan negara," katanya.
Oleh itu kata beliau, Suhakam mengalu-alukan rundingan awal yang diadakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi bersama suruhanjaya, wakil-wakil pelajar dan pihak berkepentingan yang lain mengenai peruntukan yang kontroversi dalam Auku dan berharap agar rundingan awam serta dialog terbuka selanjutnya dapat diadakan agar ia akan membolehkan pelajar-pelajar mencapai lebih banyak hak dan kebebasan.
Dalam kejadian terbaru awal bulan ini, aktivis pelajar Adam Adli Abdul Halim digantung pengajian selama tiga semester atas tuduhan mencemarkan reputasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi).
Penggantungan pelajar tahun ketiga jurusan Mengajar Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) peringkat sarjana muda itu berkuat kuasa serta-merta.
Pelajar 22 tahun itu ditahan dan dihadapkan ke jawatankuasa tatatertib universiti berkenaan atas dakwaan terbabit dengan perhimpunan menuntut kebebasan akademik,17 Disember lalu.
0 comments:
Post a Comment