Kebakaran di Kampung Barjaya - Dua Terbunuh

http://www.wartakedah.net/images/bakao.jpg

ALOR SETAR, 4 Jan 2012 – Dua maut manakala empat orang lagi cedera dalam kebakaran di Kampung Berjaya, Alor Setar pada pukul  2.00 pagi tadi yang melibatkan empat buah rumah. Dua buah rumah musnah sementara dua buah lagi mengalami kerosakan.

Dua mangsa yang terbunuh dalam kebakaran berkenaan, Chow Chi Moi (ibu, 56 tahun), Lim Yee Joo (anak perempuan, 25 tahun ) didapati terperangkap di tingkat atas dan mayat mereka dijumpai saling berpelukan, manakala ayahnya yang tidur di tingkat bawah berjaya menyelamatkan diri.

Menurut jiran-jiran berdekatan, api marak dengan begitu cepat serta ditambah pula dengan angin bertiup agak kencang malam tadi. Sebanyak 10 buah kereta bomba bergegas ke tempat kejadian tetapi hanya tiga buah sahaja yang boleh memasuki kampung tersebut kerana lorong yang sempit serta kedudukan rumah yang terlalu dekat antara satu sama lain.

Sementara itu, keluarga Oii Kim Bok bersama isterinya See Kim Liam dan anak lelakinya Ooi Chee Keong mengambil jalan nekad terjun melalui tingkap untuk menyelamatkan diri apabila melihat api semakin marak di ruang tangga rumah mereka.

ADUN Alor Mengkudu, YB Dr Ismail Salleh yang juga merupakan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluangkan masa menziarahi kawasan kebakaran serta menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang terlibat. Dalam ucapan ringkasnya, beliau berharap mangsa kebakaran agar bersabar lebih-lebihnya kepada keluarga yang kehilangan nyawa.

Beliau juga turut menyampaikan bantuan segera kepada mangsa berupa wang tunai sebanyak RM500 untuk tuan milik rumah yang musnah manakala RM200 untuk rumah yang mengalami kerosakan. Selain itu mereka dinasihatkan  menghubungi Majls Ketua Kampung (MKK) berkenaan untuk tindakan susulan.

Semua mangsa yang terlibat dinasihatkan membuat laporan polis. Setakat ini punca kebakaran dan  jumlah kerugian belum diketahui. Keempat-empat buah rumah yang terlibat dimiliki oleh kaum Tiong Hua dan sebuah darinya disewakan kepada keluarga India.

Semua mangsa kebakaran yang cedera mendapat rawatan di Hospital Sultanah Bahyah. Alor Setar.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.