Guan Eng: Pakatan Rakyat Akan Sepakat Tentukan Tarikh Pilihan Raya DUN Nanti...

Lim berkata tidak mahu mengecewakan rakyat Pulau Pinang memandangkan Bajet 2012 baru sahaja diluluskan. — Foto fail
 
SERDANG, 20 Nov — Lim Guan Eng hari ini berkata kepimpinan Pakatan Rakyat secara bersama akan menentukan sama ada Pulau Pinang perlu mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri serentak dengan pilihan raya umum nasional, yang dijangka dipanggil dalam waktu terdekat.
Khamis lalu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan beliau tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri jika pilihan raya umum Parlimen diadakan sebelum Jun depan.
“Itu keputusan Tan Sri Khalid. Sudah tentu beliau ada prerogatif untuk ambil keputusan itu.
“Tetapi pada masa yang sama, meskipun Menteri Besar atau Ketua Menteri ada prerogatif, saya mengambil pendekatan berbeza, saya mahu berunding dengan rakan-rakan saya dalam Pakatan Rakyat,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang ini selepas Persidangan Tahunan DAP Selangor di sini.
Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, beliau tidak mahu mengecewakan rakyat negeri Pulau Pinang memandangkan Bajet 2012 baru sahaja diluluskan.
Baru-baru ini, dengan memberikan lima alasan, Lim yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata kerajaan negeri Pulau Pinang tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memutuskan untuk memanggil pilihan raya umum tergempar.
Terdahulu Pemuda MCA mendakwa Pakatan Rakyat tidak bersedia untuk mengadakan pilihan raya serentak sama ada “kerana tidak bersedia untuk berhadapan dengan calon-caloan Barisan Nasional atau bebas ataupun gagal dalam menunaikan janji-janji pilihan raya.”/TMI

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.