Video: Majlis Perjumpaan Rakan Maya MB Kedah - Tahniah MBku Atas Anjuran Majlis Ini, Moga Diadakan Selalu....


Visits Facebook Video Embed Tools



Jadikan medan alam siber sebagai alat menyebarkan maklumat membina, bernas, berkongsi-kongsi pandangan dan bukannya sebagai alat untuk mempromosikan perpecahan.

Demikian antara ucapan Menteri Besar, YAB Dato’Seri Ustaz Azizan Abdul Razak sempena Majlis Perjumpaan Rakan Maya Menteri Besar di Dewan Seri Mentaloon di sini.

“Media baru seperti Face Book, twitter dan blog-blog ini merupakan satu medan alternatif yang digunakan oleh rakyat untuk mengetahui atau menyampaikan sesuatu maklumat yang setengahnya tidak disebarkan oleh media arus perdana.

“Kerajaan negeri sendiri memerlukan medan alternatif seperti ini dan bantuan dari rakan-rakan maya untuk bersama-sama menyampaikan maklumat terutama mengenai perkembangan negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat,” jelasnya.

Kata beliau lagi, peranan rakan-rakan maya ini sangat penting dan bermakna terutama melahirkan kesedaran rakyat kepada kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah sekarang. Mereka bekerja tanpa diberi upah dan menjadi agen menangkis fitnah atau serangan-serangan liar yang tidak berasas serta mengambil peranan memberi maklumat yang betul.

“Bagi saya, apa sahaja fitnah yang dilemparkan kepada kerajaan negeri ianya tidak memberi kesan apa-apa kepada saya kerana saya yakin rakyat boleh menilai dan melihat sendiri serta mampu membezakan pentadbiran dulu dengan sekarang.

Di samping itu, beliau turut menasihati agar setiap komen yang diutarakan mestilah beretika, menggunakan bahasa yang baik, tidak menggunakan kata-kata kesat dan sebagainya.

“Orang akan menilai setiap apa yang kita utarakan. Kalau kita menulis dengan cara berakhlak, orang lain boleh menilai diri kita. Jangan kita samakan diri kita dengan orang yang tidak matang terutama di media massa milik kerajaan pusat, beritanya berat sebelah dan tidak demokrasi,” terangnya.

Beliau juga mengingatkan agar budaya ‘syok sendiri’ dikikis. Setiap pandangan yang diutarakan mestilah mengambil kira kesan untuk jangka masa pendek dan panjang.
“Kita rasa puas bila tulis bagi orang lain sakit hati tapi kita lupa ianya secara tidak langsung mendatangkan kesan terhadap kita balik. Seharusnya kita perlu ada kelainan agar setiap komen kita bermutu dan bernilai.

“Guna konsep advertisement (pengiklanan), cerita yang baik sahaja sebab rakyat sekarang tidak suka kepada kerajaan serta pemimpin yang tidak bermutu dan tiada nilai,” tambahnya beliau lagi.

Beliau mengharapkan kejayaan kerajaan negeri disebarkan memandangnya berita-berita seumpama itu tidak disebarkan di media massa milik kerajaan pusat. Antara kejayaan kerajaan negeri seperti di bidang pertanian dan pendidikan perlu disebarkan agar rakyat tahu apa peranan kerajaan negeri dalam membantu rakyat.

“Sebarkan fakta bukan fitnah. Tidak perlu puji saya. Bila saya dilantik menjadi Menteri Besar, saya milik semua rakyat Kedah dan saya akan berusaha menjadi pemimpin yang benar-benar boleh melindungi rakyat negerinya,” tegasnya.

Dikesempatan itu, beliau memaklumkan masih ramai lagi rakan maya yang belum mendapat pengesahan dari beliau, ini kerana beliau masih baru di bidang tersebut.

“Cuma saya rasa hairan bila mendapat tahu ada sms nakal dari orang yang tidak bertanggungjawab, yang kononnya saya sekarang ‘stroke’. Walhalnya saya sihat. Bukan sekadar boleh berdiri dan berucap di hadapan ini malah kalau hendak ajak saya bermain sepak raga pun saya boleh,” katanya berseloroh sambil disambut dengan tepukan oleh hadirin.

Majlis yang berlangsung selama hampir 3 jam itu dihadiri kira-kira 300 rakan-rakan maya beliau.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.