Siapa Wanita Yang Memakai Jaket JPN Yang Memberi Taklimat Dalam Isu Cubaan Memberi IC Segera Kepada Warga Asing???



KUALA LUMPUR 24 Okt: Pemuda Pakatan Rakyat hari ini mengesyaki penglibatan Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam isu cubaan memberi kad pengenalan segera kepada warga asing di Putrajaya, baru-baru ini.
Ketua Pemuda pas Johor, Suhaizan Kaiat berkata, seorang wanita yang memakai jaket bertulisan JPN, dikenalpasti memberi taklimat kepada warga asing berkenaan dalam bas yang membawa mereka ke Putrajaya.
Perkara itu, katanya, diberitahu oleh seorang saksi yang turut menaiki bas dari Kulai, Johor itu, sebelum bas yang membawa mereka bertukar haluan ke sebuah resort.
“Menurut saksi kejadian, terdapat seorang wanita yang memakai jaket JPN menaiki bas dari hentian Rawat dan Rehat (RNR), Kulai.
“Walaupun wanita itu tidak bersama ke Putrajaya, namun wanita itu turut memberi taklimat tertentu dalam bas itu,” katanya yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS pusat.
Katanya, ia menunjukkan pendedahan Pakatan bahawa warga asing itu dibawa ke Putrajaya untuk mendapatkan Kad Pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi Umno-BN, adalah benar.
Menurutnya, sepanjang perjalanan, arahan yang diberikan juga berubah-ubah sekaligus menimbulkan kecurigaan tujuan bas itu membawa warga asing ke Putrajaya.
“Pada mulanya, untuk tujuan mesyuarat di Putrajaya, kemudian ada ura-ura perjalanan bas itu akan dipecah-pecahkan di beberapa lokasi di Johor dan apabila tiba di Putrajaya mereka berpusing-pusing sebelum diarahkan ke sebuah resort,” tegasnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi yakin kes pemberian kad pengenalan kepada warga asing itu turut dilindungi Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Kita pelik bagaimana KDN tidak tahu tujuan 240 warga asing itu ke sebuah resort di Putrajaya sedangkan Ketua Polis Sepang mengetahui tujuan warga asing itu kononnya menghadiri kursus keusahawanan.
“Ini memberi isyarat bahawa KDN seolah-olah melindungi pihak tertentu dengan mempermudah pemberian kad pengenalan kepada warga asing bagi tujuan tertentu,” katanya dalam satu kenyataan.
Nasruddin mewakili Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub untuk membawa usul itu di dewan Rakyat.
Turut menyerahkan memorandum berkenaan ialah Ketua Angkatan Muda KEADILAN Negeri Sembilan, Nazree Yunos.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.