BEGITU 'terkelih' banner yang menguar-uarkan Kongres Sambutan 60 Tahun Pas yang dipasang di dinding sebuah (rumah) stor di Taman Melawar, Gombak pada hari rumah terbuka Pas 17 September lalu ia sudah merangsang saya untuk menghadirinya.
Sekeping gambar bekas Yang Dipertua/Presiden Pas cukup menggamit hati saya untuk mengikut kongres berkenaan, atau setidak-tidak akan terlepas dari mengetahui apakah isi perbicaraan dan perbincangan di kongres itu. Kongres itu dibayangkan akan menghasilkan satu dapatan atau kesimpulan cukup bermutu untuk kesemarakan perjuangan Pas di ketika Pas meletakkan tag line impiannya; Pas ganti Umno.
Wajah yang saya maksudkan itu ialah wajah Mohd Asri Muda bekas Presiden Pas (1969 - 1982).
Saya nampak wajah Asri tertera di banting itu bersama enam wajah bekas Yang DiPertua atau Presiden Pas lain; Haji Ahmad Fuad Hasan (1951-1953), Dr Abbas Ilias (1953-1956), Dr Burhanuddin Muhammad Nur al-Helmi (1956-1969), dan presiden terkini Abdul Hadi Awang.
Mungkin kalau tidak ada wajah Asri di banting itu ia menyebabkan naluri saya tidak begitu berdenyut untuk ke Kepala Batas, tempat berlangsungnya kongres itu.
Saya sudah merasakan kemujuran dan merasakan Pas tidak mengabaikan sejarah apabila wajah Asri ada sama di banting berkenaan bersama wajah-wajah pemimpin nombor satu Pas yang lain termasuk Abdul Hadi. Kenapa saya berkata begitu kerana sesetengah ahli Pas sebelum ini yang kecewa dengan tindakan politiknya (tinggal Pas, tubuh Hamim dan menyertai Umno) marahkan kepada Asri. Tindakan Asri itu dilihat sebagai satu perbuatan paling hodoh di sepanjang penglibatan dalam politik di sepanjang hidupnya tanpa mendinginkan kepala dengan mencari justifikasi mengenai tindakan itu.
Generasi muda termasuknya juga yang kini memegang jawatan besar dalam Pas tidak banyak tahu sejarah apa lagi menghayati sendiri suka duka dan liku-liku perjuangan Asri dan juga bagaimana kelicitan politiknya tentu akan merasa 'murih' dan sedih. Mereka tidak didedah mengenai sejarah perjuangannya, malang lagi mereka banyak mendengar cerita-cerita buruk tentangnya yang dikisahkan dengan perasaan prejudis dan kebencian lantaran kekecewaan yang berat.
Namun sebenarnya kemarahan itu tidak wajar dikembangkan dalam dada mereka yang tidak tahu mengenai perjalanan hidup politik Asri, yang penuh dengan onak dan duri itu. Tentang Asri ada dua aspek yang perlu ditonjolkan untuk dijadikan contoh dan ini adalah kehebatan yang tidak ada tolak banding. Pertama, mengenai pidatonya yang mampu merangsang khalayak dan kedua kehalusan licitan politiknya meletakkan Pas setanding dengan Umno.
Saya selalu mengatakan Pas kena iktiraf kewujudan Asri dan perjuangannya tidak boleh dilenyapkan. Kalau tidak semua tetapi kenanglah Asri dari hari pertama dia menyertai Pas hingga ke hari akhir dia melangkah keluar meninggalkan jemaah. Hari-hari selepas beliau meninggalkan jemaah itu adalah hari-hari milik dia secara peribadi yang teramat rahsia.
Dalam membahaskan sesuatu sejarah perjuangan unsur peribadi hendaklah di ketepikan. Dalam membicarakan perjuangan seseorang juga, elemen-elemen peribadi seseorang itu hendaklah di ketepikan dan apa yang perlu diambil ialah perjuangannya, nilai sejauh mana perjuangan bermakna atau tidak kepada agama, bangsa dan negara.
Tentang Asri jasa dan baktinya kepada Pas bukan sedikit. Hari ini jangan ada berbangga dengan kedudukan Pas hari ini yang sudah memperolehi kerusi banyak di Parlimen dan state. Apa yang penting ialah ukur dari segi kepentingan politik Pas yang digunakan Asri untuk bangsa Melayu dan agama Islam. Tidak ada guna Pas memperolehi kerusi banyak dan menguasai banyak negeri kalau kepentingan-kepentingan pokok itu yang menjadi intipati dan aspirasi perjuangan di kesampingkan atau tergadai.
Selama 12 tahun sebagai Presiden Pas Asri berjaya memastikan Pas berkembang maju seiring dengan parti pesaing dan musuhnya, Umno. Asri menjadikan Pas sebagai pesaing Umno dalam hubungan persahabatan. Kejayaan Pas bertapak ke seluruh negara menerusi beberapa startegi halus dirancang Asri termasuk menyuburkan Pas di tanah-tanah rancangan seperti Felda. Ini berlaku semasa Pas berada dalam BN. Jasa dan kejayaan besar ertinya buat Pas.
Kejayaan Asri meletakkan bibit Pas di Felda ini samalah taraf dan nilainya dengan kejayaan Pas meraih sokongan bukan Islam. Kerana kedua taktik dan kejayaan itu boleh menyemarak dan memperkuatkan perjuangan Pas yang menerima demokrasi sebagai alternatif untuk membentuk kerajaan.
Asri adalah sebahagian daripada orang yang berbuat demikian. Pun begitu juga dengan kejayaan Pas memerintah Kelantan dari tahun 1959 membawa kepada tahun 1978 adalah juga jasa Asri walaupun ironisnya pada tahun 1978 kerajaan Pas Kelantan jatuh ditangan Asri.
Namun kejatuhan itu bukan kesalahan yang perlu dilemparkan ke pundaknya secara peribadi sehingga sejarah dan hidupnya selama lebih 30 tahun beliau bersama Pas digelapkan begitu saja? Kalau itulah cara dan corak Pas, Pas tidak sama dengan Umno yang cuba mengelapkan sejarah-sejarah bangsa dan negara seperti mana diungkitkan Mohamad Sabu tentang Mat Indera itu.
Makanya sejarah pejuang Pas terdahulu kandati mereka pada satu takah mengecewakan parti dan harapan jangan digelapkan. Masa putih mereka perlu ditabirkan kepada generasi terkemudian agar genarasi mengetahui jasa mereka dan lebih penting tahu menilai dan memahami makna sejarah.
Kembali kepada kongres ulang tahun 60 Pas di Kepala Batas itu saya kira akan membicarakan soal sejarah para pejuang Pas dan mengangkat kembali usahajaya mereka. Kongres itu akan menghimpun segala kejayaan dan kegagalan, dibahas dan disimpukan mencari kesimpulan tuntas untuk kejayaan Pas dimasa depan.
Penggalian sejarah perjuangan Pas tentang jaya dan gagal dalam tempoh lebih satu abad itu juga penting untuk dijadikan iktibar dan perbandingan. Dalam Pas mempersiapkkan diri bagaikan burung cantik mandi pagi mengelisik bulu dan ekor - untuk mengganti Umno, Pas memerlukan kepada panduan dan cermin klasik sejarah itu. Paling penting juga Pas perlu bermahasabah sepanjang masa mencari mana silap dan mana salah.
Pas perlu membangun masa depannya dalam minda bukan hanya Pas mengindahkan minda dengan khayalan dan impian. Hakikat ini semua akan tercapai dengan kembali mengenang dan mengambil sejarah sebagai guru.
Sejujurnya, sungguh besar harapan dan menungan saya kepada kongres itu. Bagaimana pun malang hakikat yang berlaku tidak sehebat apa yang saya bayangkan. Kongres itu tidak memberi makna ke arah yang saya bayangkan bersesuaian dengan iltizam Pas itu sendiri. Kongres itu tidak lebih dari sebuah karnival keluarga.
Pengalian ilmu mencungkil sejarah dan menelaaah perjuangan masa depan tidak begitu mendalam. Kedai yang menjual pelbagai barang keperluan harian, minuman dan nasi Arab lebih banyak dari sejarah Pas dan harapan yang digarapkan seperti mana diharapkan saya di kongres berkenaan.
Saya tidak tahu apakah kongres itu seperti mana kata Pengarahnya, Annuar Tahir, agak berlainan sedikit dari kongres-kongres yang lain dari susun aturnya? Annuar Tahir semasa mengendalikan Kongres memberi tahu kongres terpaksa diubah sedikit di mana ucapan penutup didahulukan sebelum dua orang ahli panel membentangkan idea dan pandangannya. Tok Guru Nik Aziz memohon untuk bercakap awal kerana keletihan sebelum Mahfuz Omar dan Husam Musa membentangkan pandangan dan ideanya.
Jadi apakah dalam kongres itu ada kepelikan maka pengisian dan perjalanan keseluruhannya juga longgar dan tidak mampan? Atau Pas sengaja mengubahkannya? Bagi saya kongres itu harus berjalan bersendirian dengan penuh berwibawa sebab ianya upacara penting bagi parti sebesar Pas. Tidak perlu diselang seli dengan acara-acara atau karnival lain yang boleh menganggui fokus kepada kongres berkenaan. Sejauh mana kejayaan dan keteraturan (profesionalisme) kongres itu juga akan diperhati oleh cendekiawan untuk menilai Pas?
Ada dua buah kertas kerja dibentang pada kongres itu. Pertama oleh Kamaruddin Jaafar bertajuk "Pemikiran Dr Burhanuddin & Zulkefli Muahmmad Dalam Pembentukan Gagasan Perjuangan Pas". kedua oleh Subky Latif, "Peranan & Sumbangan Pas Dalam Peta Politik Negara Sesudah 1969 Hingga Masa Kini".
Kedua kertas kerjanya banyak mengulang apa yang diwacanakan sebelum ini. Kamaruddin masih berterusan mendedahkan kehebatan pemikiran siasah Burhanuddin dan Zulkefli Mohamad yang dilihat terbuka, progresif dan dinamik. Kamaruddin nampaknya lebih intim dengan pemikiran siasah mereka yang terbuka dari pemikiran ekstrem seperti mana diamalkan oleh pendokong ulama tradisional.
Sementara Subky pula banyak mencatat lintasan politik Pas di sepanjang tempoh itu. Lintas itu lebih terarah kepada pencapaian dan kemajuan Pas dan tidak cuba mendedahkan secara jujur tentang kelemahan dan juga kekurangan yang ada kepada Pas. Kertas Subky itu lebih kepada mengenang kepada memikirkan pencapaian masa depan Pas, atau lebih tepat kepada usaha untuk merealisasikan Pas mengganti Umno.
Sementara pengisian lain ialah dua ucapan (ceramah politik) bebas oleh Naib Presiden, Mahfuz Omar dan Husam Musa. Saya tidak menghayati ucapan Mahfuz kerana berada di luar. Tetapi Husam pandai membangkit emosi para muslimat Pas dengan cuba memahkotakan muslimat Pas berdasarkan komitmen kaum itu bermula sejak di zaman isteri Burnanuddin Helmi.
Ternyata usikan dan pujian Husam menyebabkan muslimat merasa bangga dan akan melipat gandakan lagi tenaga juang. Muslimat saya rasa menghargai pujian Husam itu. Dalam hal ini saya ingin memesankan dalam respons kepada pandangan Husam itu jangan pula sampai muslimat wanita tidak pulang rumah kerana asyik menampal poster Pas.
Sekali lagi secara jujur bagi saya tidak mencukupi dengan dua buah kertas kerja itu. Selama 60 tahun Pas banyak sejarah, kenangan dan perubahan yang perlu dilakukan. Justeru perlu banyak perbincangan (wacana) akademik mengenai Pas. Misalnya menerusi kongres seumpama itu boleh memperkatakan secara mendalam mengenai gaya, pendekatan dan komitmen para pemimpin Pas terdahulu itu sebagai perbandingan.
Agak dukacita sedikit pengkisahan mengenai mereka mengikut tempoh masing-masing tidak dibahas dan dibincangkan dalam kongres itu. Perkara yang perlu diberi perhatian juga ialah perjalanan kongres itu tidak begitu profesional. Kehadiran atau perserta juga tidak ditapis sedemikian rupa di mana setengah tidak layak untuk berada dalam dewan yang sedang berkongres.
Tetapi mungkin kerana kongres itu seperti mana kata Pengarahnya, Annuar Tahir ia berubah sedikit, maka kecacatan itu boleh dimaafi tetapi dengan syarat ia tidak akan berulang dimasa akan datang.
Kalau dengan apa yang berlaku itu adalah lebih baik kalau kongres itu ditukar kepada Karnival Ulang Tahun 60 Pas bukannya sebuah berforum bernama kongres.
Dalam sudut lain juga kongres itu, baik serius atau tidak, tidak kena pada masanya. Kalau hendak diadakan juga sepatutnya Pas perlu menundanya pada tarikh lain. Dalam saat pilihan raya sudah berada di ambang mata, bukan masa untuk berkongres lagi. Apa yang baik Pas menggunakan himpunan seperti itu untuk menggerakkan semangat ahli, penyokong dan orang ramai untuk berpilihan raya.
Masa lebih banyak dan pantas perlu diambil Pas dan gabungan Pakatan Rakyat untuk menggerak ahli, penyokong dan rakyat semua agar berada di garisan permulaan untuk berlari ke hadapan dengan keazaman tinggi untuk merampas Putrajaya. Masa untuk beretorik dengan program-program yang tidak kena pada masanya sudah tidak wajar lagi. Ingatlah kertas kerja dan fail serta brief case tidak akan memenangkan perjuangan yang memaksakan kita turun ke lapangan seperti perjuangan Pas yang mengambil jalan pilihan raya.
MSO.
Search
Followers
Akhbar
Sahabat Setia 1
Sahabat Setia 2
Archives
- ► 2015 (238)
- ► 2014 (617)
- ► 2013 (1027)
- ► 2012 (1233)
- ▼ 2011 (1330)
0 comments:
Post a Comment