Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu Tidak Mengaku Salah Di Mahkamah Seksyen, Mohon Dibicarakan...

BUTTERWORTH, 21 Sept — Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pagi ini berhubung ceramahnya mengenai Mat Indera dan tragedi Bukit Kepong bulan lalu.

Mohamad (gambar) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan minta dia dibicarakan.

Beliau dibebaskan dengan diikat jamin RM15,000.

Mohamad dikenakan tuduhan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam.

Laporan Harakahdaily menyebut, pihak pendakwa meminta Mohamad dibebaskan dengan jaminan RM50,000 tetapi selepas dibantah peguamnya mahkamah membebaskan Mohamad dengan jaminan RM15,000 sehingga perbicaraan.

Jika bersalah Mohamad menghadapi kemungkinan dipenjarakan sehingga dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Malam tadi, beliau dibawa ke ibu pejabat kontinjen Pulau Pinang sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Semalam, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakub berkata, pemimpin PAS itu didakwa berikutan terdapat lebih 1,000 laporan terhadapnya berhubung ucapan kontroversi pada satu ceramah di Tasek Gelugor, 19 Ogos lalu.

“Laporan dibuat oleh waris polis yang kecewa dengan kenyataan Mat Sabu,” katanya pada sidang media di George Town malam tadi.

“Saya gesa semua pihak supaya bertenang agar proses undang-undang dapat dijalankan,” katanya.

Ceramah Mohamad telah mencetuskan kontroversi apabila Mat Indera yang dianggap ramai sebagai komunis, dijulang menjadi hero sebenar dan bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang terbunuh dalam serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong pada 1950.

Mohamad turut mendakwa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai British.

Laporan Berita Harian Online pula menyebut lebih 100 penyokong Mohamad berkumpul di pekarangan mahkamah sejak pukul 8 pagi tadi bagi memberi sokongan.

Turut kelihatan Timbalan Pesuruhjaya PAS I negeri Khalid Man dan Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.