Pelakon, Ako Mustapha pada Selasa, menarik nafas lega apabila tidak lagi dibelenggu dengan hukuman penjara tiga bulan yang dikenakan ke atasnya bagi kesalahan berkhalwat dengan seorang wanita bukan Islam, empat tahun lalu.
Ini ekoran keputusan Mahkamah Tinggi Syariah di sini, yang mengetepikan hukuman penjara tersebut, selepas menerima rayuan yang difailkan oleh pelakon terbabit.
Bagaimanapun, mahkamah berkenaan mengekalkan hukuman denda RM3,000 yang telah dijelaskan oleh Ako atau nama sebenarnya Muhaizad Ahmad Mustapha, 40, pada 21 April 2009.
Ako yang hadir di mahkamah bersama peguam syarienya, Akbardin Abdul Kader menerima keputusan itu dengan penuh kesyukuran dan menyifatkan satu beban yang digalasnya kini berkurangan.
“Selepas ini senang untuk saya memberi fokus kepada kerjaya,” katanya yang kini sedang menjalani penggambaran sebuah drama bersiri yang bakal ditayangkan di TV3.
Pelakon yang pernah membintangi drama “Halimah Jogang” itu juga memberitahu, dia kini boleh memberitahu rakan-rakan bahawa kes tersebut akhirnya selesai, memandangkan ada di antara mereka yang terkejut apabila dimaklumkan kes masih berjalan.
“Pada awalnya, ramai yang bertanya, tetapi disebabkan lama ditangguhkan, ramai termasuk pihak produksi yang lupa dengan kes ini.
“Saya seorang yang tidak banyak mendatangkan masalah, jadi selepas kes itu berlaku, saya menjadi seorang yang lebih pendiam,” tambahnya.
Ako juga memberitahu, dia bersyukur kerana mendapat sokongan daripada isterinya, Kartina Shuaib Abdullah sepanjang prosiding berjalan.
Namun begitu, Ako tidak dapat berkongsi berita gembira itu serta-merta dengan Kartina yang tidak dapat meninggalkan anak tunggal mereka, Merissa Tempawan, setahun lapan bulan yang sedang demam.
Terdahulu, Hakim Syarie Abu Zaky Mohammad membuat keputusan untuk mengetepikan hukuman penjara selepas berpuas hati bahawa Hakim Mahkamah Rendah Syariah telah terkhilaf dalam membuat keputusannya.
Berdasarkan penghakiman Abu Zaky yang dibacakan oleh Hakim Syarie Mohamad Adib Husain, hakim berkenaan berpendapat kesalahan yang dilakukan Ako adalah kesalahan takzir (hukuman yang tidak ditentukan kadar atau hukuman dalam Al-Quran dan Hadis) yang lebih untuk mencapai pencegahan berbanding bersifat menghukum.
Selain itu, Abu Zaky juga berpendapat hakim Mahkamah Rendah telah terkhilaf apabila gagal mempertimbangkan faktor bahawa Ako telah mengaku bersalah, seorang pesalah pertama, telah berkeluarga dan telah bertaubat serta kesal dengan kesalahan yang dilakukan dalam menjatuhkan hukuman.
Dalam kes ini, Ako yang sinonim dengan watak “Kapten Boleh” memfailkan rayuan selepas tidak berpuas hati dengan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad pada 21 April 2009.
Hukuman itu dijatuhkan atas kesalahan berkhalwat dengan Anang Sagunting, 27, yang berasal dari Medan, Indonesia, yang didakwa berlaku pada pukul 1.20 pagi, 27 Jun 2007 di Kondominium Oakleaf Park, Bukit Antarabangsa, dekat sini.
Ako hanya datang menyerah diri ke mahkamah pada 20 Januari 2009 selepas waran tangkap dikeluarkan ekoran kegagalannya hadir ke mahkamah sejak kes itu mula disebut pada tahun 2007.
0 comments:
Post a Comment