Mengapa Rakyat Muak Provokasi Keterlaluan Isu Perkauman???

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dijadikan ‘kambing hitam’ di sebalik merudumnya sokongan rakyat Pulau Pinang terhadap BN.

Apabila semua media BN menyerang beliau dan apabila para pemimpin politik tulen dan upahan memberi ulasan menyalahkannya maka ia tidak berlaku secara kebetulan. Ia berlaku dengan perancangan atau restu pihak yang lebih atas. Sifat orang kalah dan tidak mengaku salah ialah suka mencari kambing hitam.


Pulau Pinang adalah negeri di mana kerusi bukan Melayu mengatasi jumlah kerusi Melayu.
Seantero dunia tahu bahawa BN kini sangat tenat dengan sokongan bukan Melayu terhadap mereka. Ia tidak berlaku di Pulau Pinang, atau mana-mana negeri yang diperintah Pakatan Rakyat. Di seluruh negara, setiap 10 orang Cina yang ditemui, lebih daripada enam orang akan menyampah dengan BN.

Orang Cina, kalaupun mereka marah pada Koh Tsu Koon atau Chua Soi Lek ia bermula daripada kebencian akan persengkokolan MCA dan Gerakan dengan Umno yang setiap hari menyemarakkan api perkauman.

Umno dan semua rangkaian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berwala kepadanya akan mengaitkan apa saja isu yang tercetus dalam negara sebagai ‘angkara DAP’. Ia jalan pintas untuk menggambarkan ‘ancaman’ bukan Melayu terhadap orang Melayu atau umat Islam.

Beratus-ratus sudah isu remeh temeh, putar belit, bohong dan fitnah diledakkan di Pulau Pinang. Larangan bacaan al-Quran melalui pembesar suara sebelum subuh di Pulau Pinang baru-baru ini dikeluarkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri hasil keputusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Pulau Pinang. Ia bukan keputusan persatuan guru KAFA. Di dalam majlis fatwa yang diketuai oleh Mufti itu terdapat ulama daripada pelbagai latar belakang yang hebat-hebat belaka. Tiada seorang pun daripada mereka adalah ahli DAP. Tapi ia tetap dikaitkan kononnya sebagai kehendak DAP.

Isu yang dibahaskan lebih kepada menterjemahkan ilmu dan amalan Islam sebenar, bukannya amalan yang dirasakan Islamik hanya berlandaskan tempurung pemikiran budaya Melayu. Di Pulau Pinang, larangan tersebut baru menjadi arahan tetapi di Perlis, ia sudah lama dibuat. Tidak pernah kita mendengar pula sebelum ini dakwaan kononnya kerajaan Umno Perlis tunduk pada DAP.

Barangkali Ketua Menteri, Lim Guan Eng adalah antara orang yang terpinga-pinga dengan kecaman pemimpin Umno terhadap kerajaan negeri.

Beliau tidak tahu apa-apa mengenai butiran perbincangan Majlis Fatwa Negeri tetapi Ketua Menteri itu diserang seolah-olah dia pengerusi Majlis Fatwa.

Sebelum ini negara kecoh dengan serbuan Jabatan Agama Islam Islam Selangor (Jais) terhadap sebuah gereja di Selangor.

Ia juga dikaitkan dengan arahan DAP, walhal berapa kerat sangat ahli DAP yang beragama Kristian.

PAS tidak melenting dan tidak menyerang pihak gereja, itu pun arahan DAP. Pendek kata tercetuslah apa isu kontroversi pun sejak Pakatan Rakyat dibentuk, maka ia berpunca dari DAP.

Hebatnya dan berpengaruhnya DAP sehingga kenaikan harga barang pun dikaitkan dengan DAP. Kononnya para peniaga Cina diarahkan oleh DAP menaikkan harga. Kalau demikian hebatnya pengaruh DAP, maka jawapan loyar buruknya; elok benar negara ini diserahkan pada DAP kerana mereka berupaya mengarahkan peniaga menurunkan harga barang.

Tak perlu lagi ada kementerian mengawal harga barang. Dalam tempurung pemikiran Umno dan jentera propaganda mereka, setiap kali bangun tidur akan mencari apa isu yang boleh dikaitkan dengan DAP. Kalau dulu wirid harian mereka ialah Anwar, Anwar, Anwar kini menjadi DAP, DAP, DAP. Ketaksuban bukan hanya dalam bercinta tapi juga dalam membenci.

Kebencian keterlaluan juga boleh menyebabkan seseorang jadi gila. Menghadiah kepala lembu, coli dan mangkuk jamban adalah antara kerja gila yang perlakuan itu sedang diperhatikan oleh seluruh rakyat Malaysia yang waras.
Dalam dunia yang tidak bersempadan hari ini, maklumat yang disebar akan sampai kepada semua pihak. Jangan fikir bahawa orang Cina tidak tahu apa yang tersiar di Utusan Malaysia setiap hari. Jangan ingat orang Cina tidak tengok TV3. Semua manipulasi perkauman yang dibuat oleh media propaganda BN itu dinilai.
Orang Melayu hari ini juga tidaklah boleh dikongkong pemikiran macam zaman terdahulu. Generasi baru yang mudah meneroka alam maya sentiasa mencari penjelasan terhadap isu yang berbangkit.

Apabila mereka berpeluang mendengar penjelasan Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung isu memperkuatkan bacaan al-Quran, tanggapan buruk terhadap DAP lenyap begitu sahaja. Apabila Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang beri penjelasan isu gereja berdasarkan sirah, orang memahami sikap sebenar PAS berhubung isu tersebut.

Tidak semua orang Melayu cepat melatah dan termakan provokasi perkauman. Lebih ramai yang selesa dengan hidangan ilmu dan bersikap rasional dalam bertindak. Dunia akan kelam kabut jika semua isu ditangani dengan sikap bebal, marah dan gelojoh. Hikmah di sebalik beberapa insiden yang berlaku mutakhir ini, majoriti senyap Melayu bersama bukan Muslim nampak kebijaksanaan PAS menangani isu.

Terbaru, Perkasa mengumumkan secara rasmi mengambil alih sepenuhnya peranan PAS dalam memperjuangkan Islam. Pengumuman oleh ‘anak syarikat’ Umno itu agak mengejutkan kerana sejak berdekad PAS tidak pernah diiktiraf sebagai parti yang memperjuangkan Islam oleh Umno, tiba-tiba peranan besar itu mahu diambil alih pula oleh mereka.

Sebenarnya apa yang mahu diambil alih oleh Perkasa bukan peranannya dalam memperjuangkan Islam, tapi peranan sebagai parti pembangkang. Maka elok benarlah proksi Umno itu mengambil alihnya secara perlahan-lahan.

PAS boleh menoleh ke belakang untuk melihat beberapa wataknya yang pernah diamalkan dahulu kini diambil oleh Umno.

Oleh Haji Zulkifli Yahya

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.