Kes Rasuah : Bekas MB Selangor Di Arah Bela Diri

SHAH ALAM 8 OGOS – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan bekas menteri besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo bagi membela dirinya berhubung kes rasuah yang dihadapinya.

Hakim Datuk Mokhtaruddin Baki berkata pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan terdapat kes prima facie ke atas Khir.

Beliau kemudian menetapkan perbicaraan pada 26 hingga 30 September ini.

Khir didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di No 8&10, Jalan Suasa 7/1L di Shah Alam daripada Ditamas Sdn Bhd (Ditamas) melalui pengarahnya, Shamsuddin Hayroni.

Hartanah yang terletak di Seksyen 7 di Shah Alam itu diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 pada harga RM6.5 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasmi beliau sebagai Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

Khir yang melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang DUN Selangor itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dibantu Ketua Unit Pendakwa Raya Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah.

Khir diwakili peguam M.Athimulan dan Mohd Afifuddin Hafifi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.