ALOR SETAR: Seorang warga emas dari Kampung Padang Keria, Sanglang, maut dalam satu kemalangan di Jalan Alor Setar-Kangar, Alor Janggus, yang membabitkan motosikal dan sebuah treler, dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata, insiden berlaku pada 12.20 tengah hari ketika mangsa, Yahaya Hamid, 66, menaiki motosikal dengan abang iparnya, Omar Mahmod, 69, yang cedera parah di kaki kanan.
Beliau berkata, motosikal yang ditunggang Yahaya dari arah Alor Setar menghala ke Kangar bergesel dengan treler dari arah bertentangan, menyebabkan Yahaya tercampak ke bawah treler berkenaan.
"Ketika kejadian, lori treler yang dipandu lelaki berusia 24 tahun sedang memotong kenderaan dari arah sama sebelum bergesel dengan motosikal mangsa menyebabkan mangsa tercampak dan tersepit pada tayar treler berkenaan.
"Mangsa mati di tempat kejadian ekoran cedera parah dari bahagian pinggang hingga ke kaki akibat diseret sejauh 10 meter sebelum pemandu memberhentikan kenderaannya, manakala pembonceng tercampak ke tepi jalan," katanya.
Adzaman berkata, pemandu dan kelindan treler berkenaan yang merupakan anak-beranak kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Jabatan Pengangkutan Jalan 1987.
Mayat Yahaya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga manakala Omar ditempatkan di Unit Rawatan Rapi di hospital berkenaan.
- Bernama
0 comments:
Post a Comment