KUALA LUMPUR: Penerbit filem, Datuk Yusof Haslam, mengakui, syarikatnya Skop Production akan rugi jika dia melepaskan anaknya, Syamsul Yusof, untuk bekerja dengan produksi lain.
Menurutnya, Syamsul merupakan seorang pengarah yang kreatif dan kerana dia, Skop telah berjaya mendapat kutipan sebanyak RM20 juta dalam masa enam bulan menerusi dua buah filem sahaja iaitu KL Gangster dan Khurafat.
"Dari segi perniagaan, Alhamdulillah, Syamsul membawa keuntungan kepada syarikat dan sebagai seorang ayah, saya bertuah mempunyai anak sepertinya.
"Tetapi dari sudut kekeluargaan pula, saya sudah mengingatkan Syamsul dan seorang lagi anak iaitu Syafiq supaya kekallah bekerja dengan Skop," katanya yang ditemui pada majlis berbuka puasa dan pemberian bonus di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ulu Klang, Rabu.
Tambah Yusof, walaupun dia tahu, banyak produksi yang memberi tawaran lumayan kepada Syamsul untuk menyertai mereka, dia percaya, anaknya itu tetap akan setia dengan Skop dan tidak mungkin 'menderhaka' terhadap keluarga.
Dalam pada itu, Yusof berpendapat, dengan pelbagai projek drama dan filem yang ada, tiada alasan untuk Syamsul keluar berkarya di produksi lain pula.
"Setakat ini Skop mempunyai pelbagai projek yang perlu dilaksanakan. Malah bekerja dengan keluarga adalah paling mudah kerana apa yang mereka mahu, saya beri.
"Malah dari segi masa kerja juga lebih fleksibel. Cuba kalau kerja dengan orang lain, silap hari bulan, seawal 8 pagi sudah kena ada di pejabat," selorohnya.
Sementara itu, pada majlis berbuka puasa itu, Yusof telah memberikan bonus iaitu 'duit raya' kepada 160 pekerja syarikat produksi berkenaan, para pelakon, termasuklah pelakon-pelakon veteran dan krew produksi.
Yusof berkata, memandangkan tahun ini Skop berjaya mencatat sejarah dengan memperoleh jumlah kutipan filem yang agak besar nilainya, maka tahun ini juga dia melaburkan sejumlah wang yang besar kepada pekerja-pekerjanya.
"Alhamdulillah, bila kita ada rezeki lebih, tidak salah untuk dikongsi bersama. Saya bersyukur kerana pemberian bonus pada tahun ini adalah paling besar jumlahnya berbanding tahun-tahun yang lalu," katanya, yang enggan memberitahu jumlah keseluruhan bajet pemberian bonus tersebut.
0 comments:
Post a Comment