Berikut adalah catatan dari salinan repot yang dibuat oleh Tuan Hj Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS di balai polis Jalan Dang Wangi pada 14 Julai 2011 yang lalu. Sepatutnya Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Saleh Mat Rashid merujuk dahulu kepada salinan repot di bawah, sebelum memberi taklimat mengatakan Mohamad Sabu bohong mengatakan Pajero Polis melanggar beliau.
Balai: Jalan Dang Wangi
No. Repot: TRAVERS/005778/11
Tarikh: 14/07/2011 Waktu: 1042 AM
Bahasa Diterima: B. Malaysia
Butir-butir penerima repot:- Nama: Rozanah bt Zainal Abidin
No. Personel: R133466 Pangkat: L/KPL
Butir-butir pengadu:- Nama: MOHAMAD BIN SABU No. K/P: 541014075575 Pekerjaan: TIMBALAN PRESIDEN PAS
Pengadu menyatakan:
Pada 9/7/2011 pada jam lebih kurang 1 pm saya membonceng sebuah motosikal dari arah Mandarin Court Hotel di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur menuju ke Hotel Hilton di Kuala Lumpur Sentral. Saya bercadang untuk singgah sebentar di Masjid Negara bagi menunaikan solat Zohor di masjid tersebut.
Sebaik sahaja tiba di sekitar kawasan Jalan Bangsar, saya dan pemandu motorsikal yang saya naiki telah di kepung oleh 2 buah kereta polis (WAJA) dan sebuah pajero Polis berwarna gelap. Kereta Waja Polis tersebut telah melanggar motorsikal yang saya naiki dan motor yang saya naiki telah terjatuh. Kaki kanan saya juga telah dilanggar oleh bahagian depan Waja polis tersebut mengakibatkan saya tidak berupaya untuk berjalan dan terpaksa di papah oleh 2 orang untuk dibawa masuk kedalam sebuah pajero polis.
Saya dapati penangkapan ke atas saya di ketuai oleh ASP Fairuz dan beberapa anggota polis yang lain yang membantu beliau. Ketika saya ditangkap pihak polis tidak pernah memberitahu saya apa-apa alasan penangkapan saya tersebut. Pada masa saya ditangkap saya hanya memakai seluar berwarna hitam dan berbaju kemeja berwarna putih.
Saya kemudiannya di bawa masuk ke dalam pajero polis tersebut dan bersama-sama saya di dalam Pajero tersebut adalah ASP Fairuz dan anggota polis. Saya kemudiannya di bawa ke balai polis Jinjang. Sampai di balai polis Jinjang saya telah di masukkan ke sebuah klinik di balai polis tersebut untuk dirawat kecederaan di lutut saya. Setelah di rawat, doktor di situ menghantar saya dengan sebuah ambulan ke HKL Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut. Pergi dan balik dan semasa pemeriksaan doktor, saya sentiasa di perhati oleh pihak polis.
Di Hospital Kuala Lumpur saya telah menerima rawatan dan setelah berada di sana lebih kurang 1 1/2 (satu setengah) jam saya telah dibawa semula ke Balai Polis Jinjang dan di masukkan kedalam sel bersaorangan(solitary confinement). Meski pun saya berada dalam kesakitan dan tidak boleh berjalan kecuali di papah saya masih juga diminta untuk diambil gambar dan cap jari dan terpaksa naik dan turun tangga.
Ketika saya dibebaskan malam itu dengan jaminan polis saya terpaksa di papah. Saya membuat laporan polis ini kerana saya percaya pihak polis telah melanggar undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan kerana menangkap dan menahan saya. Pihak polis telah melanggar perkara 5 (3) Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 28A (1) Kanun Prosedur Jenayah kerana gagal dalam sebarang masa memberitahu saya atas alasan apa saya telah ditangkap dan ditahan. Hak saya di bawah seksyen 28A(2) Kanun Prosedur Jenayah juga di langgar kerana saya tidak pernah diberi peluang untuk berhubung dengan peguam dan isteri saya.
Saya juga percaya pihak Hospital Kuala Lumpur tidak sepatutnya membenarkan saya di bawa semula ke balai polis Jinjang selagi mana kecederaan saya belum sembuh dan tindakan yang dilakukan oleh pihak Hospital Kuala Lumpur amat aneh kerana menyatakan saya tidak mengalami kecederaan serius sedangkan apabila saya pergi ke Hospital Pakar KPJ di Shah Alam saya dimaklumkan oleh doktor bahawa ligamen saya telah terkoyak dan saya perlu melakukan pembedahan pada hari Jumaat ini (15/7/2011).
Saya mengesyaki pihak hospital telah diminta oleh pihak polis untuk melepaskan saya untuk di bawa ke balai polis Jinjang meskipun pihak Hospital tahu bahawa keadaan kecederaan yang saya hadapi tidak mewajarkan saya di bawa semula ke balai polis dan saya sewajarnya dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut.
Tandatangan Pengadu Tandatangan Penerima Repot
Hj Mohamad Sabu tidak pun menyebut dia di langgar oleh Pajero? Jelas dalam repot yang dibuat beliau mengatakan di langgar oleh kereta Waja Polis.
Adakah Pengarah Keselamatan Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, hanya mengutip maklumat picisan di akhbar.... dan selepas itu membuat taklimat serkap jarang.
Hj Mohamad Sabu, masih berkerusi roda ketika singgah di Kedai Nasi Ayam Hj Nan, pagi ini (23 Julai 2011 - Sabtu) ketika dalam perjalanan untuk ke rumah Mertuanya di Jejawi, Perlis (untuk berubat cara kampung) mengulas perkara salah taklimat Pengarah Keselamatan Negeri dan Ketenteraman Awam dengan mengatakan, " Ini menunjukkan bahawa dia tidak buat kerja dengan baik dan hanya mengharap hasil kerja orang bawahan, kalau macam ini ketika Pakatan Rakyat memerintah nanti payahlah nak dinaikkan pangkat."
SUMBER
0 comments:
Post a Comment