Maklumat Salah... PM Najib Harus Mohon Maaf Kepada Kerajaan Dan Rakyat Kelantan

KUALA LUMPUR, 2 Julai – Exco Kerajaan Negeri Kelantan Datuk Husam Musa menegaskan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) tidak pernah menjual tapak perhentian teksi di bandar Pasir Puteh, bahkan disediakan percuma untuk perkhidmatan teksi di bandar berkenaan.

Walaupun sebelum ini, PKINK mengenakan sedikit bayaran ke atas persatuan pemandu teksi Pasir Puteh, tetapi kini, bagi tujuan kebajikan ahli persatuan tersebut, PKINK tidak mengenakan sebarang bayaran.

Kata beliau, perdana menteri atau sesiapa sahaja boleh menunjukkan bukti atas dakwaan mereka.

“Sudah tentu perdana menteri tidak mampu berbuat demikian kerana isu ini adalah modal atas angin semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Selaku rakyat Malaysia, kata Husam, beliau merasa malu atas salah maklumat yang disampaikan kepada pemimpin terpenting negara ini sehingga Najib menyebut sesuatu yang tidak berasas dalam ucapannya.

“Saya menggesa agar perdana menteri menyemak pihak yang telah memberikan maklumat tidak bertapis seperti itu bagi mengelakkan kenyataan yang sama berulang, yang boleh menjejaskan kredibiliti beliau,” katanya lagi.

Dalam ucapan pagi tadi di Pasir Putih, Najib yang mengadakan lawatan kerja ke Kelantan berjanji akan menyediakan pejabat baru kepada Persatuan Pemandu Teksi Jajahan Pasir Puteh setelah kerajaan PAS Kelantan merampas tapak perhentian teksi di bandar Pasir Puteh itu dan menjualnya kepada sebuah syarikat swasta.

Beliau berkata kerajaan pusat akan mencari lokasi baru yang sesuai untuk dijadikan tapak perhentian teksi di dalam bandar Pasir Puteh.

Beliau juga meluahkan rasa kesal terhadap tindakan kerajaan negeri melalui PKINK yang memutuskan untuk menjual tapak perhentian teksi di Pasar Lama Pasir Puteh setelah lebih 20 tahun perhentian itu beroperasi.

“Insya-Allah kita akan bantu dirikan pejabat baru,” katanya.

Selain itu, kata Husam, perkembangan pagi tadi juga menunjukkan Barisan Nasional tidak mempunyai isu besar yang boleh dibangkitkan sehingga maklumat tidak berasas pun terpaksa dijadikan modal.

“Saya yakin, jika perdana menteri sanggup menggunakan maklumat atas angin seperti itu, tentulah dalam isu yang lain juga beliau mudah membeli maklumat bakul sampah, termasuk dalam isu himpunan menuntut pilihan raya yang bersih dan adil pada 9 julai ini.

“Isu yang lebih besar seperti rampasan wang royalti minyak Kelantan tidak pula disebut. Isu-isu janji pilihan raya Pengkalan Pasir, Manek Urai dan Galas yang belum selesai juga tidak disebutkan,” katanya lagi.

Husam yang juga Naib Presiden PAS berkata, beliau yakin kerajaan negeri bersedia memberikan tapak berkenaan untuk dimajukan dengan kemudahan yang lebih baik jika kerajaan pusat serius untuk memajukannya.

Katanya, apa yang berlaku ialah ada pihak tertentu pernah memohon untuk membeli tapak berkenaan bagi kemudiannya diserahkan kepada pihak lain untuk dimajukan tetapi permohonan tersebut telah ditolak oleh PKINK bagi mengekalkan kedudukan tapak teksi tersebut.

“Saya selaku anggota Kerajaan Negeri terkejut dengan dakwaan perdana menteri bahawa tapak stesyen teksi Pasir Puteh yang beroperasi sekarang telah dijual oleh PKINK. Selain itu, kenyataan beliau juga menyebut tapak itu telah dirampas oleh Kerajaan Negeri melalui PKINK,” katanya lagi sambil menambah, kenyataan Najib tidak berasas sama sekali.

Kenyataan Akhbar

YB Dato Hj Husam Musa

TAPAK STESYEN TEKSI PASIR PUTEH TIDAK PERNAH DIJUAL: PM SALAH MAKLUMAT

Saya merujuk kepada kenyataan YAB Perdana Menteri Malaysia di Pasir Puteh pagi ini.

Saya selaku anggota Kerajaan Negeri terkejut dengan dakwaan YAB Perdana Menteri bahawa tapak stesyen teksi Pasir Puteh yang beroperasi sekarang telah dijual oleh PKINK. Selain itu, kenyataan beliau juga menyebut tapak itu telah dirampas oleh Kerajaan Negeri melalui PKINK.

Kenyataan Perdana Menteri tersebut tidak berasas sama sekali.

PKINK pada sebarang masa tidak pernah menjual tapak berkenaan, bahkan disediakan percuma untuk perkhidmatan teksi di Pasir Puteh. Walaupun sebelum ini, PKINK mengenakan sedikit bayaran ke atas persatuan pemandu teksi Pasir Puteh, tetapi kini, bagi tujuan kebajikan ahli persatuan tersebut, PKINK tidak mengenakan sebarang bayaran.

Apa yang berlaku ialah ada pihak tertentu pernah memohon untuk membeli tapak berkenaan bagi kemudiannya diserahkan kepada pihak lain untuk dimajukan tetapi permohonan tersebut telah ditolak oleh PKINK bagi mengekalkan kedudukan tapak teksi tersebut.

YAB Perdana Menteri atau sesiapa sahaja boleh menunjukkan bukti atas dakwaan mereka. Sudah tentu Perdana Menteri tidak mampu berbuat demikian kerana isu ini adalah modal atas angin semata-mata.

Selaku rakyat Malaysia, saya merasa malu atas salah maklumat yang disampaikan kepada pemimpin terpenting negara ini sehingga YAB Perdana Menteri menyebut sesuatu yang tidak berasas dalam ucapan beliau.

Saya menggesa agar Perdana Menteri menyemak pihak yang telah memberikan maklumat tidak bertapis seperti itu bagi mengelakkan kenyataan yang sama berulang, yang boleh menjejaskan kredibiliti beliau.

Selain itu, ia juga menunjukkan Barisan Nasional tidak mempunyai isu besar yang boleh dibangkitkan sehingga maklumat tidak berasas pun terpaksa dijadikan modal.

Saya yakin, jika Perdana Menteri sanggup menggunakan maklumat atas angin seperti itu, tentulah dalam isu yang lain juga beliau mudah membeli maklumat bakul sampah, termasuk dalam isu himpunan menuntut pilihanraya yang bersih dan adil pada 9 julai ini.

Isu yang lebih besar seperti rampasan wang royalti minyak Kelantan tidak pula disebut. Isu-isu janji pilihanraya Pengkalan Pasir, Manek Urai dan Galas yang belum selesai juga tidak disebutkan.

Saya yakin Kerajaan Negeri bersedia memberikan tapak berkenaan untuk dimajukan dengan kemudahan yang lebih baik jika kerajaan pusat serius untuk memajukannya.

Mengenai kononnya majlis Perdana Menteri di Pasir Puteh dihadiri oleh puluhan ribu rakyat jelata, amat malang kerana lawatan yang penting seperti itu hanya dimeriahkan oleh kerahan paksa pelajar sekolah dan kakitangan kerajaan. Buktinya, semuanya 'dipakaikan' baju merah yang dibekalkan terlebih dahulu. Tidak ada tanda kedatangan sukarela atas pilihan sendiri tetapi datang 'berjemput' siap 'beruniform'.

Lebih menggelikan hati bila bangunan rasmi pejabat kerajaan persekutuan di Wisma Persekutuan telah 'ditawan' oleh Barisan Nasional dengan dipenuhi oleh bendera parti itu.

Ternyata, kedatangan Perdana Menteri telah mencemarkan lagi konsep pemisahan antara parti dan kerajaan dan jika inilah sikap BN yang terus menggunakan premis, harta dan jentera kerajaan untuk kepentingan parti mereka tanpa segan silu, ia perlu terus ditolak oleh rakyat yang cintakan amalan politik yang telus, bersih, amanah dan amalan politik kepartian yang melampau.

Sekian, terima kasih.



Dato’ Haji Husam Musa

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan

Naib Presiden , Parti Islam SeMalaysia (PAS)

1 Sya'aban 1432

2 Julai 2011

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.