Imam Masjid Al-Rahmah, Taman Wira Mergong, Mohd Shabuddin Bersyukur Dapat Peruntukkan Perbesar Masjid

ALOR SETAR: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1.12 juta untuk pembesaran Masjid Al-Rahmah, Taman Wira Mergong di sini yang dibina sejak 20 tahun lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dalam lawatan kerja sehari ke Kedah pada Khamis, hadir di masjid berkenaan untuk mendengar taklimat berhubung projek pembesaran masjid itu.

Taklimat disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Teknikal Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Ab Ghapar Daud.

Imam masjid berkenaan Mohd Shabuddin Itam berkata peruntukan itu diluluskan empat bulan lepas.

"Pembesaran masjid ini perlu dilakukan segera kerana jemaah masjid yang semakin bertambah terutamanya pada hari Jumaat, bulan Ramadan dan Hari Raya," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana menyediakan peruntukan yang besar untuk membesarkan masjid itu.

Projek pembesaran masjid berkenaan dijangka dimulakan bulan depan.

Selepas melawat masjid itu, Perdana Menteri dan rombongan membuat tinjauan dan beramah mesra dengan peniaga serta orang ramai di Pasar Tani Taman Wira Mergong di sini.

Najib diiringi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan Timbalan Menteri Pertanian Datuk Johari Baharom.

Najib tiba di kawasan pasar berkenaan kira-kira pukul 10.15 pagi dan meluangkan masa kira-kira 30 minit.

Perdana Menteri turut meninjau penyediaan bubur lambuk oleh peserta pasar tani yang dimasak untuk diedarkan kepada pengunjung pasar tani sempena menyambut bulan Ramadan.

Selepas beramah mesra dengan peniaga pasar tani, Perdana Menteri singgah bersarapan di Medan Selera Taman Wira dan dihidangkan teh tarik serta pelbagai jenis makanan termasuk pulut durian, pulut sambal dan serabai.

Seorang peniaga Fazri Masari, 26, yang menyediakan teh tarik untuk Perdana Menteri dan rombongan berkata beliau gembira dan bangga dapat menyediakan minuman untuk pemimpin nombor satu negara.

"Sejak tujuh tahun berniaga di medan selera itu, ini adalah kali pertama seorang Perdana Menteri melawat tempat ini," katanya.

Najib kemudiannya melawat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Keat Hwa 1 di sini sempena sambutan 100 tahun penubuhan sekolah tersebut.

- BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.