PETALING JAYA: Pengacara Imam Muda musim kedua (IM2), Dzulkarnain Hamzah atau ustaz Dzul terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Sepang, Selangor ketika dalam perjalanan untuk mengadakan ceramah di Port Dickson, Negeri Sembilan, Sabtu lalu.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 2.30 petang itu, ustaz Dzul mengalami kecederaan pada bahagian muka dan lutut kiri apabila kereta BMW 5 Siri yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori kelapa sawit.
Dzul yang dihubungi mStar Online di sini, Selasa berkata, semasa kejadian dia baru selesai mengadakan ceramah pertamanya di Subang Bistari dekat sini dan ingin ke Port Dickson melalui laluan di Sepang.
“Semasa saya tiba di satu laluan di Sepang itu, saya ingin memotong sebuah lori muatan kepala sawit. Malangnya pada waktu itu juga lori berkenaan membelok ke kanan tanpa memberikan lampu isyarat menyebabkan kenderaan saya merempuhnya,” katanya.
Disebabkan kejadian itu, ustaz Dzull tidak sedarkan diri sehinggalah ketika dirawat di Hospital Putrajaya.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan dia mengalami kecederaan pada bahagian muka dan lutut kirinya.
“Saya terpaksa menerima 12 jahitan pada bahagian lutut serta lapan jahitan pada bahagian dalam mulut termasuk bibir. Alhamdulillah, tiada kecederaan dalaman semasa imbasan x-ray dibuat oleh doktor,” jelasnya.
Dia yang trauma dengan kejadian itu memberitahu, kemalangan tersebut menyebabkan bahagian depan sebelah penumpang keretanya remuk selepas terperosok dalam perut lori berkenaan.
“Saya juga bersyukur kerana hanya saya sahaja di dalam kereta berkenaan,” katanya.
Berikutan itu dia terpaksa berehat untuk mengacarakan rancangan Iman Muda 2sehinggalah benar-benar pulih sepenuhnya.
Sementara itu Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar berkata, tempat ustaz Dzull akan digantikan sementara oleh pelakon Fahrin Ahmad.
Pada Jumaat ini, rakaman peringkat separuh akhir rancangan tersebut akan disiarkan bermula pukul 9 malam menerusi saluran Astro Oasis (saluran 106) yang dilakukan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.
kayanyerr ustaz nie..bmw 5series nahh..bagus2
ReplyDelete