Saya terpanggil memberi komentar terhadap kenyataan Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS yang baru dipilih, dalam interview beliau dengan Malaysiakini bertarikh 10 Jun lalu.
Nasihat terus terang beliau sebagai Timbalan Presiden dan pemimpin lama PAS yang telah teruji, wajar dilihat dengan positif demi kebaikan parti dan kerajaan negeri yang dipimpin oleh PAS.
Menurut Mohamad dalam bab harta dan pangkat - 'Kalau PAS tak ambil, UMNO akan ambil' - adalah satu pegangan atau tanggapan yang menyalahi matlamat perjuangan PAS, dan ini wajib diubah, dengan perubahan yang lebih besar.
Tanggapan ini wujud terpahat dalam kepala orang PAS di mana-mana, dan bagi Kedah dan Kelantan, yang dipimpin oleh PAS, perubahan yang berlaku dalam hal ini tidak mencukupi. Contohi Pulau Pinang yang dipimpin DAP, kata Mohamad.
Saya setuju dan akur, tetapi (maafkan saya!) kalau kenyataan ini dibuat sebelum muktamar, saya percaya Timbalan Presiden PAS yang baru bukannya Mohamad. Apa telah berlaku di Kedah dan Kelantan dan ada apa di Pulau Pinang dan hingga beliau membuat seruan mencontohi negeri itu?
Gelaran Datuk
Saya tidak melihat kewujudan pemikiran itu ataupun natijah 'pegangan salah' itu di kalangan pemimpin PAS di Kedah, malah tidak berlaku sebarang perlumbaan di kalangan pimpinan PAS Kedah untuk mengejar harta atau pingat, jauh sekali memohon tanah di kalangan wakil rakyat atau Exco.
Gelaran Datuk misalnya, adalah hak mutlak KDYMM Tuanku Sultan, tiada Exco atau wakil rakyat daripada PAS yang mengisi borang bagi pihak diri sendiri untuk memohon gelaran itu.
Menteri Besar ada mencalonkan beberapa nama dari kalangan ahli politik, termasuk daripada PAS, yang mana tuan tubuhnya pun tidak dimaklumkan sehingga surat perkenan dari pejabat KDYMM Tuanku Sultan sampai ke tangan, barulah individu tersebut tahu.
Dalam bab Pengurniaan Bintang dan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran Dato' dalam mana-mana kategori, terdapat cadangan yang ditolak di peringkat Jawatankuasa Jemaah Datuk-Datuk Kedah, dan ada yang belum diperkenankan oleh KDYMM Tuanku Sultan sendiri. Ada juga calon yang dicadangkan pingat lain, tetapi KDYMM Tuanku Sultan memperkenankan calon itu diberikan Datuk.
Di Pejabat Menteri Besar, sayalah yang menguruskan borang pencalonan dan menapis semua permohonan Pingat, Bintang dan Darjah Kebesaran bagi kategori ahli politik dan aktivis masyarakat bagi pihak Menteri Besar, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penganugerahan Pingat, Bintang dan Darjah Kebesaran.
Bagi pencalonan dalam kategori lain, ada jawatankuasa lain yang bertanggungjawab. Semua pencalonan akan diangkat untuk perkenan KDYMM Tuanku Sultan setelah melalui tahap-tahap tapisan beberapa jawatankuasa. Ia tidak semudah sangkaan tidak tepat sesetengah pihak. Dalam tempoh tiga tahun ini, saya telah melihat trend yang jelas dalam hal ini, iaitu, tiada pemimpin PAS yang menunjukkan minat yang mendalam untuk mendapat gelaran Datuk - sehingga perlu ditegur oleh Mohamad.
Dalam hal ini, saya akui ada di kalangan ahli dan penyokong di peringkat akar umbi yang tidak berpuas hati dan merungut kenapa waktu kita menjadi kerajaanpun, penerima pingat, bintang dan darjah kebesaran masih ramai dari kalangan UMNO dan BN.
Pada saya, teguran Mohamad itu wajar ditujukan kepada mereka, bukan kepada pimpinan. Pun begitu, saya memahami bahawa itulah budaya nilai yang diwarisi daripada sejarah kerana kita lahir dan hidup membesar di Malaysia, sebuah negara dengan sistem Raja Berperlembagaan.
Mereka tidak mengenal budaya Cuba, China, Russia maupun Libya atau Iran. Negeri Pulau Pinang dan DAP yang Mohamad jadikan contoh dalam hal ini, tidak mempunyai Sultan, Raja maupun Istana yang memayungi pembentukan adat, nilai dan budaya hidup rakyatnya.
Balak Kedah.
Dalam bab balak yang juga disebut oleh Mohamad, tidak ada kalangan pemimpin PAS Kedah yang pernah atau cuba memohon kawasan. Walaupun ruang dan peluang terbuka luas kepada sesiapa sahaja, kerana Kedah mengamalkan sistem tender terbuka, belum ada seorangpun wakil rakyat, exco atau pemimpin PAS yang pernah memohon, masuk tender atau meminta balak daripada kerajaan.
Apatah lagi mendapat kawasan. Memang ada ahli dan penyokong PAS yang menerima konsesi balak hasil sistem tender terbuka, tetapi mereka bergiat dalam bidang ini sejak bertahun-tahun dulu, sebelum kerajaan bertukar tangan, kerana mereka menawarkan harga yang terbaik.
Untuk pengetahuan Mohamad, sejak Kedah ditadbir oleh Pakatan Rakyat yang diterajui oleh PAS, dengan kuota keluasan tebangan yang sama yang ditetapkan oleh kementerian yang bertanggungjawab (2,340 hektar setahun bagi Negeri Kedah), hasil balak untuk negeri Kedah telah meningkat berlipat kali ganda setiap tahun.
Daripada purata RM9.5 juta di zaman BN, mencapai kepada RM53 juta pada tahun 2010. (RM35 juta pada 2008, RM38 juta pada 2009). Dalam hal meningkatkan hasil dari industri pembalakan, kerajaan negeri pimpinan PAS tidak melihat kepada latar belakang parti pemohon/pembida, tetapi berapa harga yang ditawarkan.
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2009 memperakukan Kerajaan Negeri telah berupaya meningkat pendapatan melalui industri pembalakan pada kadar 205% pada tahun 2008 dari tahun sebelumnya.
Pencapaian ini sudah semestinya melalui perancangan yang rapi yang disusun oleh kepimpinan YAB Menteri Besar untuk membuktikan pentadbiran PAS dan Pakatan jauh lebih baik daripada era Umno/BN.
Negeri Pulau Pinang dan DAP yang Mohamad jadikan contoh dalam bab ini sudah tidak mempunyai hutan dan balak untuk ditender dan ditebang, kerana negerinya sudah dipenuhi hutan batu.
Permohonan tanah
Dalam bab memohon tanah, sepanjang pengetahuan saya, belum ada kes Exco atau wakil rakyat PAS di Kedah yang memohon tanah untuk diri sendiri maupun kaum keluarga.
Memang telah menjadi dasar yang tidak bertulis di Kedah, dan difahami dan dihayati dengan sebaik-baiknya oleh sekelian Exco dan wakil rakyat PAS bahawa mereka tidak mungkin boleh melakukan hal itu.
Kalau ada permohonan tanah sebelum menjadi Exco atau wakil rakyat yang masih belum selesai prosesnya, saya tidak tahu.
Negeri yang Mohamad jadikan contoh itu sudah tidak ada tanah yang luas untuk dipohon, bukan sahaja oleh exco atau wakil rakyat, malah rakyatnya juga telah ramai berhijrah ke Kulim, Sungai Petani dan utara Perak gara-gara harga hartanah yang terlalu tinggi dan sebahagian penduduknya sudah tidak mampu memilikinya lagi.
Saya akur dan berterima kasih di atas ingatan dan nasihat daripada Mohamad yang berterus terang dalam hal ini, yang saya percaya bertujuan memelihara kepentingan dan matlamat perjuangan parti.
PAS tidak boleh dan tidak mungkin bergerak menyamai apa yang telah dibuat oleh Umno/BN yang membawa kebencian rakyat ketika menjadi kerajaan.
Maklumat pinggiran
Saya menghormati dan menyanjung tinggi keberanian dan 'drive' Mohamad menerajui kepimpinan parti sebagai Timbalan Presiden PAS yang inginkan parti kita terus maju dan disenangi dan disayangi oleh rakyat, dalam hal-hal yang bersangkut dengan keperluan dan kemahuan dalam hidup sebagai manusia yang diberi amanah kuasa.
Untuk melaksanakan hasrat yang mulia Mohamad itu, alangkah baiknya jika beliau mendapatkan maklumat dan gambaran yang jelas dari kepimpinan PAS di Kedah maupun di Kelantan melalui hubungan dan persahabatan yang baik lagi mesra, sebagaimana Mohamad berjaya lakukan dengan kepimpinan kerajaan di Pulau Pinang.
Maklumat dari pinggiran yang (jika) menjadi asas penilaian Mohamad, saya khuatiri akan menyebabkan tegurannya menjadi tidak bermakna dan tidak menguntungkan sesiapa.
Teguran terbuka seperti ini juga lebih manis dibuat dulu dalam mesyuarat di peringkat PAS Pusat yang dihadiri oleh Pesuruhjaya PAS negeri-negeri terbabit. Saya mohon ampun dan maaf daripada Mohamad jika terkasar bahasa dan terlajak bicara.
0 comments:
Post a Comment