|
|
LANGKAHNYA memasuki bidang seni bersandarkan status juara program realiti My Starz LG musim ketiga menjadi titik tolak kepada kisah-kisah peribadinya.
Gara-gara salah percaturan barangkali juga prasangka manusia, Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram, 26, dibelasah sekumpulan lelaki hingga lebam-lebam tubuhnya, Julai tahun lalu.
Tragedi itu ada baik dan buruknya. Namanya dikenali. Namun, album pertamanya, Redha yang dilancarkan November 2010 sukar mencuri tumpuan ekoran insiden itu.
Selepas single pertama Lagu Untuk Kuala Lumpur dan ketika semangatnya berkobar-kobar untuk promosi single kedua, Redha, tumpuan tergugat pula dek cerita putus tunang awal minggu ini.
Tom hadir dengan konsep rock tetapi imej seksinya dikatakan tidak sesuai. Apa yang sebenarnya yang dicari janda muda beranak satu ini?
Sensasi Bintang: Ketika penerimaan ramai terhadap karier nyanyian anda semakin positif, muncul pula cerita anda putus tunang. Nampaknya karier anda perlu menempuh jalan yang sukar.
TOM: Memang sukar. Saya kena berdepan macam-macam situasi yang tidak memihak kepada saya. Sangat tak seronok tapi saya kena teruskan juga, kena bersedia dengan segala kemungkinan, tak kisahlah apa orang nak cakap.
Jadi cerita putus tunang itu tidak betul?
Bukan putus, kami masih ada ikatan cuma ada benda yang tak perlu saya ceritakan. Sekarang saya mahu relaks, malas mahu fikir. Tak sangka orang sedang perhatikan kisah peribadi saya sampai begitu sekali, lantaklah.
Ia kedengaran seperti ada pihak yang masih tidak puas hati dan bermusuh dengan anda?
Bukan musuh, mungkin ada yang tidak suka melihat saya hidup senang. Saya berharap peminat akan terus menyokong sebab saya kena terus mencari duit untuk tanggung hidup saya serta anak saya, Adam (Megat Ariel Shakur Mohd. Farhan) yang baru berusia tiga tahun.
Pernah rasa putus asa?
Ada juga rasa begitu terutamanya bila banyak mulut yang tak pernah puas bercerita tentang kisah silam saya. Setiap orang ada sejarah hitam, saya juga begitu tapi saya juga boleh berubah.
Saya anggap orang yang suka memburuk-burukkan saya adalah orang yang tidak puas hati dengan saya, mungkin mereka tidak ada apa yang saya ada dan sebaliknya. Mungkin sikap saya tidak pandai bermuka-muka ini tidak disenangi.
Sekarang anda nampak semakin seksi, sudah berani pakai dres pendek sampai ke paha, adakah seksi jadi jalan pintas untuk menjual bakat?
Seksi ke? Saya cuma pakai apa yang dirasakan sesuai dengan pekerjaan dan keselesaan saya. Walaupun ada album tapi saya juga menyanyi di kelab-kelab malam bersama band saya.
Pakaian untuk menyanyi di kelab malam, faham-faham sahajalah. Sebenarnya, saya ada dua personaliti, dulu saya ala-ala tomboi, tapi ibu saya mahu saya lebih feminin.
Bila saya meningkat dewasa, saya pun mahu kelihatan cantik macam orang lain juga. Rasanya saya masih berpakaian yang kena dengan tempat.
Anda bawa lagu imej rock jadi tidak perlu tampil seksi, lagipun status janda anak satu lebih mudah dipandang serong.
Rasanya pakaian tidak seratus-peratus melambangkan imej. Pakai seksi tetapi kalau masih ada jiwa rock, saya tetap boleh rock. Saya selesa dan semua orang berhak pakai apa yang mereka suka, tak kiralah isteri orang, ibu, tua atau muda. Inilah imej saya dan saya selesa.
Setakat ini, adakah anda sudah bertemu hala tuju dalam bidang nyanyian ini?
Saya baru masuk ke dalam industri tetapi masih terheret dengan cerita ketika belum menjadi artis. Saya baru berumur 26 tahun tetapi telah berdepan banyak pengalaman yang menyakitkan, itu semua memberi impak kepada karier saya.
Pengalaman mematangkan saya. Saya boleh pergi lebih jauh daripada sekarang jika tidak tercemar dengan kontroversi bodoh.
Saya ada benda yang boleh ditonjolkan tetapi kena ambil sedikit lagi masa. Saya tetap mahu menjual bakat saya dan yakin boleh berjaya pada masa depan.
0 comments:
Post a Comment