Jabatan Imigresen Johor telah menjalankan siasatan berhubung dakwaan dua wanita Singapura yang mereka dipaksa ketuk ketampi dan bercangkung dalam keadaan berbogel oleh anggota jabatan berkenaan.
Kedua-dua wanita itu dilapor ditahan awal pagi 9 Jun lalu, atas dakwaan cuba masuk ke Malaysia secara tidak sah.
"Kita telah menjalankan siasatan dan sudah menyerahkan laporan (berhubung insiden itu) kepada ibu pejabat imigresen di Putrajaya hari ini.
"Tunggulah keputusan daripada ibu pejabat imigresen dan kementerian," kata pengarah Imigresen Johor, Mohd Nasri Ishak ketika dihubungi Malaysiakini.
Mohd Nasri bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana tidak mahu kenyataaannya bercanggah dengan keputusan ibu pejabat.
Akhbar harian berbahasa Cina di Singapura - Lianhe Zaobao, melaporkan kejadian itu berlaku pada awal pagi 9 Jun lalu apabila dua wanita berkenaan memandu menyeberangi Tambak Johor dari republik itu.
Mereka menuju ke Johor Bahru dengan tujuan untuk makan malam tetapi secara cuai dan lalai melalui kaunter imigresen tanpa mengecop passport masing-masing.
Atas kesilapan itu, mereka ditahan dan didakwa sebagai pendatang asing dan dikurung di lokap di Pontian, Johor.
Wanita yang menggunakan nama samaran Lin Li Li, memberitahu akhbar itu, dia dan rakannya Zhan Ting Ting, juga nama samaran, kemudiannya diarahkan supaya menanggalkan semua pakaian mereka dan melakukan ketuk ketampi sebanyak 10 kali.
Selepas selesai melakukannya, mereka diberi pakaian tahanan dan mendakwa digari dan dikurung di bilik tahanan yang cukup memilukan.
0 comments:
Post a Comment