KUALA LUMPUR: Bekas vokalis kumpulan Wings, Mel atau nama sebenarnya Ismail Zainuddin, 45, mengakui selesa menjalani kehidupan sebagai pendakwah bebas selepas berundur sebagai penyanyi kira-kira sepuluh tahun lalu.
"Selepas meninggalkan dunia nyanyian, saya selesa dengan kehidupan hari ini iaitu berdakwah dan mengadakan ceramah di merata tempat.
"Selain itu, saya juga aktif menyanyikan lagu-lagu berbentuk ketuhanan tetapi tidak lagi di pentas komersial," kata bapa kepada penyanyi remaja Ikhwal ini.
Mengulas tentang kemunculannya dalam konsert Wings Opera Hidup Rockestra di Istana Budaya baru-baru ini, Mel berkata:
"Saya menyanyi di konsert tersebut semata-mata untuk memeriahkan konsert itu. Ia adalah tanda sokongan dan penghargaan kerana saya pernah bersama Wings satu waktu dulu.
"Namun, ia bukan bermakna saya ingin aktif kembali dalam bidang nyanyian. Saya selesa dengan kehidupan sekarang."
Bersama Wings, Mel sempat menghasilkan sebuah album iaitu Orang Asing (1995) yang menampilkan lagu-lagu popular seperti Lena Diulit Intan dan Semalam Yang Hangat.
Selepas itu, Mel bergerak sebagai penyanyi solo dengan dua album Mencari Enigma Lagu (1996) dan Sukma’98 (1998), sebelum berundur diri untuk menumpukan perhatian pada bidang keagamaan.
0 comments:
Post a Comment