|
|
KEHIDUPAN Erra Fazira tidak pernah lekang dengan umpatan dan kata-kata nista daripada masyarakat sekeliling dan telinganya pun sudah lali mendengar cemuhan begitu.
Apa yang didambakan oleh penyanyi dan aktres popular tanah air ini ialah sebuah kehidupan yang aman damai bersama keluarganya.
Namun impiannya itu seakan-akan sukar untuk dilaksanakan dan tidak keterlaluan jika diibaratkan sebagai tidak terlaksana.
Kata Erra, jika ada ‘kuasa’ yang dapat membantunya menghindari segala kedukaan itu, pasti dia tidak menolak bahkan, mengalu-alukannya.
Erra ketika dihubungi Hits memberitahu, dia bersyukur kerana dapat menjalani kehidupan seperti insan lain iaitu mempunyai sebuah keluarga sendiri setelah mendapat pertolongan seseorang.
Agak pelik bunyi kenyataan Erra... “mendapat pertolongan seseorang” untuknya menjalani kehidupan seperti insan lain.
Erra ada penjelasannya mengapa dia mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kontroversi dan salah anggap itu.
“Tatkala berduka itulah datang seseorang menghulurkan bantuan. Bagai pucuk dicipta ulam mendatang, Erra terus terima tawaran tersebut.
“Dari wanita berduka dan sering menjadi hinaan ramai, Erra berubah menjadi seorang wanita jelita yang menjadi rebutan ramai lelaki,” ceritanya girang.
Bagaimanapun kata Erra, 37, untuk kekal jelita, dia perlu berbuat sesuatu yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
“Bukan buat pembedahan plastik, guna botox atau pakai susuk. Itu semua lapuk. Cara terbaru ini sungguh menggerunkan kerana Erra sendiri tidak pernah terfikir untuk melakukannya.
“Kalau Erra tidak ikut syarat itu, kebahagiaan yang dinikmati akan hilang dalam sekelip mata. Syaratnya cukup berat untuk dipenuhi iaitu membunuh 100 lelaki termasuk suami,” katanya sedih.
Kesedihan itu dirasai Erra ketika melakonkan watak Siti Aminah dalam telefilem Sanggul Beracun yang bakal disiarkan pada pukul 10 malam, Ahad ini di saluran Astro Citra.
Telefilem arahan sulung Sabri Yunus, terbitan Balang Rimbun Sdn. Bhd. itu menggandingkan Erra dengan Namron buat pertama kalinya.
“Mula-mula memang berdebar sebab Erra dikelilingi pelakon hebat kerana kebanyakan mereka adalah pelakon teater.
“Erra beritahu abang Sabri dan pelakon lain kalau mereka tidak puas hati dengan lakonan Erra, beritahu terus.
“Alhamdulillah, sepanjang penggambaran Erra mendapat kerjasama daripada semua pihak dan banyak membantu Erra untuk menjiwai watak Siti Aminah yang banyak bermain dengan emosi,” katanya.
Menurut ibu kepada Engku Aleesya, 2, dia terima tawaran untuk muncul dalam Sanggul Beracun kerana tertarik dengan jalan cerita.
Selain itu, jelas Erra, dia ingin berlakon di bawah arahan Sabri Yunus biarpun ia sebuah telefilem.
Katanya lagi, Sanggul Beracun digarap berdasarkan mitos Siti Aminah yang popular di kalangan orang Johor.
“Ini bukan cerita seram atau apa, tapi cerita ini berdasarkan penderitaan Siti Aminah yang ditinggalkan oleh ibunya yang malu untuk mengaku mempunyai anak.
“Siti Aminah dibesarkan oleh bapa yang akhirnya meninggal dunia. Sejak itulah dia hidup sendirian dan menempuh semua cabaran.
“Apabila menjadi cantik, dia tidak takbur cuma dia tidak sabar untuk menamatkan syarat yang ditetapkan,” ungkai Erra tentang perjalanan cerita Sanggul Beracun.
Turut berlakon dalam Sanggul Beracun adalah Sabri Yunus, Haryanto Hassan dan Kaza Saisi.
assalamualaikum ..salam kenal dari mama..mula2 baca terkejut mama...rupanya berlakon drama..he 2x!!!
ReplyDelete