Hangat!! 3 Ribu Pelajar Dan Remaja Hadiri Ceramah Motivasi Amy Search Anjuran PIBG SK Sg Kob



GAYANYA sewaktu menyanyikan lagu-lagu dakwah.


TAHUN 1994 hatinya begitu meronta-ronta mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah. Entah kenapa, ketika itu perasaan Amy begitu dekat sekali dengan tanah kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW itu.

Sebelum ini, vokalis kumpulan rock Search itu tidak pernah melalui perasaan sebegitu. Apatah lagi, sewaktu 17 tahun yang lalu itu, namanya sedang memuncak di persada muzik rock tanah air. Ketika itu, dia baru sahaja muncul dengan album solo pertamanya berjudulMagic.

Namun, Amy atau pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman ini juga sama seperti insan-insan muslim lain yang mempunyai keinginan untuk lebih mendekatkan diri kepada Tuhan.

Menurut penyanyi berasal dari Johor Bahru, Johor ini, dia bersyukur kerana berbekalkan azam yang tinggi dia akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke Mekah al-Mukarammah itu.

"Alhamdulillah setakat ini sudah dua kali saya menunaikan umrah. Sekarang ini, azam saya mahu menunaikan ibadah haji pula. Bilakah masanya? Itu saya tidak tahu. Insya-Allah dalam masa terdekat ini," katanya kepada S3.

Sewaktu pertemuan selepas diumumkan sebagai pengetua program realiti TV, Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9) pada Konsert Tirai AF9 di Setiawangsa, Kuala Lumpur itu, redup mata Amy membayangkan niat tulusnya untuk bergelar haji suatu masa nanti.

Jelas rocker berusia 53 tahun ini, hatinya berasa tenang sekembalinya dari menunaikan umrah di mana secara tidak langsung ia mempengaruhi imej dan pendekatannya dalam bidang seni.

Perubahan itu dapat dilihat melalui imejnya yang lebih sopan dengan adakalanya berjubah, bersongkok dan paling ketara menerusi lagu-lagu nyanyiannya yang lebih ke arah ketuhanan.

"Hati saya sekarang ini semakin tenang. Malah, kalau boleh saya mahu lebih menyanyikan lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan. Buat masa ini saya dalam proses menerbitkan album single berjudul Takbir Cinta yang lirik dan lagunya dicipta oleh Yassin Brothers.

"Saya harap album ini dapat menemui para peminat sebelum bulan Ramadan ini. Lagu itu tentang pembersihan hati. Ia juga tentang soal cinta terhadap Tuhan yang semakin pudar di hati kita," ujarnya.

Selain semakin akrab dengan lagu-lagu berunsur ketuhanan, Amy yang merakamkan lima album berjudul Magic pada 1994, Camouflage (1997), Aku (1999), Suatu Masa (2000) dan Ikon - A Rockstar Chronicle (2006) kini turut berjinak-jinak dalam bidang motivasi.

Pemenang Vokal Terbaik Anugerah Industri Muzik tahun 2001 itu kini misalnya, sering dijemput menjadi penceramah bebas dan motivasi terutamanya untuk golongan pelajar sekolah di merata-rata tempat seluruh negara.

"Contohnya pada 1 April lalu saya telah diundang ke Sekolah Kebangsaan Sungai Kob di Kedah bagi memberikan motivasi kepada para pelajar di situ atas anjuran PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) sekolah terbabit.

"Seramai hampir 3,000 pelajar sekolah dan remaja berhampir kawasan itu hadir mendengar ceramah motivasi saya. Ia banyak berkisar tentang pengalaman saya sebagai penyanyi di mana banyak perkara-perkara positif yang saya kongsikan bersama mereka," jelasnya.

Dengan keazaman yang kuat untuk mengubah dirinya ke arah kehidupan yang lebih positif dan diredai Allah, Amy kini semakin tenang serta lebih bersemangat untuk meneruskan kehidupannya yang kini jauh berubah.

Populariti dan rezeki berlimpah-ruah yang dikurniakan Tuhan tidak menjadikannya sombong, jauh sekali menggunakannnya untuk ke jalan yang boleh menjerumuskannya ke lembah kehinaan.

"Semua pengalaman pahit manis yang saya lalui selama ini akhirnya mengajar saya supaya tidak sombong dan alpa dengan nikmat kurniaan Tuhan. Bagi saya, semua itu adalah pinjaman sementara dan kaya yang sebenar ialah ketenangan di hati kerana bersyukur dengan apa juga kurniaan-Nya," tuturnya lagi.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.