Anak Tokoh Korporat TS Azman Hashim Bakal Kahwini Penyanyi Kumpulan Hujan Yang Muda 6 Tahun Darinya...

SEPERTI raja sehari yang lain, tersirat perasaan gemuruh tatkala mengenangkan cuma tinggal beberapa bulan sahaja lagi dirinya bakal memegang status sah isteri kepada vokalis kumpulan Hujan iaitu Noh, 27.

Mengikat tali pertunangan pada 6 November tahun lalu dengan mengadakan majlis tertutup di teratak keluarganya di Ampang, Selangor, sudah tiba masanya Mizz Nina mengatur langkah membina sebuah keluarga dengan pilihan hati.

Pasangan itu mula berkenalan pada Disember dua tahun lalu dan hubungan mereka semakin serius apabila Noh turut terlibat dalam pembikinan album Mizz Nina.

Sejak itu, timbul keserasian dan disulami dengan perasaan cinta. Maka, lebih baik masing-masing menjaga hubungan yang terjalin itu dengan mengambil keputusan untuk diijab kabul.

Sudah dapat menyangka akan diajukan soalan mengenai persiapan perkahwinan, anak bongsu Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad, Tan Sri Azman Hashim itu hanya mampu tergelak kecil.

“Sekarang perasaan saya bercampur antara gembira dan panik. Sebab perancangan tahun ini terlalu banyak dan kesemuanya perlu diutamakan.

“Tidak kira soal masa depan kehidupan mahu pun karier seni saya,” katanya ringkas.

Memilih 1 Julai ini sebagai saksi lambang cinta sehingga akhir hayat bersama tunang tersayang, sebenarnya tarikh itu memberi dua erti yang sungguh bermakna kerana dia juga bakal menyambut ulang tahun ke-31.

Tidak keberatan berkongsi kegembiraannya itu terutama bagi susun atur majlis, Mizz Nina mengakui dia tidak melepaskan segala tugasan kepada perancang perkahwinan seratus peratus.

Bukannya tidak yakin dengan hasil kerja individu yang dipilih, sebaliknya wanita itu mahu melihat memori indah yang hadir sekali dalam hidupnya terlaksana dengan penuh kegembiraan seperti yang telah dirancang.

Lebih senang jika dia tidak lepas tangan bagi memastikan ketiga-tiga majlis yang akan berlangsung berjalan lancar. Maklumlah, Mizz Nina harus memahami dirinya bukan sahaja seorang penghibur bahkan merupakan cahaya mata kepada salah seorang jutawan di negara ini.

“Setiap minggu saya dan perancang perkahwinan megadakan perbincangan. Seramai lapan jurufoto dan video daripada produksi Manggis akan turut serta merakamkan memori itu nanti.

“Seterusnya, individu penting untuk menghasilkan potongan busana ialah pereka yang sudah lama bersama keluarga saya iaitu Lady Jane.

Dua ribu tetamu


MIZZ NINA dan Noh sepakat memilih gaya Jepun untuk salah satu majlis perkahwinan mereka nanti kerana begitu meminati fesyen dari negara matahari terbit itu.


Sudah tentu kehadirannya di pentas persandingan kelak, menjadi tatapan golongan korporat. Jadi, tidak mustahil Mizz Nina sekeluarga memilih untuk mengadakan tiga majlis berlainan lokasi semata-mata mahu memastikan setiap jemputan berpuas hati dengan detik bersejarahnya.

“Upacara akad nikah akan dilangsungkan di kediaman keluarga saya pada sebelah malam, 1 Julai nanti. Kita buat secara tertutup dan hanya sanak saudara sahaja yang dijemput.

“Dekorasi pada malam itu, pastinya sungguh romantis. Ideanya ialah kita buat jambatan di tengah-tengah kolam renang. Itu sahaja, selebihnya perlu rahsia,” terangnya yang memilih tema klasik berona hitam dan putih.

Berdasarkan perbincangan oleh kedua belah pihak pada majlis pertunangan mereka, Nina bakal menerima mas kahwin sebanyak RM888.88 manakala wang hantaran pula lebih RM11,000.

Sementara itu, majlis resepsi secara tertutup bagi golongan VVIP terutama kenalan keluarganya akan diraikan pada pada 3 Julai di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur.

Setiap majlis turut mengenengahkan konsep berlainan. Keputusan sudah muktamad apabila keluarga Mizz Nina memilih untuk meraikan kedua-dua mempelai dengan mempersiapkan diri mereka menyarung persalinan busana tradisi Melayu.

Bukan itu sahaja, tetamu juga seboleh-bolehnya berhias cantik dengan gaya elegan menggunakan fabrik berwarna ungu.

“Kita mahukan majlis berlangsung dengan tenang dan bukannya tidak mahu menjemput media hadir. Tetapi atas permintaan keluarga kami yang mahu menjadikannya sebagai sebuah majlis penuh privasi.


KLIP video lagu Mizz Nina, What You Waiting For ditonton seramai 2.6 juta pengguna Internet.


“Namun, jangan risau kerana kami akan membekalkan gambar-gambar sewaktu pernikahan itu nanti,” ulasnya sambil tersenyum.

Tidak sesekali melupakan hasrat untuk berkongsi kegembiraan, Mizz Nina memilih Hotel Double Tree by Hilton Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur sebagai ruang meraikannya bersama media dan rakan-rakan.

Tetamu yang dijemput terlalu tidak terikat dengan protokol sebaliknya dapat meluangkan sepenuh masa dengan mempelai.

“Sebuah lagi majlis resepsi khusus buat teman-teman artis dan media akan diadakan pada 6 Julai. Beberapa orang artis akan diundang membuat persembahan.

“Antara yang boleh saya umumkan di sini ialah akan ada kumpulan dari Indonesia bakal membuat persembahan kelak,” jelasnya yang cukup popular dengan lagu What Are You Waiting For.

Bagaikan tidak sabar menanti detik bersejarah itu, majlis resepsi ketiga menetapkan tema ala Jepun. Celahnya, tetamu yang hadir dapat menyaksikan para pengiring wanita memakai kimono manakala pengiring lelaki pula bersut ninja.

“Ini memang idea saya dan Noh kerana kami sungguh meminati stail Jepun. Tidak kira dari segi makanan atau fesyen mereka.

“Majlis kali ini lebih kepada keseronokan yang akan dikongsi bersama tetamu. Sebelum upacara berlangsung, kita turut mengadakan majlis karpet merah. Jadi setiap tetamu jangan lupa untuk melaram,” selorohnya.

Tambah Mizz Nina, sesudah mencapai usia 33 tahun, dia mahukan mahligai yang dibinanya itu hadir dengan keceriaan gelak tawa cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama Noh.

Cuma dirinya perlu membahagikan peluang yang ada supaya rumah tangga tidak terabai.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.