BAGI mereka yang mengenali diri wanita ini, pasti sudah faham benar dengan peribadi dan perangainya. Dia seorang yang cukup berahsia tentang kisah cintanya biarpun sudah bergelar tunangan orang pada akhir tahun lalu.
Setiap kali ditanya tentang siapa jejaka bertuah itu, sampai hari ini ada sahaja ‘jawapan selamat’ yang diberikan sambil disulami ketawa besar.
Prinsip hidup yang dipegang bintang Akademi Fantasia (AF) musim kedua ini, tidak manis sekiranya orang perempuan yang gemar membuka mulut berbanding pihak lelaki.
Puas dipujuk, akhirnya Farah akur dengan harga yang harus dibayarnya lewat statusnya sebagai artis.
Bagaimanapun Farah atau nama sebenarnya Farah Diana Anuar masih merahsiakan identiti jejaka pilihan hatinya itu.
“Tak payahlah sebut nama dia lagi, cuma apa yang boleh Farah beritahu umur kami sebaya dan Farah sudah mengenali dia sejak beberapa tahun lalu.
“Farah kenal dia ketika berjumpa dengan kawan Farah berkaitan projek persembahan. Dia datang bersama waktu itu.
“Dari situ, kami mula berkenalan. Pertama kali saya bertentang mata dengan dia, terus jatuh cinta,” katanya ketawa besar lagi.
Majlis pertunangan Farah dengan seorang usahawan itu berlangsung di rumah neneknya di Yan, Kedah pada 25 Disember tahun lalu selepas majlis merisik diadakan pada Hari Raya ketiga.
Diajak berkongsi ciri-ciri yang terdapat pada tunangnya itu hingga membuatkan dirinya dilamun cinta, penyanyi yang popular dengan lagu Antara Dunia terdiam seketika.
Selepas menghela nafas, dia mengakui tertarik dengan tingkah laku lelaki itu yang sederhana selain jujur dan setia dalam perhubungan.
“Tapi yang membuatkan Farah tertarik sudah pasti dengan kulitnya yang hitam manis,” ceritanya sambil malu-malu.
Ditanya tempoh lama pertunangan, anak ketiga daripada enam beradik itu berkata semuanya bergantung kepada jadual seni yang semakin sibuk sekarang.
Katanya, apa yang berlaku sebelum ini bermula dari majlis merisik hingga ke majlis pertunangan adalah secara kebetulan berikutan aktiviti seninya yang kosong ketika itu.
“Farah dan tunang memang tidak pernah merancang berapa lama bertunang.
“Namun kalau mengikut nasihat ibubapa kami, mereka mahu mempercepatkan majlis perkahwinan kerana tidak elok bertunang lama-lama,” katanya yang ditaja pakaian dan hantaran oleh Sheila Mohd. pada majlis pertunangannya.
Wanita yang berusia 26 tahun pada Januari lalu memberitahu, tiada apa yang membezakan perjalanan hidupnya pada hari ini walaupun status diri sudah berubah.
Katanya, kehidupan yang dilalui berjalan seperti biasa kerana dia dan tunang lebih selesa menjalinkan hubungan seperti di alam percintaan.
Ujar pengacara rancangan Nasi Lemak Kopi O itu, ini kerana mereka bukanlah pasangan yang gemar berjumpa setiap masa seperti pasangan kekasih lain.
“Sebelum ini pun, kami jarang berjumpa kerana karier seni Farah lebih tertumpu di Kuala Lumpur manakala dia sibuk dengan bisnes di Pulau Pinang.
“Soal cemburu pula tidak timbul kerana tempoh perkenalan yang lama membuatkan kami faham dengan karier masing-masing.
“Apa yang diamalkan, Farah dan tunang saling tegur menegur selain dia faham yang Farah sering bersama abah apabila melibatkan aktiviti seni,” kata pelontar vokal lagu Tangisan Dalam Kerinduan itu.
Mengakhiri perbualan, Farah melahirkan rasa kesyukuran kerana majlis pertunangannya itu memberi seribu hikmah apabila mengeratkan kemesraan dua keluarga yang bakal bersatu kelak.
Dia yang baru selesai penggambaran program Rasa Halal Vietnam berkata, rezekinya juga dalam bidang seni turut melimpah biarpun bertudung sejak pertengahan tahun lalu.
0 comments:
Post a Comment