"Kami tidur dalam ketakutan dengan bertemankan pisau dan penyembur lada di sisi" kata dua sahabat baik yang merupakan penuntut tahun ketiga jurusan perubatan di Universiti Mansoura, Mesir.
Nazeera Mohd Nasir dan Nurul Shafiqah Mohd Tajudin, masing-masing 21 tahun ditemui Bernama selepas selamat tiba bersama tiga lagi pelajar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 10 malam tadi dengan menaiki penerbangan EK0342 Emirates dari Kaherah.
Nazeera berkata mereka dibelenggu perasaan cemas dan takut ekoran kawasan rumah sewa mereka di Mansoura agak tegang terutamanya ketika malam dengan bunyi tembakan dan cermin rumah dipecahkan.
"Pada hari pertama, ketika itu kami sedang tidur dan tiba-tiba dikejutkan dengan pengumuman dari masjid berdekatan yang meminta semua penduduk agar menutup lampu dan mengunci semua pintu kerana banduan terlepas di penjara yang berdekatan dengan rumah sewa kami.
"Kami berkongsi katil setiap malam dan asyik berjaga kerana terdengar bunyi pecah rumah, pengumuman dari masjid jika ada rumah yang dipecah, kereta kebal lalu lalang selain bunyi tembakan hingga menyebabkan kami terpaksa tidur dengan pisau dan penyembur lada demi keselamatan," katanya.
Beliau berkata bimbang dengan keadaan tersebut, mereka nekad menyewa sebuah kenderaan tiga hari lalu untuk membawa mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah namun terkandas di lapangan terbang tersebut setelah gagal menaiki kapal terbang meskipun telah membeli tiket.
"Keadaan di dalam terminal sangat tegang.. semua orang berebut-rebut untuk menaiki kapal terbang. Meskipun kita sudah beli tiket dahulu tetapi itu tidak menjamin kita boleh dapat naik penerbangan tersebut," katanya sambil menambah mereka menggunakan kad kredit untuk membeli tiket penerbangan lain.
Nurul Shafiqah pula berkata terdapat kira-kira 200 pelajar Malaysia yang terkandas di lapangan terbang itu sejak meletusnya tunjuk perasaan pada 29 Januari lalu dan keadaan menjadi lebih meruncing apabila mereka kehabisan wang selain bekalan makanan semakin berkurangan.
"Kami semua duduk dan tidur di atas lantai dengan beralaskan kotak. Malah ramai yang menangis ketakutan dan ada yang telah berada di lapangan terbang tersebut sejak empat hari lalu.
"Kami hanya makan sedikit roti dan air mineral dan terpaksa mencatu makanan kerana bekalan makanan semakin berkurangan selain tidak dapat membuat pengeluaran wang malah roti dan air dijual dengan harga yang sangat mahal," katanya.
Sementara itu, Nor Akhbariah Md Najas, 20, pelajar tahun pertama jurusan perubatan di Universiti Tanta, Mesir berkata keadaan di Tanta tidak seteruk Mansoura tetapi mereka tetap mematuhi perintah berkurung pada setiap malam.
"Banduan berada di mana-mana dan setiap hari ada sahaja rumah yang dipecah masuk serta barang dilarikan malah kereta kebal dan tentera juga ada di semua kawasan. Keadaan seperti itu sangat menakutkan," katanya yang turut terkandas di lapangan terbang itu selama dua hari.
Ibu kepada Nor Akhbariah, Jamaliah Mohd Salleh, 57, pula berkata ketika pertama kali mendengar insiden Mesir di televisyen, beliau berasa susah hati dan bimbang keselamatan anak kelimanya itu sebelum bertindak memasukkan wang ke dalam akaun Medic Mesir.
"Medic Mesir sangat bertanggungjawab, mereka membelikan tiket untuk Nor Akhbariah pulang ke tanah air. Kita cuma berharap pihak kedutaan juga dapat menghulurkan bantuan dengan lebih pantas kepada pelajar-pelajar yang masih terkandas di sana," katanya.
- Bernama
0 comments:
Post a Comment