GEORGE TOWN: Penyanyi utama kumpulan Sweet September, Antonio Vincent,57, yang popular pada era 70-an meninggal dunia di rumahnya di Tanjung Bungah, Pulau Pinang dipercayai akibat sakit jantung.
Antonio yang popular dengan lagu Hatiku Kau Guris Luka dan Nak Kahwin Duit Tak Ada ditemui mati oleh isterinya, Annie Ooi kira-kira pukul 4.05 petang, Selasa, di dalam bilik air rumah mereka.
Menurut Annie, dia mengesyaki sesuatu yang tidak kena terhadap suaminya apabila mendiang berada terlalu lama di dalam bilik air selain tidak menjawab sahutannya.
“Saya mengesyaki dia mungkin tergelincir atau menghadapi serangan jantung,” katanya.
Selain isteri, Antonio turut meninggalkan seorang anak perempuan iaitu Rina yang berusia 30 tahun.
Sweet September dianggotai oleh lima ahli kumpulan tetapi sekarang hanya mempunyai dua anggota iaitu Ignatius James dan Dean Yusof masing-masing bermain piano dan drum.
Ignatus berkata, kumpulan itu merakamkan lapan album sejak tahun 1982 hingga 1986 termasuk beberapa album kompilasi.
Selain Antonio, dua anggota lain kumpulan tersebut iaitu Adrian James dan Ronnie Ng Lian Seng telah meninggal dunia masing-masing pada tahun 1996 dan 2009.
Penyanyi kumpulan Alleycats, Datuk David Arumugam yang mengenali Antonio pada tahun 1969 semasa sedang belajar memberitahu mendiang merupakan individu yang baik, rendah diri dan juga kelakar.
Majlis pengebumian dijangka akan di adakan di Tanjung Bungah, Rabu.
0 comments:
Post a Comment