MENERIMA jika ditakdirkan jodohnya dengan lelaki Melayu beragama Islam, Adeline mengakui tiada halangan baginya untuk memeluk agama tersebut.
Namun begitu, biarlah ia datang dari dalam darinya sendiri dan bukan kerana seorang lelaki.
Secara jujurnya, Adeline atau pemilik nama penuh Adeline Tsen ini mengakui banyak berkawan dengan lelaki Melayu sejak menuntut di pusat pengajian tinggi.
“Agama bukan penghalang untuk saya berkawan atau mengenali seseorang itu dengan lebih dekat. Apa yang penting ialah kejujuran untuk menerima saya sebagai seorang yang istimewa di hatinya.
“Bagi keluarga saya ia bukan sesuatu yang ganjil sebab abang sulung saya juga sudah memeluk agama Islam. Bagaimanapun, niat untuk memeluk sesebuah agama biarlah lahir dari hati bukan kerana sesuatu yang lain,” ujarnya.
Wanita berusia 24 tahun ini juga memberitahu pengalaman rakan-rakannya yang sudah memeluk Islam memberi sedikit sebanyak pengetahuan tentang agama itu.
“Saya berani bercakap begitu kerana ramai rakan saya yang sudah memeluk Islam. Tapi mereka tukar agama bukan kerana ingin berkahwin semata-mata.
“Ada sepasang suami isteri bukan beragama Islam tetapi mengambil keputusan selepas berkahwin untuk memeluk Islam,” katanya yang mempunyai darah keturunan Melayu Brunei.
Enggan tumpang populariti Fahrin
Diusik dengan cerita cinta, dia tidak mahu gosip gambarnya di kedai mamak bersama aktor terkenal Fahrin Ahmad yang tersebar sebelum ini disensasikan lagi.
Dia tidak mahu nilai persahabatan yang dibina disalah erti, malah lebih buruk ramai yang beranggapan dia hanya mahu menumpang populariti pelakon kacak tersebut.
“Saya mengenali Fahrin sejak April lalu selepas menghadiri Anugerah Bintang Popular (ABP). Kami selesa berkawan, pada saya dia seorang yang matang dalam banyak perkara.
Dalam bidang seni pula dia banyak beri nasihat dan berkongsi pengalaman.
“Sejujurnya setakat ini kami berkawan dan saling mengenali. Saya tidak menyangka tindakan keluar minum bersama menjadi cerita sensasi. Padahal sebelum ini saya pernah juga keluar minum dengan rakan artis yang lain, tapi mungkin dia seorang yang terkenal.
“Sekarang kami agak lama tidak berjumpa kerana sibuk dengan komitmen masing-masing. Cuma kadangkala kami bertanyakan khabar menerusi mesej di telefon sahaja,” katanya.
Walaupun begitu, jika sudah ketentuan jodohnya bersama jejaka itu, dia mengaku menerima dengan hati yang terbuka.
Bercerita tentang lelaki idaman, Adeline memberitahu dia tidak pernah menetapkan sebarang kriteria tertentu. Dia mahu seorang lelaki yang mempunyai sifat mementingkan keluarga dan bertanggungjawab.
“Tipulah kalau saya katakan tidak mahu seorang kekasih bagi mengisi kekosongan hati. Pada saya apa pun bangsanya, Melayu, Cina, atau India, saya tidak kisah, yang penting dia seorang yang bertanggungjawab kepada keluarga dan mencintai saya seadanya.
“Buat masa sekarang saya belum lagi terlalu memikirkannya sebab ingin fokus kepada kerjaya. Saya lebih selesa berkawan dan mengenali seseorang sedalam-dalamnya terlebih dahulu.
“Jika sudah bercinta banyak pula komitmen lain, maklumlah saya masih lagi belajar dan dalam masa yang sama juga berlakon,” ujarnya.
Kembali aktif berlakon
Enam bulan menjalani latihan amali, bagaikan tempoh terlalu lama bagi anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini berehat dari sebarang aktiviti seni.
Awal Januari dia bakal menghiasi jadual seninya dengan filem keenam berjudul Alamak Toyol terbitan MIG Productions Sdn Bhd.
“Saya tidak sabar kembali berlakon selepas enam bulan terpaksa menjalani latihan amali. Selama enam bulan itu juga saya terpaksa menolak banyak tawaran telefilem dan filem.
“Tapi saya faham pendidikan perlu diutamakan, keluarga sangat berharap agar saya lulus dengan cemerlang dalam bidang ini,” ujar penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Menurutnya, dia pernah terfikir untuk berhenti belajar dan menumpukan perhatian sepenuhnya dalam bidang seni, namun hasrat tersebut dibantah oleh keluarga.
“Tahun lepas saya tangguh pengajian satu semester kerana ingin fokus pada lakonan. Tapi keluarga membantah dan menuntut saya habiskan juga pengajian demi masa depan,” ujarnya.
Biarpun sudah membintangi lebih 35 buah drama tempatan, Adeline masih menganggap dirinya terlalu kerdil jika dibandingkan dengan pelakon-pelakon lain.
Tambahnya, kelemahan utama yang masih cuba diatasi ialah pertuturan Bahasa Malaysia yang kurang baik.
“Saya masih perbaiki pertuturan dalam Bahasa Malaysia dengan fasih tanpa ada slanga Sabah. Ramai juga yang tegur fasal bahasa ini. Ia juga akan membatasi watak yang saya dapat,” katanya.
“Saya juga minta nasihat daripada beberapa pelakon lain seperti Marsha dan Anding untuk mengatasi masalah ini. Mereka menasihatkan agar saya sering berkomunikasi menggunakan bahasa yang betul, ” katanya yang kagum dengan pertuturan Marsha.
Tambah Adeline dia terpaksa meminta skrip lebih awal bagi membolehkannya untuk berlatih terlebih dahulu sebelum bermulanya penggambaran.
Menurutnya sebagai pelakon dia mengidamkan sebuah watak yang benar-benar memberi impak dan menguji lakonannya.
“Setakat ini banyak watak yang saya terima ialah watak komedi, walaupun bukan seorang pelawak tetapi ramai yang kata saya boleh buat lawak.
“Kalau boleh saya nak watak seorang yang cacat atau kurang upaya kerana ia benar-benar menguji kebolehan seseorang pelakon. Selain sukar, kita perlu meraih simpati penonton melalui karakter tersebut,” katanya.
Adeline juga mempunyai bakat dalam bidang nyanyian dan komersial. Dia sering menerima tawaran persembahan nyanyian dan modelling sebagai pendapatan sampingan.
“Sejak kecil saya aktif menyanyi berbanding berlakon tapi rezeki saya lebih ke bidang lakonan. Saya sedar untuk menyanyi bukan sesuatu yang mudah buat masa sekarang.
“Saya masih lagi menyimpan impian untuk menyanyi dan mungkin tahun depan saya akan keluar dengan single pertama bersama seorang rakan artis,” katanya.
0 comments:
Post a Comment