KUALA LUMPUR 5 Dis – Berikut adalah laporan terkini sekitar suasana dan keadaan di beberapa kawasan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, Masjid Negara, Masjid Jamek dan Istana Negara bagi program perhimpunan aman ‘Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat’.
Berikut adalah kronologi terkini.
2.20pm – Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menyerahkan memorandum dan petisyen 100,000 ribu rakyat Selangor kepada wakil istana. Beliau kini sedang memberikan kenyataan kepada wakil media. Sementara itu, lapan ditahan di hadapan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.
2.10pm – Polis melepaskan tujuh das gas pemedih mata dan meriam bagi menghalang lautan manusia. Para peserta kini mengarah ke Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Kereta yang dinaiki Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pemimpin bagaimanapun dibenarkan menuju ke Istana Negara.
2.03pm – FRU melepaskan gas pemedih mata ke arah peserta dan merempuh perarakan tanpa sebarang amaran
1.55pm – Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam ucapannya berkata penswastaan air pada 2004 lalu membebankan rakyat di Selangor ,Putrajaya dan Kuala Lumpur. Usaha kerajaan negeri katanya, adalah untuk menghentikan episod kerakusan rejim terdahulu demi kebajikan rakyat. Khalid juga menyeru ribuan peserta supaya berjalan berarak ke Istana dengan tenang dan berdisiplin.
Presiden PSM, Dr Nasir Hashim dan setiausaha agungnya, S Aruthcelvan antara tiga orang yang ditahan kerana didapati memakai baju merah.
Mereka ditahan pada kira-kira jam 11.30 pagi di sekitar KL Sentral.
Ketika ditemui, Nasir memberitahuMalaysiakini: "Saya tak pasti (ditahan). Polis halang saya (bergerak) sebab pakai baju merah."
Apabila dihubungi setengah jam kemudiannya, Dr Nasir yang juga ADUN Kota Damansara mengesahkan mereka ditahan dan dibawa ke balai polis Petaling Jaya.
"Mereka kata ianya perhimpunan haram. Tapi kami hanya tiga orang sahaja," katanya.
Sementara itu, polis mengadakan sekatan jalan raya ekoran rancangan kerajaan Pakatan Rakyat untuk mengadakan perhimpunan di Masjid Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong membantah kenaikan kadar bayaran air.
Manakala di Stadium Merdeka, kira-kira 200 penyokong Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) berhimpun mulai jam 11.50 pagi tadi.
Polis kemudiannya mengarahkan mereka bersurai. Kemudian selepas berunding dengan polis, mereka menaiki dua kenderaan ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum mendakwa penyelewengan Kerajaan Selangor.
Sementara itu, di tempat lain di sekitar Kuala Lumpur dan Shah Alam, Selangor, sekatan jalan raya diadakan untuk menghalang orang ramai daripada menghadiri protes kenaikan harga air dan penyerahan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
Penganjurnya sebelum ini berkata, mereka akan berarak dari Masjid Negara menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tersebut.
Menurut bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Badrul Hisham Shaharin, beberapa orang 'marsyal' telah ditahan. Beliau menggesa peserta lain supaya bertenang dan meneruskan perjalanan mereka ke Masjid Negara.
Menurut tweet ADUN DAP Kampung Tunku, Lau Weng SAN, seorang jurugambar TV Selangor turut ditahan.
0 comments:
Post a Comment