Projek E-Book di Terengganu.... Bagaimana Perlaksanaannya?

“Rakyat didahulukan. Pencapaian diutamakan. Kerajaan negeri akan merakyatkan program buku elektronik dengan menyediakan peruntukan RM30 juta bagi membekal komputer riba kepada 25,000 orang pelajar.” Begitulah kata-kata Dato’ Sri Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu yang merupakan pencetus idea penggunaan e-Book semasa membentangkan bajet tahunan 2010 di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Genap sebulan yang lepas saya telah mengemukan soalan di Dewan Undangan Negeri tentang kewajaran Kerajaan Terengganu memperuntukkan jumlah yang amat besar bagi projek e-Book bagi membekal komputer riba kepada pelajar-pelajar tahun 5 dan 6 di seluruh negeri.

Dalam jawapan beliau kepada saya, Menteri Besar Dato Sri Ahmad Said secara angkuh membidas saya) yang menurutnya tidak pernah bersetuju dan dengki dengan apa yang dibuat kerajaan negeri walaupun ia jelas menampakkan kejayaan. Katanya lagi, kerajaan negeri berani berbelanja untuk sesuatu yang bermanfaat kepada rakyat Terengganu seperti perlaksanaan program e-book atau buku elektronik kepada pelajar sekolah dan juga guru walaupun ia dikatakan sebagai membazir oleh pihak lawan (Pas).

Saya bangun mencelah dan menyatakan kepada Menteri Besar bahawa “tidak timbul soal dengki atau sekadar membangkang sedangkan kita semua rakyat Terengganu dan mempunyai tanggungjawab yang besar bagi membangun serta melihat kejayaan negeri Terengganu”. Isu pokoknya apakah pihak kerajaan Terengganu telah membuat kajian mendalam mengenai perlaksanaan projek yang amat besar ini?

Ini di tambah dengan anggaran keseluruhan projek e-Book ini sahaja telah mencecah hampir RM100 juta dan dijangka meningkat berlipat kali ganda lagi. Lihat sahajalah perbelanjaan yang telah di keluarkan setakat ini;

Pembinaan kilang ‘design & build’ - RM7.95 juta
Budget pembelian e-Book 2009 - RM30 juta
Budget pembelian e-Book 2010 – RM25 juta
Budget tambahan pembelian e-Book Ogos 2010 – RM25 juta

Anggaran jumlah keseluruhan yang telah di belanjakan sepanjang tahun 2008-2010 sahaja adalah RM 87.95 juta. Namun persoalan yang selalu timbul di naluri hati saya adalah apakah projek ini di urustadbir dengan telus dan berhemah? Bagaimana pula kos keseluruhannya yang akan di tanggung oleh kerajaan negeri? Dan apakah pula pulangannya kepada rakyat Terengganu yang rata-rata susah dan miskin?

Namun jangkaan negatif saya menjadi kenyataan apabila saya telah dibekalkan melalui pos laju satu set laporan Audit Pengurusan Anak Syarikat Top IT Industries Sdn. Bhd. yang di sediakan oleh Jabatan Audit Negara Cawangan Terengganu. Isi kandungannya adalah amat mengejutkan! Amat menggerunkan serta amat memalukan!

Antara lain laporan itu menyebut; “pada pendapat audit, aktiviti projek e-Book kurang memuaskan kerana;
1. tiada perjanjian di antara syarikat dengan kerajaan negeri dan antara syarikat dengan pembekal perkakasan dan perisian
2. berlaku kelewatan penghantaran
3. kadar murid yang membawa eBook ke sekolah adalah amat rendah
4. berlaku kecuaian memilih pembekal perisian sistem
5. kerosakan e-Book

Tiada perjanjian! Bayangkan projek sebesar ini tidak ada sebarang perjanjian di antara syarikat dengan kerajaan negeri dan antara syarikat dengan pembekal perkakasan dan perisian. Lebih mengejutkan lagi kilang bernilai lebih hampir RM 8 juta ini menurut semakan audit ”mendapati pelan banguunan kilang belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat dan bangunan kilang belum lagi memperolehi Sijil Akaun Kelayakan Menduduki (SAKM) daripada pihak berkuasa Majlis Bandaraya. Bagaimanapun, bangunan telah digunakan untuk menjalankan operasi.”

Lebih menggerunkan lagi apabila laporan audit ini mendapati ”Berdasarkan laporan juruperunding arkitek pembinaan kilang, mendapati kebocoran pada dinding, steel column dan dinding batu bata. Lawatan audit ke bangunan kilang pada 15hb Mac 2010 mendapati kesan retak yang serius yang sedang dalam pembaikan oleh kontraktor..”

Bayangkan kilang yang telah beropersi hampir dua tahun tidak mendapat keluluusan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat serta tidak ada CF sedangkan lebih 60 orang pekarja telah menjalankan tugas dalam keadaan nyawa mereka sentiasa terancam dengan menanggungung risiko kemungkinan keruntuhan bangunan kilang. Siapakah yang akan bertanggungjawab dalam hal ini semua?

Lebih memalukan lagi apabila laporan Audit ini menndapati ”semakan audit di kilang mendapati pada tahun 2009 sebanyak 1,857 unit e-Book dan bagi tempoh Januari 2010 sehingga Mac 2010 sebanyak 1,532 e-Book yang diberikan kepada murid-murid telah rosak dan di hantar ke kilang untuk dibaiki. Daripada jumlah tersebut seramai 609 murid dikehendaki membayar diantara RM69 hingga RM200 kerana kerosakan tersebut tidak termasuk dalam jamina kerosakan selama setahun. Kadar kerosakan adalah 14% berbanding dengan jumlah e-Book yang dibekalkan kepada murid-murid berjumlah 24,431 e-Book”.

Yang amat mengejutkan lagi kerosakan ini berlaku dalam tempoh kurang satu tahun selepas pemberian kepada murid-murid dan kadar kerosakan 14% merupakan kadar yang amat tinggi dan ini memberi gambaran kepada kualiti e-Book yang dikeluarkan adalah amat tidak bermutu.

Lebih memalukan lagi apabila kilang yang diwarwarkan oleh Menteri Besar ”bahawa kerajaan dengan kerjasama syarikat klogomerat Intel telah siap membina kilangnya di kawasan Perindustrian Gong Badak yang mula beroperasi bagi pemasangan komputer riba untuk dipasarkan ke seluruh Asia Tenggara”.

Realitinya, tidak ada operasi bagi pemasangan komputer riba untuk dipasarkan ke seluruh Asia Tenggara. Yang ada hanya pekerja-pekerja yang bekerja mengisi perisian-perisian ’software’ e-Book yang di impot dari China berbumbungkan sebuah kilang yang pada bila-bila masa berkemungkinan boleh runtuh seperti runtuhnya Stadium Sultan Mizan yang tersergam indah kabar dari rupa. Wahai rakyat Ganukite bangkitlah menentang kepincangan dan salahurus di negeri tercinta ini, janganlah jadi seperti pak pandir...

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.