Pengarah Bomba P.Pinang Terima Rasuah Pembayaran Kereta Vios Baru Didakwa...

SUNGAI PETANI 28 Dis. — Pengarah Jabatan Bomba Pulau Pinang, Ahmad Izram Osman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM16,325 pada Februari tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad Izram, 44, dituduh menerima suapan RM3,000 iaitu sebahagian bayaran pendahuluan bagi pembelian kenderaan Toyota Vios nombor pendaftaran PS52 daripada Hasmawi Ahmad dan pertuduhan kedua menerima RM13,325 sebagai baki bayaran pendahuluan kereta itu daripada Hasmawi.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di pejabat Telagamas Motors Sdn Bhd, Jalan Petaling, Taman Seri Petaling, Kulim, Kedah pada 17 Februari 2009.

Suapan itu adalah sebagai upah untuk beliau kononnya mendapatkan kontrak kerja pembaikan dan penyelenggaraan pejabat tingkat 2 dan 3, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang bernilai RM150,016 dan sebagai dorongan kerana membantu mendapatkan kontrak kerja pembaikan dan penyelenggaran bilik standby lelaki Ibu Pejabat jabatan itu di Pulau Pinang bernilai RM198,000 kepada syarikat Rohaya Gemilang Enterprise.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahmad Izram juga menghadapi pertuduhan pilihan iaitu menggunakan kedudukannya menerima untuk diri sendiri wang tunai berjumlah RM16,325 tanpa balasan daripada Hasmawi pada Februari 2009.

Wang itu adalah bayaran pendahuluan untuk pembelian kereta Toyota Vios tersebut.

Pertuduhan pilihan itu dibuat mengikut Seksyen 165, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hakim Rusita Md Lazim membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu.

Ahmad Izram diwakili peguam H. T. Saw manakala pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Janariah Abdul Mutalib. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.