Benarkah Bas Berasap Sebelum Terbabas Mengorbankan 27 Orang?

Salah seorang pelancong Thai yang terselamat dalam kemalangan maut semalam di laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands ternampak asap di bahagian luar tepi bas pesiaran sebelum ia terbabas.

"Sewaktu bas menuruni kawasan bukit itu, anak saya menceritakan yang dia nampak asap di bahagian luar tepi bas berkenaan," kata Nasir Ismail, 51, yang anaknya Areena Songserm (nama Islam Areena bt Nasir) antara 10 yang cedera.

Nasir berkata, Areena memberitahunya apabila bas merempuh pembahagi jalan dan terus terbalik di dalam longkang besar, dia cuma ingat yang dia cuba merangkak keluar.

Nasir tiba kira-kira 9 pagi tadi di Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk melawat Areena yang mengalami cedera ringan di bahagian kepala dan badan dan kini dirawat di wad biasa hospital.

"Anak saya beritahu, selepas dia merangkak dan dapat keluar dari badan bas, dia kata dia masih dapat melihat asap pada bas berkenaan. Bagaimanapun dia tidak dapat pastikan tahap kelajuan bas terbabit semasa sedang menuruni kawasan bukit itu," katanya kepada pemberita.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana anaknya masih hidup walaupun senarai yang dikeluarkan semalam menunjukkan anaknya yang merupakan pelajar tahun tiga jurusan Undang-undang di Walailak University, Nakhon Sithamarat terkorban.

Seramai 27 orang, kebanyakannya pelancong Thai, terbunuh apabila bas itu terbalik dalam kejadian 11.40 pagi semalam.

Aida Muhamad, 36, bersyukur emak saudaranya Darunee Songserm (nama Islam Dariah Ismail) berada dalam keadaan stabil walaupun sedang dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya Darunee mempunyai pengalaman sebagai pemandu pelancong sejak 10 tahun lepas.

"Saya rasa ibarat mati hidup semula, apabila polis memberitahu mak saudara saya terselamat dalam kemalangan tersebut...dan syukur alhamdulillah semuanya selamat," katanya.

Sementara itu, anak sulung Darunee, Faisal Ismail, 40, berkata melihat keadaan ibunya yang kini berada di ICU beliau hanya berdoa dan menyerahkan pada takdir.

"Saya tiba di sini semalam (12 tengah malam) terus ke rumah mayat untuk menuntut mayat (ibu) tetapi tidak dibenarkan sebab bilik mayat dah tutup, tetapi syukur hari ini dapat tahu ibu saya masih hidup," katanya.

Faisal yang bekerja sebagai pemandu pelancong dan guru bahasa Inggeris di Patani menganggap kejadian ini adalah sejarah dalam keluarganya.

Aswadi Abdulullah, 31, yang merupakan saudara kepada pemandu bas yang maut, Omar Shahidan, berkata Omar pernah bercerita sebelum ini mengenai Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai ini tidak selamat dan tidak sedap hati bila melaluinya.

Aswadi berkata, arwah menceritakan tentang minyak yang terdapat di jalan tersebut dan nyaris menjadi mangsa disebabkan permukaan jalan yang licin.

"Tetapi beliau tidak menuduh terdapat unsur khianat dari perbuatan itu ataupun sebab-sebab lain, melainkan menyatakan perkara buruk akan berlaku sekiranya tiada pemantauan pihak berkuasa.

"Saya juga seorang pemandu bas dan saya minta pihak berwajib memantau perkara ini... dan jangan hanya menuding jari kepada pemandu bas selepas berlakunya kemalangan," katanya.

Aswadi berkata beliau berpendapat Omar tidak memandu secara melulu kerana bas yang dipandunya membawa pelancong dari luar negara.

Jelasnya, pasaran pelancong dari negara jiran Thailand itu amat memberangsangkan dan pemandu mungkin kehilangan pekerjaan sekiranya tidak menjalankan tugas dengan baik.

"Omar mengambil alih tugas membawa pelancong ini dari sebuah hotel di ibu negara dan membawa mereka ke Cameron Highlands sebelum menghantar mereka pulang ke Kuala Lumpur semalam," katanya.

Jenazah Omar dituntut keluarganya malam tadi dan dibawa pulang untuk disemadikan di Taman Seri Manis, Kangar manakala mayat pemandu pelancong, Soontorn Kian, 38, pula dibawa ke Alor Setar.

-Bernama-

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.