Apa Depa Bincang Antara BERSIH II Dengan SPR - Bakal Ada Perubahan Kut?...


PUTRAJAYA 9 NOV: Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu bebas sepenuhnya dan sedar betapa besarnya kuasa mereka dalam membawa satu perubahan dalam pilihanraya di negara ini, tegas Pengerusi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) Datuk Ambiga Sreenevasan.

Beliau berkata demikian selepas bermesyuarat dengan wakil SPR lebih tiga jam bagi membincangkan mengenai memorandum yang dihantar oleh BERSIH lebih kurang dua bulan lalu berkenaan proses pilihanraya di negara ini.

"Di bawah Perlembagaan Persekutuan, ahli SPR adalah setara dengan ahli Mahkamah Persekutuan di mana mereka ini tidak boleh disingkirkan melainkan dengan kaedah sama seperti menyingkirkan seorang hakim Mahkamah Persekutuan. Perdana Menteri tidak sepatutnya campurtangan dalam perlantikan mereka dan ini hanya boleh dibuat oleh YDP Agong. SPR hanya perlu menjawab di Parlimen atas tindakan mereka," jelas beliau.

Dalam mesyuarat pagi tadi, BERSIH 2.0 menyuarakan kebimbangan mengenai proses pesempadanan pilihanraya (delimitation) di mana pembahagian wilayah untuk Dewan Undangan Negeri dan parlimen di beberapa tempat tidak masuk akal.

Selain itu, BERSIH 2.0 juga menyuarakan kebimbangan berkenaan pelanggaran undang-undang pilihanraya yang semakin menjadi-jadi.

"Kita juga menyuarakan kebimbangan terhadap kesalahan pilihanraya yang jelas dilihat tetapi tidak langsung didakwa, dan kita mendapati tiada satupun kesalahan pilihanraya ini pernah didakwa oleh SPR sehingga kini di bawah Akta Pilihanraya. SPR pula berdalih menyatakan itu bukan dalam bidang kuasa mereka," kata beliau lagi.

Walaupun begitu, Ambiga berkata SPR patut mengambil langkah proaktif bekerjasama dengan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan ke atas pesalah terbabit.

"Kerajaan juga secara terang-terangan melaburkan wang dan projek pembangunan dalam jumbah yang besar terutamanya semasa pilihanraya kecil dan ini sesuatu yang dapat dilihat jelas oleh semua. Kita merasakan SPR juga patut bertegas dalam hal ini," kata beliau lagi.

Selain itu, BERSIH 2.0 juga mengemukakan beberapa isu penting yang melibatkan proses rombakkan pilihanraya.

Antaranya ialah ialah isu pendaftaran pengundi secara automatik yang mana walaupun SPR dilihat tidak begitu berminat tetapi BERSIH 2.0 meminta SPR untuk mempertimbangkan semula agar memasukkan isu ini di dalam cadangan perombakan proses pilihanraya.

"Kita juga membincangkan mengenai kebebasan media dan betapa pentingnya SPR mengambil langkah pertama memastikan liputan media yang bebas dan adil semasa pilihanraya, dan memastikan semua calon mempunyai akses kepada semua media," jelas beliau lagi.

Beliau seterusnya berkata, SPR memberitahu bahawa SPR sentiasa mengadakan perjumpaan dan meminta pihak media agar memberikan liputan yang menyeluruh dan adil.

"Saya rasa langkah ini merupakan sesuatu yang bagus dan patut diketahui umum. Sekiranya pihak media bertindak sebaliknya walaupun setelah SPR menasihati mereka, maka kita terpaksa menyoal proses media yang mana tidak memberikan ruang untuk liputan yang bebas dan adil untuk semua calon semasa kempen pilihanraya," tegas beliau lagi.

Beliau menjelaskan, BERSIH 2.0 juga mencadangkan kepada SPR untuk mempertimbangkan kembali penggunaan dakwat kekal semasa pilihanraya.

"Kita minta untuk menggunakan dakwat kekal tetapi SPR menjelaskan mereka tidak akan menggunakan dakwat kekal, sebaliknya sedang mengkaji penggunaan sistem biometrik.

Ini merupakan satu perkembangan yang akan kita ikuti keberkesanaannya, dan walaupun kaedah ini berhak dipuji tetapi kita lihat dulu keputusannya," jelas Ambiga.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.