Presiden Perkasa Sakit Jantung .. Akan Jalani Pembedahan Esok

Ahli parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali kini dirawat di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang kerana masalah jantung.

Beliau yang juga adalah presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) dijadual menjalani pembedahan jantung Isnin ini.

NONEPada 13 Oktober lalu, Ibrahim ketika dibidas pelbagai pihak kerana didakwa gagal berdiri ketika Dewan Rakyat bertafakur menghormati kematian wakil rakyat Batu Sapi, Edmund Chong Ket Wah mendakwa tindakannya itu kerana kakinya kebas.

Katanya, ia akibat penyakit kencing manis dan rawatan perubatan yang diterimanya itu menyebabkann beliau seringkali mengantuk dan kadang-kadang sengal-sengal di kaki.

"Saya ada kencing manis, jadi kadang-kadang mata saya berair, kaki saya kebas dan kalau tak ada kawan saya mungkin tertidur."

Selain itu, tidak dapat dipastikan sama ada tekanan yang dihadapinya sejak akhir-akhir ini termasuk tindakan Istana Kelantan Rabu lalu yang melucutkan gelaran 'Datuk Paduka' ke atasnya itu menyumbang kepada masalah kesihatannya.

Pingat Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan, (DJMK) itu dikurniakan oleh Sultan Kelantan ketika itu, Sultan Ismail Petra.

Walaupun pingatnya ditarik balik oleh Sultan Kelantan sekarang, namun Ibrahim masih bergelar 'datuk' kerana mempunyai dua lagi darjah - iaitu DPMS dan DMSM yang diterimanya daripada Selangor dan Melaka.

Ditempatkan di ICU

Sementara itu, Bernama melaporkan Timbalan Presiden PERKASA Datuk Abdul Rahman Abu Bakar berkata Ibrahim dimasukkan ke hospital itu semalam dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Keadaannya stabil dan beliau dijadualkan menjalani pembedahan jantung pada Isnin ini," katanya.

Abdul Rahman berkata pihak hospital hanya membenarkan isteri dan anggota keluarga untuk melawat Ibrahim.

NONEMengulas lanjut, beliau berkata Ibrahim mengadu berasa tidak sihat sejak tiga minggu lalu namun hanya membuat pemeriksaan kesihatan di hospital itu semalam.

"Selepas membuat pemeriksaan, doktor menasihatkan beliau supaya segera membuat pembedahan," katanya.

Abdul Rahman berkata walaupun mengetahui keadaan kesihatannya itu, Ibrahim masih ke Parlimen semalam untuk menghadiri pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata Ibrahim sepatutnya menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Nusantara yang akan disertai masyarakat Melayu Malaysia dan warga Indonesia yang menetap di Malaysia, di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru petang ini.

Abdul Rahman berkata PERKASA akan mengadakan solat hajat dan bacaan surah Yassin di surau Hotel De Palma Ampang pada pukul 6.30 petang esok bagi mendoakan kesejahteraan presiden persatuan itu.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Powered by Blogger.

Search

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.