SALLEH yang cedera di belakang kepala ditenteramkan orang ramai sebelum dibawa ke Hospital Jitra, semalam.
CHANGLUN: Seorang penunggang motosikal yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Bemban, di sini cedera parah dirempuh kereta rasmi Ketua Polis Perlis, Datuk Ghazali Md Amin dalam satu kemalangan di Kilometer 21.9 Leburaya Utara-Selatan, di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, Salleh Abdullah, 73, parah di kepala serta badan, dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar.Ketika kejadian itu, kereta Proton Perdana itu yang dipandu pemandu Ghazali yang berusia lingkungan 40-an dalam perjalanan menjemput Ketua Polis Perlis itu yang kini berada di Shah Alam, Selangor.Selain itu, seorang lagi anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis berada dalam kereta berkenaan.
Pemandu kereta berkenaan mendakwa, beliau sudah membunyikan hon apabila mendapati mangsa melintas secara tiba-tiba, tetapi tidak sempat berbuat apa-apa sebelum merempuh mangsa.
"Selain itu, saya cuba mengelak daripada merempuh sebuah treler yang diletakkan di tepi jalan di situ dan tidak menyangka pula akan melanggar mangsa," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin, berkata siasatan awal mendapati motosikal Honda EX-5 yang ditunggang warga tua itu berada di tepi jalan dan mangsa dikatakan melintas secara tiba-tiba sebelum dirempuh kereta Proton Perdana terbabit yang datang dari arah sama.
Beliau berkata, berikutan itu mangsa dikatakan tercampak di atas jalan.
"Mangsa yang parah di kepala itu dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke HSB untuk rawatan lanjut.
"Kedua-dua anggota polis itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, sejurus selepas kejadian berlaku," katanya.
0 comments:
Post a Comment